Laluan seperti ini biasanya dikongi daripada rakan atau melalui pengalaman penerokaan sendiri.
Nampaknya terdapat satu lagi sumber untuk meneroka jalan yang seronok dilalui.
Volkswagen dan aplikasi Waze kini bekerjasama dalam memberikan panduan kepada pemilik varian GTI iaitu up!, Polo dan Golf mengenai laluan yang seronok dipandu di United Kingdom.
Program yang dipanggil GTI Superdrives ini mempunyai 75 laluan terbaik di UK dengan data yang dicerap daripada pemanduan dan juga dua juta pengguna Waze dan fungsi Map Editors.
Laluan ini hanya akan dikongsikan dalam waktu terhad sahaja iaitu pada penghujung musim panas.
Laluan GTI Superdrives dipilih oleh saintis data Waze selepas membuat analisa dan ranking berdasarkan beberapa faktor.
Di antaranya ialah pemandangan cantik, hampir kepada tempat menarik (points of interest), keadaan pemanduan yang baik seperti selekoh menarik, trafik rendah dan laporan kemalangan rendah.
Data tersebut diperiksa secara silang oleh sukarelawan dari serata UK melalui fungsi Waze Map Editors.
Ini adalah kali pertama Waze menganalisis datanya untuk mengenal pasti jalan raya yang sesuai dengan karakter pemanduan VW GTI.
Untuk menggunakan fungsi ini, pengguna hanya perlu mencari logo GTI di mana aplikasi akan memaparkan papan tanda jalan raya yang terkenal di UK untuk destinasi pelancongan.
Apabila pengguna berada dalam jarak 19 km dari laluan GTI Superdrive, mereka boleh memilih fungsi yang dipaparkan bagi menerima arahan untuk ke laluan tersebut.
Jika tidak memandu, pengguna dapat mengetahui lebih lanjut tentang laluan dan rankingnya berbanding laluan lain.
Sebaik sahaja pengguna memilih lokasi GTI Superdrive yang hendak diteroka, Waze akan memaparkan laluan untuk destinasi tersebut.
Walaupun program ini adalah kerjasama dengan VW tidak bermakna pemandu kenderaan jenama lain terhalang untuk menggunakannya.
Sesiapa sahaja boleh menggunakannya cuma ia lebih sedap diteroka menggunakan varian GTI daripada Volkswagen.
Penulis: Muhammad Md Tajudin