YB sila main politik sahaja, tak perlu kacau Proton

oleh HEZERI SAMSURI|
Tertarik saya membaca sebuah laporan dari Suara Keadilan dua hari lalu.

Yang Berhormat Pengerusi Keadilan Trengganu, Azan Ismail berkata Geely sepatutnya mengumumkan model baharu Proton selepas enam bulan membeli syarikat itu dan melantik Dr Li Chunrong untuk menjadi CEO Proton.

Seterusnya YB berkata model baharu penting kerana “Jepun dan Korea Selatan melancarkan tiga hingga empat model baharu dalam setahun untuk pasaran Malaysia.”

Beliau turut memberi pendapat bahawa SUV Geely Boyue yang diumumkan dua bulan lalu “seolah-olah menjadikan Proton syarikat menjual model lama Geely dan tidak sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat Malaysia.”

Paling menarik, beliau dilaporkan berkata “… pemimpin BN sengaja memperbodohkan rakyat kononnya Geely akan melakukan R&D serta membawa Proton ke pasaran antarabangsa”.

 

Macam ini lah YB, saya pun kenal dengan YB semasa YB di Indera Mahkota. Saya rasa YB memang mempunyai karisma sebagai pemimpin cuma kali ini, let’s put politics aside dan kita fokus kepada apa yang YB dakwa.

1. Untuk menjadikan Malaysia sebagai dumping ground bagi Geely untuk model-model lama

Itu adalah sedikit sukar kerana kerajaan Malaysia kini mempunyai dasar homologasi yang mengikut piawaian UN ECE, yang juga memastikan Malaysia tidak menjadi dumping ground. Ini bermaksud jika mereka hendak bawa model tidak laku dari sana ke sini, kos kejuruteraan untuk memastikan ia boleh dibenarkan dijual di Malaysia sangat tinggi. Menjadikan Malaysia sebagai dumping ground akan merugikan mereka.
Dan kenderaan di China ialah Left Hand Drive, untuk tukarkan ke Right Hand Drive bukan mudah dan murah.

 

2. Betul YB, syarikat kereta dari Jepun dan Korea Selatan melancarkan tiga atau empat model baharu dalam setahun di Malaysia. 

Bila YB sudah jumpa cara untuk menghasilkan kereta dengan cara rebus guna air masak dan kosnya sekitar RM14.50, mungkin YB boleh kongsi petua itu dengan Proton ya.
Toyota, Honda, Nissan, Kia, Hyundai dan sebagainya menghasilkan kenderaan untuk satu dunia. Mereka menghasilkan model-model baharu untuk pasaran global dan kerana itu mereka mampu mempunyai ramai pekerja untuk menghasilkan beberapa model setahun.
Percayalah YB, CR-V 1.5L turbo baharu yang anak YB minta itu bukan direka khusus untuk pasaran Malaysia sahaja.
Ia direka untuk pasaran satu dunia dan kos pembuatannya dikongsi oleh semua pasaran itu.
Kenapa Proton tidak mahu jual kenderaan ke pasaran global? Mereka mahu, tapi tidak mampu. Dengan Geely, insya Allah mereka mampu. 

 

3. Pemimpin berbohong kerana Geely tidak akan membuat R&D di Malaysia?

YB perlu buat kajian terperinci. Jika Geely tidak serius di dalam Proton, kenapa kita ada pakar-pakar baharu masuk ke dalam Proton sekarang?
Bekas CEO Skoda, Winfried Vahland, yang betanggung-jawab dalam membantu Skoda menjadi berjaya selepas Volkswagen mengambil alih, kini menjadi lembaga pengarah Proton.
Proton juga ada menerima satu lagi tenaga baharu yang memang berpengalaman, Datuk Takashi Hibi, bekas Timbalan Presiden UMW Toyota.
Dr Li Chunrong sendiri mempunyai banyak pengalaman dengan syarikat automotif Jepun dan sekarang ini, beliau membawa masuk banyak perkara-perkara baharu yang lebih sistematik kepada pihak pengurusan Proton.
Geely juga sudah membuat keputusan untuk menggunakan Tanjung Malim sebagai hab pemasangan bagi kenderaan Volvo bagi rantau ini.
Paling penting, ia akan membawa industri bernilai tinggi ke dalam negara.

 

4. Ya, Geely memang syarikat yang besar tetapi mereka masih perlukan Proton untuk masuk ke dalam rantau Asean. 

Proton boleh membantu mereka menghasilkan produk yang lebih sesuai untuk rantau Asean kerana Proton memang mampu menghasilkan sebuah kenderaan dari awal sehingga habis.
Dan nama Proton sendiri lebih kuat dari mana-mana jenama China di rantau ini.
Apabila Geely membeli Volvo, mereka berjaya membawa Volvo ke peringkat yang lebih tinggi. 
Kenapa Geely tidak mahu berbuat yang sama kepada Proton? Mereka sudah habiskan beratus juta untuk menjadi rakan teknikal Proton dan memberikan Proton model-model lama untuk dijual adalah satu keputusan yang tidak masuk akal langsung.

 

Industri kereta ini sangat kompleks. Ia adalah industri yang mempunyai nilai RM40 billion setahun serta menghasilkan 700,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Untuk memastikan ia berkembang, keadaan global sekarang melihat sendiri gergasi automotif bergabung bagi menjadi lebih kuat.

Toyota contohnya, mempunyai Subaru dan Daihatsu serta Hino di bawah payungnya. Renault dan Nissan sudah lama bergabung, dan kini mereka juga ada Mitsubishi Motors.

Hyundai pula memiliki Kia dan Tata dari India memegang saham terbesar Jaguar dan Land Rover/Range Rover. 

 

Pasaran domestik Malaysia tidak cukup kuat untuk menjadikan syarikat tempatan gergasi dunia. Untuk itu, kita perlukan bantuan. Setelah sekian lama berhempas pulas mencuba untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan syarikat lain, akhirnya kini kita diberi peluang untuk bergerak keluar dari negara.

Geely ialah sebuah syarikat yang besar dan profesional, mereka perlukan masa untuk mengkaji, mengubah, membaiki dan menggubal apa yang ada sekarang sebelum mengumumkan apa apa keputusan.

Kalau ia kerja yang mudah, hari ini Geely masuk Proton, esok akan keluar 14 model berderet di depan dewan pameran. 

Membuat kereta memerlukan perancangan yang sangat mendalam. Perodua Myvi 2018 yang baharu itu pun memerlukan hampir tiga tahun untuk siap, dan itu pun dengan bantuan teknikal Daihatsu. 

Saya yakin akan ada perubahan pada syarikat Proton, dan saya sangat pasti akan ada pengumuman dibuat dalam masa sebulan dua ini.

Sementara itu, apa kata YB pergilah makan satar dan otak-otak di Monica Bay (Telok Mak Nik, Kemaman) itu dahulu dan biarkan pakar-pakar di dalam syarikat membuat kerja mereka.

Kalau YB hendak bantu, apa kata tolong buat kempen keselamatan jalanraya agar para pengundi lebih selamat semasa memandu. 

- Hezeri Samsuri

Add new comment