Volvo S60 & V60 Polestar 2018 - Model sporti anggun dibangunkan di Litar Nürburgring

oleh Muhammad Md Tajudin|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Adalah menjadi kebiasaan untuk satu-satu pengeluar kenderaan mengumumkan kehadiran model tahun seterusnya awal beberapa bulan sebelum tarikh jualan rasmi.

Tetapi apabila penala kenderaan seperti Polestar atau AMG atau M Sport memaklumkan barisan model baharu tahun seterusnya, ia pasti mengujakan peminat sejati mereka.

Ini pula berita tentang jenama dari Sweden.

Polestar yang merupakan divisyen penala Volvo Cars pada Isnin telah mendedahkan Volvo S60 Polestar dan V60 Polestar untuk tahun 2018.

 

Volvo S60 Polestar Racing 2018

 

Kedua-dua model khas Polestar itu tampil dengan pakej aerodinamik dan pengendalian baharu yang mampu mengurangkan daya mendapan (downforce) sehingga 30 peratus.

Untuk menjadikannya lebih eksklusif, hanya 1,500 unit akan dikeluarkan dengan satu didatangkan dengan nombor unik.

Untuk sebuah model sebegini dan juga Volvo, jumlah tersebut agak banyak sebenarnya jika dibahagi ke serata dunia.

 

Volvo S60 Polestar Racing 2018

 

Pakej aerodinamik baharu tersebut dibangunkan secara bersama dengan jurutera Polestar dan rakan permotoran mereka iaitu Cyan Racing.

Mereka menghasilkan pakej tersebut dengan data dan dapatan yang diperolehi dari Kejuaraan Kereta Penumpang Dunia (WTCC).

Peralatan baharu yang dipasangkan terdiri dari pemisah angin depan, sirip sisi dan tambahan spoiler belakang dibuat daripada material ringan gentian karbon di mana ia berjaya mengurangkan daya mendapan sehingga 30 peratus.

Komponen baharu tersebut juga didakwa dapat menambah cengkaman dan kestabilan pada kelajuan tinggi. 

Komponen utama lain yang ditukar ialah penyerap hentak Öhlins boleh laras dan angkup brek Brembo dengan enam omboh untuk mencengkam cakera berukuran 371 mm.

 

Volvo S60 Polestar Racing 2018

 

Suatu yang menarik apabila kebanyakan komponen dibangunkan serta diuji di litar Nürburgring. Ia tidak tamat disitu.

Semasa ujian oleh Polestar Cyan Racing dijalankan, Polestar S60 yang digunakan telah berjaya merekodkan kelajuan terpantas untuk sebuah kereta penumpang yang sah di sisi undang-undang.

Rekod tersebut berjaya dirahsiakan untuk suatu jangka masa sebelum ia didedahkan secara rasmi - tradisi Sweden yang tidak suka kecoh-kecoh mungkin.

Perubahan lain pada kedua-dua model ini ialah roda Polestar berwarna hitam kilat, pelindung cermin sisi gentian karbon dan juga warna baharu iaitu Bursting Blue Metallic.

Bahagian dalaman turut dikemaskini dengan balutan kerusi baharu yang dikontra dengan sulaman biru dan logo Polestar.

 

Volvo S60 Polestar Racing 2018

 

Model 2018 diperbaharui secara serius apabila lebih dari 250 komponen telah ditukar berbanding varian standard untuk menghasilkan sebuah kereta yang seronok dipandu dan pada masa sama mengekalkan kegunaan dan praktikaliti kenderaan Volvo.

Volvo S60 dan V60 Polestar menggunakan enjin baharu Drive-E Volvo dengan output 367 hp yang merupakan salah satu enjin empat silinder berkuasa dalam kelasnya.

Untuk peminat Polestar tempatan, pakej naiktaraf kuasa boleh dipesan sewaktu pembelian kenderaan Volvo. Sementara model S60 Drive-E masih dijual, model V60 pula sudah tidak ditawarkan lagi secara rasmi.

Paling hampir ialah unit yang boleh ditinjau di laman web kenderaan terpakai pada harga agak menarik.

Atau jika pengimport bebas boleh membawa masuk unit terpakai Mercedes-Benz A45 AMG, kenapa tidak boleh mengimport Volvo Polestar bukan?

 

Volvo V60 Polestar Racing 2018

 

Spesifikasi Teknikal Volvo S60/V60 Polestar 2018

Prestasi

Volvo S60 Polestar

0-100 km/h 4.7 saat
0-200 km/h 17.2 saat

Kelajuan maksimum:  250 km/j (dihadkan)

Volvo V60 Polestar

0-100 km/h 4.8 saat
0-200 km/h 17.4 saat

Kelajuan maksimum: 250 km/h (dihadkan)

Tayar dan roda

Michelin Pilot Super Sport 245/35 ZR20 (95Y) XL
Roda Hitam Polestar 20×8”

Enjin

4-silinder Drive-E turbo dengan supercharger
1969 cc
270 kW (367 hp DIN / 362 hp SAE) @ 6000 rpm
470 Nm (347 lb-ft) @ 3100-5100 rpm
Sistem ekzos besi tahan karat Polestar 3.0” dengan muncung berkembar 3.5” 

Transmisi

BorgWarner 4WD
8 kelajuan Geartronic automatik

Brek

Depan: Polestar/Brembo 6 omboh
Cakera Brembo 371×32 mm 

Cakera belakang: 302×22 mm 

Mod pemanduan

Kawalan pelancaran
Sport+ 

Warna

Bursting Blue Premium Metalik
Cyan Racing Blue
Onyx Black Metalik
Bright Silver Metalik
Ice White Solid

Kapasiti tangki minyak

67,5 liter

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Syarikat yang dinamakan Flexis itu menyasarkan untuk mengambil peluang peningkatan permintaan bagi…
Berita Global
Pengakhiran nadi diesel Volvo menyaksikan sebuah SUV XC90 terakhir berwarna biru dengan enjin…
Berita Global
  Volvo membangunkan Accident Ahead Alert bagi membantu pemandu mengelak pelanggaran dan…