Volkswagen baharu sahaja membuka tempahan bagi model elektrik baharu VW ID.3 dan mengejutkan apabila ia menerima lebih daripada 10,000 pendaftaran minat bagi model elektrik tersebut.
Ia merupakan satu angka yang sangat menakjubkan kerana Volkswagen hanya mensasarkan penjualan kira-kira 30,000 unit bagi edisi pertama VW ID.3.
Malah, tambah jurucakap VW, disebabkan pendaftaran minat yang sangat tinggi, sistem IT syarikat tersebut tidak mampu untuk menampung jumlah pengguna yang sangat besar, selain menjadikan masa menunggu yang sangat lama untuk pendaftaran.
VW ID.3 1ST bakal mempunyai jarak operasi sejauh 420 km dan dijual pada harga di bawah €40,000 (RM187,124).
Manakala versi asas VW ID.3 sedikit kurang, iaitu 330 km sahaja dengan harga jualan di bawah €30,000 (RM140,343).
Menariknya, VW menawarkan sistem pengecasan percuma untuk tahun pertama sehingga 2,000 kWh.