Volvo 164 - Model mewah Sweden era 60an dan 70an

oleh Muhammad Md Tajudin|
Era 60an dan 70an adalah zaman bermulanya kerancakan ekonomi dunia. Penduduk dunia pada masa itu sedang menikmati pembangunan ekonomi pasca perang dunia kedua. Di sesetengah negara, minyak baru ditemui dan industri berat mula berkembang baik.

Budaya pop dan fesyen juga sama naik begitu juga dengan industri automotif. Kereta dianggap sebagai simbol status jadi tidak hairanlah fesyen dan reka bentuk kereta seiring sejalan.

Di antara kereta yang bergaya pada masa itu ialah Volvo 164 yang mula dikeluarkan pada tahun 1968. 
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Volvo 164

 

Model ini adalah produk pertama Volvo dalam segmen kereta mewah pasca perang dunia kedua selepas model PV 60 ditamatkan pada tahun 1950 dan model kedua enam silinder Volvo selepas model PV800 dihentikan pada tahun 1958.

Tahun ini Volvo 164 berusia 50 tahun dengan gaya klasik, elegan, moden dan mewah masih dapat dirasai sehingga sekarang.

Volvo sebenarnya telah lama merancang untuk mengeluarkan model yang lebih eksklusif. Pada lewat tahun 1950, sebuah model mewah dengan enjin V8 berada dalam perancangan yang kemudiannya dibatalkan pada tahun 1960.

Di antara sebab model itu dibatalkan ialah dapatan daripada satu tinjauan mendapati kereta kompak lebih sesuai untuk masa depan terutama sekali di Amerika Syarikat.

 

Volvo 164


Pelancaran barisan model 140 pada tahun 1966 membuahkan satu cadangan untuk memuatkan enjin enam silinder straight six pada model baharu Volvo dan ini membolehkan pengeluar dari Sweden itu menghasilkan sebuah model premium pada badan kompak seperti yang dimahukan pengguna.

Ketua Pereka, Jan Wilsgaard kemudiannya menggunakan casis siri model 140 dan bahagian depan model projek 358 tahun 50an.

Dengan itu logo Volvo yang menyerlah dengan kedudukan sama seperti model pertama Volvo pada tahun 1927 digunakan kembali dan ia turut digunakan pada model Volvo hari ini.

Casis model 140 ditarik panjang ke depan sebanyak 10 cm bermula dari cermin utama. Saiz lebih panjang tersebut diperlukan bagi memuatkan enjin baharu enam silinder straight six.

 

Volvo 164


Enjin baharu itu bersesaran 3.0 liter berkuasa 145hp dengan karburator berkembar Zenith-Stromberg. Transmisi 164 disumberkan dari ZF yang berasal dari Jerman.

Memandangkan model ini bersaing dalam segmen premium seperti Mercedes-Benz 250 dan Jaguar XJ6 maka dalamannya juga perlu setara.

Bahagian dalaman dilengkapi kerusi fabrik tebal dan kerusi belakang yang direka untuk dua penumpang dengan perehat lengan yang boleh disimpan ditengah kerusi.

Selepas setahun dikeluarkan, 164 dilengkapi dengan kerusi balutan kulit sebagai ciri standard, perehat kepala dan lampu tambahan halogen.

 

Volvo 164

 

164 versi AS pula dilengkapi tingkap berkuasa, bumbung suria elektrik, penyaman udara dan cermin dengan filem penebat.

Volvo 164 terus dihasilkan dengan beberapa perubahan termasuk enjin suntikan bahan api elektronik pada tahun 1972.

Model ini dikeluarkan sehingga tahun 1975 dan digantikan dengan model 264 atau mulanya era Volvo bentuk bersegi

Pada tahun penawaran 164 di AS, ada satu iklan menarik dari Volvo dalam menggambarkan model ini yang berbunyi "The Luxury Car That Shows You Have More Than Money."

Mendalam bukan? Benarlah bahawa Volvo untuk mereka yang mahukan sesuatu dan bukan kelaziman.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Syarikat yang dinamakan Flexis itu menyasarkan untuk mengambil peluang peningkatan permintaan bagi…
Berita Global
Pengakhiran nadi diesel Volvo menyaksikan sebuah SUV XC90 terakhir berwarna biru dengan enjin…
Berita Global
  Volvo membangunkan Accident Ahead Alert bagi membantu pemandu mengelak pelanggaran dan…