VW - sudah bangkit dari tidur

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pastinya ramai masih teringat kemelut jenama Jerman ini bila ia bertapak sendiri pada tahun 2006, tanpa menggunakan sebarang wakil pengimport atau pengedar.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia, yang dahulunya dikenali sebagai Volkswagen Group Malaysia menjalani liku kehidupan yang sedikit sukar pada awalnya di negara kita.

Bukan salah sesiapa, tetapi memang Volkswagen (VW) sendiri mengakui ia adalah kesilapan dari mereka sendiri dan kerana itu, tahun lalu, mereka secara terbuka mengaku dan meminta maaf, serta berjanji akan mengubah prestasi khidmat lepas jualan mereka.

Nampaknya syarikat Jerman ini memang benar-benar mengotakan janji mereka. Setahun selepas pasukan baharu mengetuai operasi VW yang telah dirombak secara keseluruhan dalam tahun 2016, prestasi penjualan telah menunjukan peningkatan sebanyak 8.1 peratus -  sebanyak 6,536 unit kenderaan terjual dalam tahun 2017, 488 unit lebih banyak dari apa yang dijual dalam tahun 2016.

 

 

Lebih menakjubkan ialah dalam tahun 2017, VW Passenger Cars Malaysia (VPCM) hanya melancarkan sebuah model sahaja, iaitu Tiguan.

Ini bermakna jualan model-model sedia ada VW, baik dari varian CKD atau CBU, menerima sambutan baik dari pasaran tempatan.

Tidak cukup dengan itu, peningkatan jualan VW global pula hanya menunjukan kenaikan sebanyak 4.2 peratus, iaitu sejumlah 6.23 juta unit dalam tahun 2016. 

 

Pastinya akan ada mulut berkata VW hanya mampu mencatat jualan tinggi kerana menjual kenderaan tahun lalu.

Menurut Erik Winter, Pengarah Urusan (Bahagian Jenama dan Sumber Manusia) VPCM, saki-baki unit 2017 memang sudah hampir terjual semuanya dan dengan promosi Tahun Baru Cina yang berlangsung sekarang, pastinya stok 2017 akan terus habis dalam masa terdekat ini.

 

Bagaimana dengan masalah khidmat jualan yang dikatakan tidak sepadan dengan jenamanya?  

Isu itu langsung tidak diketepikan oleh Florian Steiner, Pengarah Urusan (Bahagian Khidmat Lepas Jualan, IT dan Kewangan) VPCM.

Florian menunjukan bukti bahawa keputusan kajian Pengurusan Pengalaman Pelanggan yang dilakukan oleh mereka menunjukan peningkatan drastik sebanyak 21 peratus.

Malah dalam skala kepuasan pelanggan antara 1 hingga 5 (di mana 5 ialah jumlah terbaik), VW mencatat kenaikan dari 3.45 mata dalam tahun 2016 kepada 4.17 mata.

Indeks Kepuasan Pelanggan JD pula meletakan VW Malaysia pada tangga kelima, jauh lebih baik dari hampir kebanyakan jenama-jenama popular Jepun.

Kita juga boleh melihat jumlah pembaikan semula (repeat repair) menyusut jatuh.

 

 

Isu transmisi DSG DQ200 jangan pula dilupakan. Bukankah ia masalah besar untuk VW Malaysia? 

Untuk transmisi DSG DQ200 yang diguna pakai oleh model-model VW, jumlah klac dan mekatronik yang diperbaiki terus turun jatuh ke paras paling minima.

"Kami tidak boleh berkata masalah transmisi mekatronik sudah lupus kerana masih ada lagi pemilik-pemilik VW yang tidak pernah mengalami kerosakan pada tahun-tahun lalu dan kerana itu, transmisi mereka belum ditukarkan kepada unit baharu dengan komponen yang diperbaiki," jelas Erik.

"Yang pasti, transmisi DSG sekarang jauh lebih lasak," sambung Erik.

 

 

Sudah banyak kali diberi alasan transmisi DSG sudah diperbaiki. Apa sebenarnya yang telah diperbaiki?

Erik seterusnya ada menjelaskan kepada Careta bahawa perubahan pada transmisi DQ200 itu termasuk menukar jenis pelincir ATF dari sintetik kepada mineral dan sistem akumulator tekanan (pressure accumulator) yang ditukar terus rekabentuknya.

Careta juga menerima info bahawa untuk yang mahu menghantar VW mereka pada mekanik di luar, kebanyakan dari mekanik itu sudah tahu cara untuk membaiki sistem transmisi DSG itu dan ini menyebabkan harga VW terpakai di dalam pasaran menjadi lebih stabil.

Menurut beberapa pemilik VW yang masih tidak mempunyai masalah akan transmisi DSG mereka, apa yang mereka lakukan ialah mereka memandu keluar dari bandar pada hujung minggu.

"Ia umpama otot manusia. Ia perlu senaman. Apa yang saya lakukan, saya pandu keluar dari Kuala Lumpur pada hujung minggu dan pandu dengan sedikit agresif. Sehingga kini, DSG saya tidak ada masalah!," ujar seorang pemilik Golf GTI yang sudah berusia empat tahun.

 

 

Ramai pemilik terpaksa meninggalkan VW mereka selama berminggu atau berbulan kerana masalah ketiadaan alat ganti. Adakah ini sudah selesai dan bagaimana ia diselesaikan?

VW Malaysia mengakui memang ia menghadapi masalah kronik itu pada awalnya.

Careta sendiri pun hairan kerana pada masa itu (2006 sehingga 2015), pengurus-pengurus VW yang datang di Malaysia penuh dengan pengalaman dan nampak seperti mereka sangat bijak.

Sayangnya, pada masa itu, hampir setiap bulan kami menerima aduan akan VW mereka terkandas di dalam bengkel kerana ketiadaan alatganti.

Namun begitu, sejak pengurusan baharu mengambil alih pada penghujung tahun 2016, memang sudah tiada lagi telefon atau mesej dari rakan-rakan meminta bantuan akan VW mereka tersadai.

Menurut Erik, apa yang telah berlaku selepas VPCM mengambil alih ialah memastikan 95 peratus alatganti untuk model-model VW di Malaysia ada di dalam stok simpanan mereka di gudang alatganti VW di Singapura.

 

 

Tidak cukup dengan itu, pada bulan September ini, Malaysia bakal menjadi hab alatganti VW terbesar untuk wilayah Asia Pasifik. Ini ialah kerana VW akan menggunakan sebuah fasiliti gudang modern di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor Bahru untuk membekalkan alatganti VW kepada 28 negara di wilayah ini.

Paling menggembirakan, VW akan melakukan dua penghantaran dalam masa sehari untuk pasaran Malaysia dan Singapura.

Bagi bateri pula, VW Malaysia telah melancarkan Program Bateri di mana setiap pusat servis akan mempunyai pasukan khusus untuk menghantar bateri gantian sekiranya anda memerlukan.

Kerana itu, pemilik VW tidak perlu khuatir akan ketiadaan alatganti lagi.

 

 

Khidmat teknikal dan waranti pula bagaimana? Dahulu cukup susah untuk membuat tuntutan waranti.

VW Malaysia juga telah mengkaji dan merombak sistem tuntutan waranti untuk kenderaan mereka.

Ia bermula dengan pakej VPCM Customer Care Goodwill yang memberikan unjuran waranti dua tahun untuk transmisi DSG yang dibina sebelum Disember 2013 dengan kadar perbatuan tidak lebih 200,000 km. Ia adalah tambahan kepada pakej waranti lima tahun kenderaan VW tersebut.

Untuk VW sekarang, sistem DSG telah pun dikemaskini dan waranti selama lima tahun diberikan. 

Bagi memastikan proses tuntutan waranti dilakukan dengan segera, VW Malaysia melatih lebih ramai pakar-pakar waranti di semua pusat servis bagi melicinkan perjalanan proses tuntutan.

 

 

VW Malaysia juga bekerjasama dengan kolej TOC dan Akademia Saga untuk melatih lebih ramai mekanik dan juruteknik VW bagi melengkapkan sebanyak 29 pusat jualan dan pusat servis di seluruh negara dengan kakitangan terlatih.

VW juga kini menawarkan servis percuma (alatganti dan upah buruh) untuk tiga tahun atau 45,000 km (yang mana dahulu).

 

Kenderaan VW hanya memerlukan servis setiap 15,000 km dan walaupun ada yang merasakan ia terlalu lama, jurutera VW berkata ia adalah normal dan telah dilakukan di kebanyakan negara maju.

VW Malaysia juga nampaknya telus dengan informasi kos servis kenderaan mereka. 

Untuk mengetahui kos-kos servis bagi semua model VW yang dijual di Malaysia, layari laman web https://www.volkswagen.com.my/my-vw/service-pricing-guide dan muat turun kos servis untuk model pilihan anda. 

Di bawah ialah video-video pandu uji Volkswagen Careta. 

 

 

Berita Berkenaan

Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…
Berita Global
   Volkswagen ID.3 GTX Hatchback elektrik ini ditawarkan di dalam dua varian iaitu ID.3 GTX dan…
Berita Global
Hot hatch pacuan semua roda itu dilihat memakai pelekat samaran dengan corak peringatan '50 years…