Volkswagen Jetta 1.4 TSI- Sekali cuba, pasti nak beli!

oleh DIANA ISMADI|

Baru-baru ini kami berpeluang untuk memandu uji Volkswagen Jetta 1.4L TSI Highline, rupa-rupanya jentera sedan ini sememangnya mengagumkan dan mantap.

 

Jika dipandang dari luar, mungkin ramai yang kata rupa Jetta ini lebih sesuai untuk pemandu yang berusia 40an, namun tidak bagi kami. Dengan kuasa dan prestasi yang ditawarkan, pastinya jentera ini mampu menggoda sesiapa sahaja yang memandunya.

 

Selama lebih kurang seminggu kami berpeluang untuk menguji jentera ini, kami sekali lagi turut memberi jentera ini kepada Pengurus Jualan Careta, Salina Jalil untuk mencuba. Beliau memang sangat suka memandu kereta yang bernadi turbo, jadi mari baca apa kata Salina mengenai jentera ini;

Jetta

 

Dari pandangan mata dan hatiku....

 

Pandangan pertama dari mata sebelum memandu, awat lah rupabentuk kereta ini berpetak aja, ala-ala kereta tahun 90an.

 

Pendapat kami pula merasakan yang rupa bentuk Jetta ini sangat kemas, solid dan sejuk mata memandang.

 

Pintu dibuka, terus melirik mata melihat bahagian dalaman, tempat duduk jenis kulit tetapi permukaan papan pemuka tidak seperti mana yang dijangkakan, ringkas dan tiada daya tarikan di kabin dalaman.

 

Alamak...maaf ya Salina,kami suka permukaan papan pemuka Jetta ini, cukup elegan, mewah dan memikat hati. Rekaan dalam ruang kabin kelihatan kemas serta sistem audio teknologi terkini menampakkan kereta ini menarik.

 

Jetta Cabin

Dengan perasaan agak kecewa sebelum ditekan 'push start button' dan memulakan perjalanan.

 

Bila sahaja enjin dah hidup…..dup dap dup dap......

 

Aduhhh .....baru masuk gear 'reverse' terus terasa satu macam! Dan disini lah bermulanya pengembaraan bersama sebuah jentera dari negara Jerman yang tidak disangka-sangka.

 

Sebelum ini boss ku selalu berpesan, setiap kali memandu kereta baharu, 'keep an open mind', maksudnya jangan terus membuat andaian.

 

Memadangkan saya bukan seorang yang mahir dalam bab teknikal, saya cuma boleh terangkan mengikut apa yang dirasa dan dilihat.

 

Jetta

Jetta ini merupakan kereta ke tiga saya yang mempunyai enjin turbo yang telah dipinjamkan untuk sesi pandu uji.

 

Samada sedar atau tidak, sememangnya perbezaan yang paling ketara adalah sistem pengendalian jentera Jerman dari jentera dari Jepun atau Korea.

 

Ini bukan isu 'perkauman' atau pilih kasih sebab asalnya dari sebuah negara di Eropah tetapi untuk model ini sememangnya perbezaan pengendalian begitu ketara.

 

"Dee, akak boleh rasa otak-otot kereta ni berdenyut dan bergerak. Smooth aje bila tekan minyak ni...Ehh sedap betul bawak kereta ni!" kata Salina.

 

Jetta

Pergerakan 'otot-otot' Jetta ini dapat dirasai apabila bergerak dengan kelajuan tinggi. Maksudnya kita dapat merasai setiap pergerakan kereta tersebut dan secara tidak langsung kita berasa yakin dan tenang dengan kebolehan kereta ini.

 

Dari segi perubahan gear, ia sangat lancar dan mudah, tidak tersenggok atau keras sehingga kita tidak merasai perubahan gear tinggi atau rendah.

 

Jentera ini turut dilengkapi dengan tuil'paddle shift' di hujung jari anda, sememangnya lebih menarik dan lebih menakjubkan.

 

Apabila mendaki bukit, untuk sesaat dua terasa kenderaan ini sedang bekerja untuk menyesuaikan ke arah pendakian, dan seterusnya melancarkan kuasa kudanya dengan lancar. Dalam bahasa pasar kita boleh katakan 'memecut tanpa toleh ke belakang'.

 

Bila melalui jalan berlubang, tidaklah Jetta ini meraung kuat atau memberi tindakan gegaran seperti gempa bumi, tetapi ditelan dan diserap oleh kereta ini.

 

Sekarang saya tahu kenapa orang Malaysia sanggup berbelanja membeli sebuah kereta yang dijual pada harga bermula RM109,578 Jetta 1.4 TL, RM118,578 1.4 CL dan RM128,990 1.4HL (harga atas jalan tidak termasuk insuran).

 

Walaupun bentuk kereta adalah subjektif dan kurang menarik di mata saya dan permukan papan pemukanya perlu dinaiktaraf setimpal dengan keenakan kehebatan gaya pemanduan, tetapi saya faham dan akur dengan pilihan mereka ini.

Jetta

 

Nadi kuasa

Apa yang paling menonjol megenai jentera ini pastinya, enjin 1.4TSI pengecas turbo sebagai nadi utamanya. Jentera ini mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 150PS dan tork 250Nm pada 1,500 hingga 3,500rpm.

 

Ia dipadankan dengan kotak gear DSG direct shift tujuh kelajuan. Menurut Volkswagen, jentera ini mampu dipacu daripada 0- 100km/j dengan catatan masa 8.6 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 221km/j.

 

Sememangnya jentera ini menawarkan kepuasan dan sangat sedap untuk dipandu. Tekan sahaja pedal pendikit, penghantaran kuasa lancar dan terus berdesup.

 

Jetta

 

Penjimatan penggunaan bahan api

Walaupun dengan daya pecutan yang sangat memuaskan serta prestasi yang mantap, namun Jetta turut menawarkan penjimatan bahan api yang efisien iaitu 5.0 liter untuk setiap 100km mengikut standard Euro 5.

 

Ruang dalaman luas dan selesa

Satu ciri yang paling kami suka, ruang but belakang sangat luas iaitu 510L. Nak letak barang, nak pindah, isi sahaja banyak mana pun, orang Kedah kata ‘jangan gabrah, mesti celuih”. Cukup praktikal bagi kegunaan golongan muda dan yang dah berkahwin dan anak ramai.

Jetta

 

Keselesaan ruang kabin memang boleh dirasakan oleh pemandu dan penumpang sesuai untuk kegunaan keluarga.

 

Aspek keselamatan

Untuk aspek keselamatan pula, Jetta turut dilengkapi dengan enam beg udara, Kawalan Keselamatan Elektronik (ESC), ABS, BA, Hill-hold Control, Isofix dan pengesan hujan.

 

Kos Selenggara

Kami sertakan lampiran kos untuk servis Volkswagen Jetta;

Jetta

Jika anda tak percaya yang Volkswagen Jetta ini memang mantap, cuba anda pergi ke bilik pameran Volkswagen dan pandu uji sendiri. 

 

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Mahu terajui segmen e-mobiliti Menurut Ketua Pegawai Eksekutif jenama Volkswagen, Dr. Herbert Dies…
Berita Global
Platform MEB milik VW itu sangat sesuai untuk kenderaan elektrik (EV) dan kerana ia fleksibel, ia…
Berita Domestik
  Pastikan anda menyemak jadual jelajah jualan promosi Volkswagen "Sedanza" ini di lokasi-lokasi…