Zaqhwan ketiga dalam Perlumbaan 1 ARRC Sentul

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Md Zaqhwan Zaidi kini kian rapat dengan pendahulu keseluruhan setelah berjaya menamatkan Perlumbaan 1 SuperSports 600cc di tempat ketiga. Saingan pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) kini berlangsung di Litar Sentul, Indonesia, hari ini. Pelumba Musashi Boon Siew Honda Malaysia itu berjaya menambah 16 mata kejuaraan menjadikan jumlah keseluruhan 111 mata di belakang pendahulu, Tomoyoshi Koyama (T Pro Yuzy Honda NTS With Wow) yang mengumpul 118 mata. Zaqhwan yang mencatat masa terpantas pada hari pertama kejuaraan telah ditewaskan dua pelumba tuan rumah, Gerry Salim dan Dimas Ekky Pratama yang  bermula dari barisan hadapan. Dua pelumba Astra Honda Racing Team itu muncul juara dan naib juara perlumbaan. “Perlumbaan hari ini sangat sengit. Saya memintas Koyama pada pusingan ke-11 dan pada masa sama, pendahulu, Ahmad Yudhistira terjatuh dan tidak dapat meneruskan perlumbaan. Pada dua pusingan terakhir saya lihat Gerry dan Dimas saling berebut kedudukan pertama, jadi saya turut mengambil peluang untuk memintas mereka. Walaupun berjaya mendahului kedudukan, namun saya melakukan sedikit kesilapan dan membolehkan Gerry dan Dimas kembali mendahului perlumbaan pada penghujung perlumbaan. Sudah agak lambat untuk saya kembali bertindak, jadi saya memutuskan untuk terus kekal di kedudukan ketiga pada Perlumbaan 1 ini,” jelas Zaqhwan. AP250 - Podium Dalam pada itu, juara bertahan, Takehiro Yamamoto (Trickstar Racing) terus memberikan tekanan kepada pendahulu apabila berjaya meraih gelaran juara pada Perlumbaan 1 Asia Production 250cc. Yamamoto muncul juara dengan masa keseluruhan 21’21.719s menewaskan duo AP Honda Thailand, Vorapong Malahuan dan Somkiat Chantra yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dan ketiga dengan masa 21’22.222s dan 21’22.429s. Jumlah 25 mata yang dipungut meletakkan Yamamoto di tangga kedua keseluruhan dengan 115 mata, 31 mata di belakang pendahulu, Apiwat Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team) yang mengumpul 146 mata. Rakan sepasukan Apiwat, Peerapong Loiboonpeng di tangga ketiga dengan 93 mata. UB130 - Podium Sementara itu, pelumba IUGB AFB Tech Racing, Md Helmi Azman mencipta kejutan apabila muncul juara pada penampilan pertamanya di dalam kelas Underbone 130cc sekaligus menewaskan pelumba-pelumba lebih berpengalaman. Md Helmi menamatkan 10 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 19’45.426s diikuti pelumba wildcard tuan rumah, Wahyu Nugraha (Yamaha Traxx-D TJM Bien Racing) dengan masa 19’45.469s. Tempat ketiga milik seorang lagi pelumba Malaysia, Md Amirul Ariff Musa (T Pro Yuzy Honda NTS With Wow) dengan masa 19’45.598s. Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Kage Motobatt Yamaha YY Pang Racing Team) yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat terus kekal sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 82 mata diikuti Md Amirul dengan 73 mata dan Wahyu Aji Trilaksana (TPK48 BKMS Indonesia) ketiga, 63 mata.   Keputusan Perlumbaan 1 SuperSports 600cc
  1. Gerry Salim (INA) Honda 24’27.838s 2. Dimas Ekky Pratama (INA) Honda 24’27.932s 3. Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda 24’28.161s 4. Tomoyoshi Koyama (JPN) Honda 24’28.681s 5. Decha Kraisart (THA) Yamaha 24’39.876s
Kedudukan keseluruhan
  1. Tomoyoshi Koyama (JPN) Honda 118 mata 2. Md Zaqhwan Zaidi (MAS) 111 mata 3. Yuki Takahashi (JPN) Honda 104 mata 4. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Kawasaki 89 mata 5. Dimas Ekky Pratama (INA) Honda 83 mata
Asia Production 250cc
  1. Takehiro Yamamoto (JPN) Kawasaki 21’21.719s 2. Vorapong Malahuan (THA) Honda 21’22.222s 3. Somkiat Chantra (THA) Honda 21’22.429s 4. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 21’22.436s 5. Imanuel Putra Pratna (INA) Yamaha 21’22.600s
Kedudukan keseluruhan
  1. Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha 146 mata 2. Takehiro Yamamoto (JPN) Kawasaki 115 mata 3. Peerapong Loiboonpeng (THA) Yamaha 93 mata 4. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 89 mata 5. Yusuke Nakamura (JPN) Yamaha 62 mata
Underbone 130cc
  1. Md Helmi Azman (MAS) Yamaha 19’45.426s 2. Wahyu Nugraha (INA) Yamaha 19’45.469s 3. Md Amirul Ariff Musa (MAS) Honda 19’45.598s 4. Md Izzat Zaidi Salehan (MAS) 19’45.656s 5. Sasitharen Sukumaran (MAS) Honda 19’45.908s
Kedudukan Keseluruhan: 1. Md Izzat Zaidi Salehan (MAS) Yamaha 82 mata 2. Md Amirul Ariff Musa (MAS) Honda 73 mata 3. Wahyu Aji Trilaksana (INA) 63 mata 4. Nazirul Izzat Md Bahauddin (MAS) Honda 49 mata 5. Florianus Roy Brilyan (INA) Yamaha 41 mata