Varian tertinggi, XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus merupakan model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Sweden manakala XC60 T8 Twin Engine Inscription dan XC60 T5 pula adalah model pemasangan tempatan (CKD).
Harus diketahui, SUV kompak tersebut dibina berlandaskan platform Scalable Product Architecture (SPA).
Justeru, tidak menghairankan jika model baharu berkenaan memiliki reka bentuk yang lebih ekspresif pada bahagian luaran dan dalaman jauh dibandingkan dengan model sebelum ini.
Kehadiran platform itu memberi kelebihan untuk Volvo XC60 baharu tersebut meredah tamparan angin dengan begitu baik ketika pemanduan.
Bernadikan enjin berprestasi tinggi, SUV kompak tersebut berupaya menghamburkan kuasa maksimum mencecah 407hp dan puncak tork tertinggi pada 640Nm sambil dibantu peranan kotak transmisi dengan lapan kelajuan miliknya.
Selain platform SPA, model Volvo XC60 baharu itu turut disuntik dengan beberapa ciri menarik lain.
Antara tarikan yang boleh didapati pada SUV tersebut ialah sistem pencegahan dan perlindungan keselamatan aktif digelar Intellisafe.
Jangan tidak tahu, Intellisafe didatangkan sebagai ciri standard bagi Volvo XC60 baharu ini.
Secara terperinci, Intellisafe dipecahkan kepada tiga fungsi keselamatan utama seperti City Safety (Sistem Brek Kecemasan Automatik), BLIS (Sistem Informasi Titik Buta) dan sistem amaran khas bagi mencegah berlaku perlanggaran dari belakang (Rear Collision Warning dan Mitigation).
Sebenarnya terlalu banyak ciri dan teknologi canggih diterapkan ke dalam SUV baharu ini sehinggakan tidak dapat diperincikan dengan lebih jelas.
Ciri-ciri tambahan lain yang dimaksudkan termasuk sistem pengecas turbo, sistem bunyi dengan 15 unit pembesar suara berjenama Bowers & Wilkins (terdapat pada varian XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus sahaja) dan motor elektrik.
Menyentuh soal penjimatan bahan api, VCM memberitahu SUV ini hanya menggunakan kira-kira 2.1 liter bagi perjalanan sejauh 100 kilometer. Menarik.
Sebagai permulaan, pengguna ditawarkan dengan lima pilihan warna seperti Ice White (Putih), Bright Silver (Perak), Osmium Grey (Kelabu), Onyx Black (Hitam) dan Maple Brown (Coklat).
Volvo Car Malaysia menawarkan harga jualan asas (tanpa insuran, cukai jalan dan nombor pendaftaran) sebanyak RM343,888 bagi varian XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus, XC60 T8 Twin Engine Inscription (RM333,888) dan XC60 T5 (RM298,888).
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web rasmi VCM di www.volvocars.com.my.