Pada 6 Jun yang lepas, seramai 130 orang anak yatim telah dijemput daripada empat buah rumah anak yatim dan penjaga mereka pada majlis berbuka puasa bersama Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin.
Acara tersebut yang berlangsung di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC) dianjurkan oleh pengasas bersama yayasan, Puan Sri Datin Seri Utama Zaleha Ismail dan keluarga beliau iaitu SM Nasarudin SM Nasimuddin, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, Marion Caunter Abdullah, Nur Diana SM Nasimuddin dan Nur Nadia SM Nasimuddin.
Pada 8 Jun, Puan Sri Datin Utama Zaleha Ismail mewakili Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin menghadiri acara berbuka puasa di Rumah Sejahtera Perkampungan Ibadah di Raub, Pahang serta mengambil kesempatan menyampaikan zakat kepada rumah tersebut.
Selain daripada penyampaian zakat, Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin juga turut memberikan sumbangan berjumlah hampir RM8,000 untuk keperluan harian Rumah Sejahtera itu.
Pada 9 Jun pula, Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin melawat Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang di Kampung Baru, Kuang bagi menyediakan PINTAR Mobile Learning Unit untuk keperluan para penghuni menimba ilmu.
Menurut SM Nasarudin SM Nasimuddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan CEO Naza Corporation Holdings berharap sumbangan daripada yayasan itu dapat memberikan sinar baharu dan makna kepada mereka yang kurang berkemampuan sempena Syawal yang menjelma.
Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin diasaskan dengan misi untuk memberikan bantuan kepada komuniti yang kurang berkemampuan di Malaysia yang berasaskan kepada tiga tunggak utama; pendidikan, pembangunan komuniti dan kesihatan.