Volkswagen Golf - licik dan bukan biasa-biasa!

oleh SALINA JALIL|
Mereka yang tidak mengenali Volkswagen Golf tidak layak melabelkan diri mereka kaki kereta dan kepada mereka yang belum pernah memandu uji kenderaan ini, mereka belum 'hidup'sepenuhnya. Amat merugikan kerana peluang ini julung-julung kali hadir di dalam kehidupan dan semestinya kami menerima jemputan dengan tangan terbuka dari Volkswagen Passenger Cars Malaysia Sdn Bhd (VPCM) untuk menyertai acara pemanduan media bersama tiga varian model terbaharu dari mereka iaitu Golf TSI R-Line, Golf GTi sementara Golf R pula hanya dijadikan sebagai kenderaan kemudi (lead vehicle).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

 

Perjalanan konvoi kami bermula dari Naj & Belle di Bangsar, lima buah kereta pengamal media di mana dua orang di setiap kereta. Varian pertama kenderaan kami adalah Golf TSI R-Line yang berwarna kuning keemasan. Untuk makluman, Golf TSI R-Line ini adalah sedikit premium berbanding Golf Sportline yang tidak terserta di dalam sesi pemanduan ini. Perbezaan di antara Golf Sportline dan Golf TSI R-Line adalah dari aspek aksesori yang telah dipelbagaikan untuk menarik pandangan mata.

 

golf 1

 

Keadaan cuaca yang amat baik seolah memahami sesi pemanduan ini, kami memulakan perjalanan ke Bukit Putus melalui lebuhraya LEKAS. Tujuan ke Bukit Putus adalah untuk mengalami pengalaman jalan berbukit bukau dan bengkang bengkok untuk mengetahui sendiri bagaimana stabil dan mudahnya mengendali Golf ini tanpa mengeluarkan setitik peluh dan tiada perasaan gementar kerana Golf R-Line ini walaupun varian biasa, ia masih bertindak dengan cemerlang.

Sedikit sedutan video pemanduan Golf TSI R-Line yang mampu bersaing bersama varian Golf yang lain:

 

 

 

Kami teruskan perjalanan ke Melaka untuk makan tengahari dan di sana setiap pengamal media bertukar varian kereta. Kami diberikan pula Golf GTI yang berwarna kelabu untuk meneruskan perjalanan ke Johor Bahru. Sememangnya Golf GTI ini lebih bertenaga dan tiada masalah mengambil selekoh tajam dan boleh memecut tanpa rasa bersalah! Dengan empat mod pemanduan iaitu normal, comfort, sport dan individual, anda cuma perlu tentukan mood anda untuk pemanduan, semestinya kami bertukar-tukar mod pemanduan untuk menjiwai setiap mod yang diberikan tetapi mod sport merupakan pilihan kami sehingga sampai ke destinasi kami iaitu Hotel Jen di Puteri Harbour. 
 

 

Sepanjang perjalanan ke Johor Bahru, kami bermain permainan ala-ala 'bingo' di mana kami perlu berhenti untuk memberi jawapan kepada teka teki atau menghuraikan 'jigsaw puzzle' berkaitan sejarah Golf yang diberikan. Siapa yang berjaya menjawab dengan tepat dan paling awal sampai ke destinasi terakhir adalah pemenang. Tahniah kepada Amirul (DSF) dan Erywan (Drebar.my) yang berjaya dinobatkan sebagai pemenang.

 

Keesokan hari pula, nasib kami kurang baik kerana keadaan cuaca tidak begitu baik dan hujan sejak pagi lagi, mengikut jadual yang telah dirancang, kami akan bertanding di acara 'Autocross' bersama Golf GTI dan Golf R tetapi keadaan cuaca telah menggagalkan program tersebut. Namun untuk tidak menghampakan kami yang telah bermuka basi serta bertakung air mata yang hampir menitis, kami tetap diberikan peluang untuk memandu Golf R secara slalom dalam keadaan jalan yang basah serta hujan yang masih tidak mengasihani kami. 
 

 

Golf R, deruman enjin serta pemanduan 'all wheel drive', terasa melekat di atas jalan walaupun hujan ribut di luar sana, acara slalom dirasakan sap sap soy sahaja tanpa perlu bekerja keras, terasa indah sungguh hidup, jiwa terasa muda dan jeritan batin kedengaran 'this is life'! Muka merudum sejak pagi terus berubah ceria serta glowing dan flawless selepas memandu Golf R, senyuman ala-ala Dominic Toretto jelas kelihatan di setiap wajah pengamal media yang turun dari sesi bersama Golf R. Kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Berbaloi sungguh hadir ke acara sebegini dan redha serta sedia untuk memandu pulang ke Kuala Lumpur selepas ini. 

 

Pada jam empat petang kami telah selamat sampai ke Kuala Lumpur dan tamatlah sesi seharian bersama Golf ini. Terima kasih kepada VPCM kerana menjemput Careta untuk pengalaman ini. Pantun empat kerat ini ditujukan kepada mereka:

Dua tiga kucing berlari
Mana nak sama si kucing belang
Beratus kereta sudah diuji
Memang terbukti Golf yang menang

 

Di sini kami nyatakan serba ringkas spesifikasi varian ketiga-tiga model ini sebagai rujukan, walaupun ia nampak hampir sama tetapi ia tidak sama apatah lagi serupa.

Golf TSI R-Line:

Enjin: 1.4 TSI 150PS turbocharged dengan 4 silinder 
Transmisi: DSG 7-kelajuan (direct shift klac kering)
Tork maksima: 250 Nm  
Rim aloi: 17"
Kemasan kulit Vienna 
Keluasan boot: 380 liter
Paparan Info Aktif bersaiz 12.3"
Paparan skrin media: 8"
Lampu hadapan dan belakang dari jenis LED dan pantulan lampu membelok dinamik
Beg udara: 7
Harga(GST sifar): RM159,888 tanpa insuran dan cukai jalan.
 

 

Golf GTI:

Enjin:2.0 TSI 230PS turbocharged dengan 4 silinder 
Transmisi: DSG 6-kelajuan (direct shift klac basah)
Tork maksima: 350 Nm
Kemasan kulit Vienna beserta 'piano black' deko di bahagian papan permukaan dan konsul tengah
Keluasan boot: 380 liter
Rim aloi: Milton Keynes 18" 
Paparan Info Aktif: 12.3"
Paparan skrin media: 8"
Bamper GTI di hadapan dan belakang beserta ikon grill yang mempunyai garisan berwarna merah
Spoiler GTI beserta logo GTI di bahagian fender, grill depan dan belakang
Lampu hadapan dan belakang dari jenis LED beserta pantulan lampu membelok dinamik
Beg udara: 7
Pelbagai aspek keselamatan seperti ABS, EBD, ASR, ESC, HHC dan banyak lagi.
Harga(GST sifar): RM225,888 tanpa insuran dan cukai jalan.

 

Golf R:

Enjin:2.0 TSI 290PS turbocharged dengan 4 silinder 
Transmisi: DSG 7-kelajuan (direct shift klac basah)
Tork maksima: 380 Nm
Pancuan empat roda (4Motion) 
Kemasan kulit Vienna beserta 'piano black' deko di bahagian papan permukaan dan konsul tengah
Keluasan boot: 343 liter
Rim aloi: Pretoria 19" 
Paparan Info Aktif: 12.3"
Paparan skrin media: 9.2"
Bamper R di hadapan dan belakang beserta ikon grill R 
Spoiler R beserta logo R di bahagian fender, grill depan dan belakang
Lampu hadapan dan belakang dari jenis LED beserta pantulan lampu membelok dinamik
Beg udara: 7
Pelbagai aspek keselamatan seperti ABS, EBD, ASR, ESC, HHC dan banyak lagi.
Harga(GST sifar): RM278,888 tanpa insuran dan cukai jalan.

 

Semasa sesi sidang media yang telah diadakan pada hari pertama tersebut, kami telah bertanyakan kepada Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter tentang warna-warna yang didatangkan untuk Golf yang dibawa masuk ke Malaysia, beliau berkata pemilihan warna-warna tersebut adalah warna yang dikeluarkan dari kilang di negara asal kelahiran Volkswagen, German dan berdasarkan warna pilihan yang menjadi kegemaran secara purata seluruh global.

Beliau juga berkata setiap negara pemilihan warna adalah berbeza namun untuk Golf R, warna yang sering menjadi pilihan adalah biru, kelabu dan hitam.  

Satu pertanyaan yang menarik yang telah ditanyakan adalah adakah model e-Golf akan hadir di sini dalam masa terdekat, jawapan yang diberikan adalah ia tidak berbaloi untuk dibawa masuk ke Malaysia kerana harganya akan menjadi tinggi kerana diimpot sepenuhnya dan tidak mendapat bersaing dengan model-model lain yang telah berada di pasaran.  

Beliau juga telah memaklumkan bahawa dengan kadar sifar GST, permintaan dan jualan kenderaan Volkswagen telah meningkat secara mendadak dan dijangka akan terus meningkat sehingga bulan Ogos nanti dan tempoh menunggu adalah sehingga sebulan ke sebulan setengah. Disebabkan permintaan yang tinggi ini juga, beberapa model cuma dapat diserahkan kepada pembeli pada bulan Ogos nanti. Model-model tersebut adalah Vento, Tiguan dan Passat.

Kesemua model Volkswagen didatangkan dengan jaminan pengilang lima tahun serta tiga tahun penyelenggaraan percuma dan penyelenggaraan setiap 15,000 km serta bantuan tepi jalan (roadside assistance) selama lima tahun.
 
 

Berita Berkenaan

Model Terbaharu
Touareg terbaharu kini sudah memasuki generasi yang ketiga, dan merupakan SUV pertama keluaran…
Berita Domestik
Untuk model terbaharu ini, Golf GTI kini dilengkapi dengan skrin paparan head-up display (HUD),…
Berita Domestik
"Kebimbangan dengan penjana perumahan beg udara pemandu hadapan disebabkan oleh kemerosotan…