Volkswagen ID.3 2023 diperkenal, hatchback elektrik saiz Golf yang comel!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen ID.3 2023
Volkswagen ID.3 2023
Di pasaran Eropah dan China sekarang ini sudah banyak kenderaan elektrik merentasi segmen dihidangkan kepada pengguna.

Ada model yang dibawa ke pasaran tempatan dan tiba masanya pengeluar lebih agresif memandangkan jalan sudah dibuka oleh kerajaan.

Pada Oktober 2022, Volkswagen telah mempertontonkan ID.4 di Sentul, Kuala Lumpur dan khabarnya bakal dijual di pasaran tempatan.

Saiz ID.4 dalam lingkungan Hyundai IONIQ 5 dan Kia EV6 yang kedua-duanya sudah pun boleh dimiliki pengguna di negara kita.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Volkswagen ID.3 2023

 

Jika ukuran ID.4 lebih daripada 4.5 meter panjang dan 1.6 meter tinggi, ID.3 pula lebih kecil dengan 4.26 meter panjang dan 1.55 meter tinggi atau lingkungan saiz Golf Mk8.

ID.3 dikeluarkan sejak 2019 dan VW baru sahaja memperkenalkan model rupa baharu di Eropah.

Perubahan yang dibuat merangkumi luar dan dalam dan perisian terkini.

Dari luar nampak sama namun berbeza, paling jelas ialah bampar baharu dan perkakasan hitam di bawah cermin depan ditanggalkan dan tukup bonet nampak lebih panjang.

 

Volkswagen ID.3 2023

 

VW turut mengoptimumkan bukaan penyejukan udara dan mempertingkatkan aliran udara di sekeliling roda depan atau dipanggil air curtain (tabir udara).

Liang pada sisi bampar mempunyai lubang untuk mengalirkan udara dan bukan sekadar kosmetik.

Pada bahagian dalam, VW menggunakan bahan mikrofiber Artvelours Eco pada pintu dan balutan kerusi, sejenis fabrik yang mengandungi 71 peratus bahan kitar semula

Bahan itu diproses daripada plastik kitar semula dan Artvelours Eco mempunyai karakteristik dari segi visual, rasa dan ketahanan seperti bahan baru.

 

Volkswagen ID.3 2023

 

Perkakasan dalaman ID.3 juga bebas dari bahan yang diperbuat daripada haiwan.

Berdasarkan cadangan pelanggan, VW menambah baik perkakasan dalaman seperti permukaan yang dilapisi busa dan pelapik pintu yang lebih lembut dan besar.

Selain kosmetik, VW turut menambah baik proses pengecasan untuk menjadi lebih mudah sebagai contoh fungsi Plug & Charge.

Fungsi itu membolehkan ID.3 membuat pengesahan sendiri dan mula proses mengecas sebaik sahaja plug stesen pengecasan disambung.

 

Volkswagen ID.3 2023

 

Sistem Electric Vehicle Route Planner pula membuat kiraan dan mencadangkan hentian untuk pengecasan.

Objektifnya untuk pemandu tiba ke destinasi secepat mungkin dan kiraan dibuat berdasarkan keadaan trafik semasa dan ramalan selain tahap bateri.

Secara ringkas, sistem mungkin mencadangkan dua hentian pengecasan singkat dengan kapasiti tinggi berbanding satu hentian panjang dengan kuasa rendah.

Sistem juga berupaya untuk mengesan stesen pengecasan yang sedang digunakan dan tidak mencadangkannya kepada pemandu.

 

Volkswagen ID.3 2023

 

Turut diperkemaskan perisian terkini yang mempertingkatkan lagi prestasi sistem dan membolehkan kemas kini over-the-air (OTA).

Paparan untuk pemandu berukuran 5.3 inci dan dikawal melalui stereng. Konsol tengah memuatkan skrin sentuh 12 inci untuk navigasi, fungsi telefon, tetapan kereta dan sebagainya.

Paparan skrin juga kini lebih jelas dan menu pengecasan disusun pada bahagian atas. Perubahan ini turut dibuat berdasarkan permintaan pelanggan

Sebagai pilihan, VW menawarkan papar pandu realiti terimbuh (AR) dengan pelbagai maklumat seperti kelajuan dan penunjuk navigasi.

 

Volkswagen ID.3 2023

 

Turut dijadikan pilihan pembelian ialah Travel Assist dengan swarm data (maklumat dari pelbagai sumber).

Dengan sistem Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), sistem mengawal ID.3 dari kelajuan sifar hingga maksimum dan Lane Assist mengawal kereta pada laluan lateral (sisi).

Jika swarm data tersedia, Travel Assist hanya memerlukan satu garisan jalan yang dikenal pasti untuk mengekalkan ID.3 pada lorong ketika memandu di jalan raya luar bandar.

Tentang jarak pemanduan, ID.3 sebelum ini boleh dipandu 348 kilometer atau sehingga 548 kilometer, bergantung kepada varian.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Volkswagen ID.3 2023