Menurut Proton dalam kenyataan, selepas siasatan yang dilakukan oleh sekumpulan pakar Proton dan Geely, kejadian itu berpunca dari masalah sambungan pembumian atau grounding pada badan kereta.
Masalah itu menyebabkan berlaku pemanasan melampau di bahagian penyambung apabila arus besar berterusan melaluinya, dan boleh mengakibatkan pemanasan pada bahan kalis bunyi, seterusnya memulakan kebakaran.
Sebagai langkah keselamatan, semua pemilik Proton X90 akan dihubungi secara individu oleh pusat 3S dan 4S Proton untuk pemeriksaan.
Selepas pemeriksaan lanjut, tindakan pembaikan akan diambil oleh pusat servis jika perlu untuk mengelakkan sebarang risiko pemanaskan yang boleh mengakibatkan kebakaran.
Pemilik X90 juga boleh menghubungi pusat servis Proton terdekat untuk temu janji atau menghubungi talian bantuan Proton di 1-800-88-8398 untuk maklumat lanjut.
Selain itu, Proton dan vendornya telah mengambil langkah pencegahan dengan meningkatkan kawalan proses pembekalnya dan pemeriksaan ke atas barisan pengeluaran Proton X90.
Sehubungan itu, Proton turut mengesahkan bahawa bateri hibrid ringan (48v) yang digunakan oleh Proton X90 bukanlah punca kejadian, di mana Proton menjamin kualiti produk dan keselamatan pelanggan adalah keutamaan mereka.