Walaupun menerima pengecualian duti dan cukai, kereta elektrik masih lagi pada lingkungan harga RM150 ribu.
Situasi itu mewujudkan satu peluang kepada pengeluar yang berjaya menawarkan kereta elektrik pada harga yang lebih rendah.
Volkswagen baru sahaja memperkenalkan ID. 2all concept dan harganya? Kurang daripada 25,000 euro (RM119,446.62)!
Pada kadar tukaran ringgit harga itu masih tinggi namun usaha VW boleh dipuji bagi membolehkan lebih ramai pengguna mempunyai akses kepada EV.
ID. 2all concept dipacu roda depan, dilengkapi teknologi canggih seperti Travel Assist, IQ.LIGHT, Electric Vehicle Route Planner dan membawa gaya bahasa baharu VW.
Paling menarik, ID. 2all concept boleh dipandu sehingga 450 kilometer!
Model ini dibangunkan dari platform MEB Entry dan satu daripada sepuluh model EV yang akan dilancar menjelang 2026.
ID. 2all concept kekal membawa gayaan asas sebuah VW dengan beberapa olahan identiti seperti tiang C yang asalnya dibangunkan untuk Golf generasi pertama.
Bahagian depan meneruskan gayaan model ID lain dan nampak seperti wajah yang tersenyum. Lampu belakang dengan rekaan bersambung dan berkotak pula nampak serius.
Secara keseluruhannya, ID. 2all membawa gaya evolusi berbanding revolusi dan tidak menggunakan sifir ekspresif seperti EV lain.
Bahagian dalam ID. 2all tipikal untuk sebuah EV, kemas, tidak berserabut dan skrin besar pada papan pemuka.
Menariknya, VW memaklumkan ID. 2all mempunyai ruang simpanan 490 liter dan saiz yang besar untuk sebuah hatchback.
Spesifikasi Volkswagen ID. 2all concept:
- Kuasa: 166 kW / 226 PS
- Jarak pemanduan: 450 km (WLTP)
- Tempoh pengecasan: 10 hingga 80 peratus dalam 20 minit (pengecas pantas)
- Pecutan 0 hingga 100 km/j: Bawah tujuh saat
- Kelajuan maksimum: 160 km/j
- Dimensi: 4,050 mm (p), 1,812 mm (l), 1,530 mm (t)
- Jarak roda: 2,600 mm
- Ruang simpanan; 490 liter hingga 1,330 liter
- Roda: 225/40 R20!
Penulis: Muhammad Md Tajudin