Kerajaan halalkan Uber dan Grab

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Perkhidmatan Uber dan Grab bakal dihalalkan operasinya setelah kabinet bersetuju dengan konsep "e-hailing" oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Pelan rancangan e-hailing oleh SPAD bakal beroperasi pada hujung tahun ini. Pelan tersebut dibentangkan kepada menteri kabinet semalam oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah. Menurut laporan The Sun oleh Shahrim Tamrin, sidang kabinet sangat berpuas-hati dengan 11 inisiatif yang dibentangkan, terutama inisiatif transformasi industri teksi negara dengan projek kemas kini Teksi1Malaysia (Teksi1M). Kabinet juga gembira dengan pelan rancangan yang bakal memberikan permit individu kepada pemandu teksi sedia ada yang mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih. SPAD juga mempunyai mekanisma yang lebih baik untuk syarikat operator teksi yang mempunyai mutu perkhidmatan cemerlang. Menurut laporan tersebut, sidang Kabinet secara keseluruhan bersetuju bahawa proses transformasi industri teksi termasuk membenarkan operasi Uber dan Grab secara halal ialah satu langkah bijak untuk menjaga kepentingan rakyat. Langkah pertama dalam proses tersebut ialah untuk menggubal sistem perundangan sedia-ada bagi membenarkan operasi e-hailing seperti Uber dan Grab, dan juga untuk merancang agensi kerajaan yang bakal  bertanggung-jawab terhadap perkhidmatan itu. Dianggarkan seramai 150,000 pemegang permit teksi baharu akan muncul dalam tempoh tiga tahun akan datang, termasuk pemandu Uber, Grab dan pemilik teksi individu. Namun begitu, keputusan mengenai pengeluaran lesen PSV (Public Service Vehicle) akan dikekalkan di bawah bidang kuasa JPJ atau ia akan berada di bawah bidang JPJ dan SPAD. Shahrim seterusnya melaporkan bahawa sebaik sahaja Kabinet membuat keputusan mengenai PSV, ia akan diumumkan kepada pihak media.