VPCM lancar tiga model R-Line - Arteon, Passat, Tiguan Allspace!

oleh Mohamad Hanif|
Volkswagen Passenger Cars Malaysia hari ini melancarkan tiga model baharu bersempena dengan Volkswagen Tour yang diadakan di 1Utama Shopping Centre bermula 12 - 16 Ogos ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Model yang dimaksudkan adalah Arteon yang kini hadir dalam varian R-Line, Passat R-Line, serta sebuah lagi SUV tujuh tempat duduk yang bakal merancakkan lagi pasaran segmen tersebut, Tiguan Allspace.
 

Volkswagen Arteon R-Line


Volkswagen Arteon R-Line merupakan sebuah sedan dengan rekaan fastback yang dikuasakan oleh nadi 2.0 liter empat silinder sebaris TSI yang menghasilkan 190 PS dan 320 Nm daya kilas.

Sistem transmisi pula adalah jenis DSG klac basah tujuh nisbah kelajuan yang menyalurkan kuasa tadi ke roda hadapan.

Dari segi dimensi, ia menawarkan jarak antara roda sepanjang 2,841 mm dengan ruang kelegaan kaki sekitar 1,016 mm, serta kapasiti kargo sebesar 565 liter yang mampu mencapai had maksimum 1,557 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Antara kelengkapan yang disediakan termasuklah rim bersaiz 19 inci 'Montevideo', tailgate berkuasa, sistem paparan Active Info Display digital penuh, sistem infotainmen 9.2 inci Discover Pro dengan kawalan gerak isyarat, sambungan peranti pintar Apple dan Android serta sistem audio premium Dynaudio dengan sebelas pembesar suara dan subwoofer 700-watt.

Arteon R-Line juga hadir dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) dan Driving Mode Selection yang membenarkan pemandu memilih sehingga 15 gaya pemanduan, disamping tempat duduk balutan kulit Nappa boleh laras dengan 14 cara.

Ciri keselamatan pula merangkumi Sistem Brek Pasca Pelanggaran, Electronic Different Lock, Intelligent Crash Response System (ICRS), ABS, EBD, Bantuan Brek, Hill-Hild Control, Proactive Passenger Protection System dan Active Bonnet yang memberi perlindungan kepada pejalan kaki.

Harga jualan pula bermula dari RM220,043 dan hadir dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, penyelenggaraan percuma tiga tahun dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
 


Passat R-Line


Sebuah lagi sedan di bawah label R-Line adalah Passat R-Line yang membawakan penampilan yang lebih sporti, terima kasih kepada penggunaan bumper yang agresif depan dan belakang.

Passat R-Line didatangkan dengan rim bersaiz 19 inci 'Verona', 1 inci lebih besar berbanding rim 18 inci pada Passat Elegance, bumper R-Line, serta kemasan dan lencana R-Line.

Nadi kuasa pula adalah menyamai apa yang ditawarkan pada Arteon R-Line, iaitu enjin 2.0 liter TSI (190 PS/320 Nm), serta transmisi DSG tujuh nisbah kelajuan yang memacu roda hadapan sahaja.

Passat R-Line turut mendapat kelengkapan yang serupa seperti lampu utama IQ Light LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED, lampu isyarat jenis sekuential depan dan belakang.

Di bahagian ruang kabin pula, terdapat roda stereng balutan kulit dengan logo R-Line, paparan instrumen digital, sistem infotainmen 9.2 inci, sistem kawalan iklim tiga zon, slot pengecasan USB-C dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Volkswagen Passat R-Lini kini boleh ditempah di mana-mana pengedar sah Volkswagen di seluruh negara dengan harga jualan anggaran bermula dari RM200,000.
 

Volkswagen Tiguan Allspace


Mengakhiri pelancaran model baharu Volkswagen adalah SUV tujuh tempat duduk segmen C pemasangan tempatan, Tiguan Allspace yang ditawarkan dalam dua trim, iaitu Highline dan R-Line.

Tidak seperti Tiguan yang telah dilancarkan sebelum ini, Tiguan Allspace telah bertambah dimensinya sebanyak 215 mm dengan jarak antara roda kini sepanjang 2,787 mm.

Dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, Tiguan Allspace menawarkan ruang kargo sebesar 230 liter, namun anda mampu mendapat ruang sebesar 700 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat, dan 1,775 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Dari segi kuasa, Tiguan Allspace membawakan nadi yang serupa dengan penawaran Tiguan sedia ada, iaitu enjin 1.4 liter TSI dengan angka output 150 PS dan 250 Nm, sistem transmisi DSG enam kelajuan klac basah dan sistem pacuan dua roda hadapan.

Sementara trim R-Line pula didatangkan dengan enjin 2.0 liter TSI dengan 220 PS dan 350 Nm yang memacu kesemua roda menerusi sistem 4Motion, serta penampilan yang lebih agresif dan sporti seperti rim aloi Sebring 19 inci.

Tiguan Allspace R-Line juga didatangkan dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) dengan empat mod pemanduan - Comfort, Normal, Individual dan Off-road.

Harga jualan bermula dari RM164,430 untuk varian Highline, manakala varian Allspace R-Line pula bermula dari RM208,553 dan kedua-duanya didatangkan dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, penyelenggaraan percuma tiga tahun dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kelengkapan keselamatan IQ.Drive merangkumi ciri seperti: -Bantuan Hadapan (Front Assist) -Kawalan…
Berita Domestik
Menerusi promosi terbaharu ini, pelanggan yang membeli Arteon R-Line, Tiguan Allspace R-Line atau…
Berita Domestik
Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Volkswagen Cares dalam mempertingkatkan lagi pengalaman…