Vios Challenge musim kedua: para pelumba kini bersedia menyahut cabaran!

oleh Mohamad Hanif|
Majlis graduasi yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang meraikan penamatan latihan intensif pelajar-pelajar Vios Challenge Racing School bagi membolehkan mereka menyertai perlumbaan Vios Challenge di Toyota Gazoo Racing (TGR) Racing Festival musim kedua bermula Ogos.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Barisan “pelajar” tersebut merupakan enam orang selebriti muda iaitu Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Akim Ahmad dan pelawak Nabil Ahmad yang akan bersaing di dalam kategori Promotional.

Manakala dua orang lagi adalah remaja yang bakal membuat penampilan sulung mereka di dalam kategori Sporting. 
 


Perlumbaan musim ini turut akan menyaksikan penampilan semula beberapa selebriti dari musim pertama.

Antaranya ialah Shawn Lee selaku juara bertahan kategori Promotional, disertai juga oleh Diana Danielle, Janna Nick dan Syukri Yahaya yang turut mengambil bahagian di dalam kursus persediaan pemanduan kali ini.

Prestasi terbaik yang ditunjukkan oleh Shawn Lee dan Syukri Yahaya pada musim lalu telah membolehkan mereka beralih untuk berlumba di dalam kategori Sporting pula pada musim kedua ini. 

Perlumbaan Vios Challenge akan menjadi aktiviti utama bagi TGR Racing Festival yang dianjurkan oleh UMW Toyota Motor Sdn Bhd dan menampilkan 40 jentera lumba Vios yang identikal untuk bersaing di dalam tiga kategori; Promotional, Sporting dan Super Sporting (bagi pelumba berpengalaman dan profesional).

 


Kategori Sporting kali ini menyaksikan penyertaan sulung dua pelumba berusia 14 tahun yang merupakan rakan sepersaingan dalam sukan go-kart sebelum ini, iaitu Mohamed Hayden Mohamad Haikal dan Oscar Ng Kok Tung.

"Ketika berlumba, saya gemar untuk menguji tahap kemampuan dan melakukan yang lebih baik. Toyota Vios Challenge menyediakan set cabaran baru untuk saya, dan ia merupakan satu perlumbaan yang berbeza berbanding go-kart. Banyak perkara yang perlu saya pelajari, termasuk teknik yang berbeza. Saya teruja kerana diberikan peluang ini untuk dapat berlumba dengan nama-nama besar serta selebriti lainnya. Semua ini memang sangat mengujakan bagi saya," jelas Mohamed Hayden.

Sementara itu, bagi pelumba muda Oscar pula, melangkah ke tahap baru berlumba menggunakan kereta sedan akan membawanya mengikut jejak yang sama seperti ayahnya, seorang bekas pelumba go-kart dan jentera lumba single-seater peringkat kebangsaan.

"Prinsip perlumbaan kekal tidak berubah, tetapi ini adalah pengalaman yang sama sekali berlainan buat saya, memandu sebuah kereta saiz sebenar dengan transmisi manual berbanding jentera go-kart. Ini sesuatu yang saya perlu sesuaikan diri dengan secepat mungkin untuk membolehkan saya memberikan saingan kompetetif," tambahnya.

 


Diuruskan oleh Wing Hin Motorsports di bawah seliaan Toyota Racing Development (TRD) Jepun, Vios Challenge Racing School memerlukan semua pemandu untuk mengikuti kursus dan latihan intensif selama enam hari termasuklah sesi teori berkaitan pemanduan defensif, teknologi kenderaan, sikap pemandu serta brek kecemasan dan teknik menghindari kemalangan.

Pemandu-pemandu kemudiannya meluangkan masa selama lima hari berikutnya di Litar Antarabangsa Sepang di mana mereka diajar berkaitan prinsip perlumbaan, memahami peraturan litar, bagaimana untuk melakukan penukaran gear dengan cara yang betul termasuk teknik 'heel and toe', garisan perlumbaan serta bagaimana untuk masuk dan keluar daripada selekoh dan tidak lupa juga cara membrek dengan berkesan.

Semua jentera lumba Vios disediakan di bawah penyeliaan Toyota Racing Development (TRD) Jepun, dengan peraturan perlumbaan mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Fédération Internationale de l'Automobile (FIA) dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

Semua kereta menggunakan model paling asas Vios 1.5 dan dipasangkan dengan sangkar keselamatan penuh (roll cage), serta ubah suai untuk perlumbaan seperti aspek aerodinamik, sistem suspensi, ekzos, brek, klac, limited slip differential (LSD) dan tayar.

 


"Musim pertama TGR Racing Festival dan Vios Challenge telah menjadi suatu acara yang sangat berjaya dari sudut promosi dan komersial," jelas Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Ravindran K.

"Selari dengan slogan All About The Drive syarikat, festival berkenaan serta perlumbaan Vios Challenge telah berjaya mempromosi kelebihan jenama ini serta berhasil menterjemahkannya dalam bentuk peningkatan jualan, terutamanya bagi model Vios. Ia secara jelas telah mempamerkan kemampuan, ketahanan, keselamatan serta ketangkasan model Vios. Semua perkara ini mungkin terlepas pandang oleh pengguna ketika mereka mencari sebuah kereta sedan untuk keluarga. Seperti yang kami nyatakan, All About The Drive dan untuk menghargai kemampuan sebenarnya, anda perlu memandu uji sendiri Toyota Vios terlebih dahulu." tambah beliau lagi.

Disamping menonton aksi perlumbaan yang berlangsung di atas litar jalanan yang dibina khas di perkarangan stadium, TGR Racing Festival juga menyediakan pelbagai aktiviti lain untuk seisi keluarga kepada orang awam disamping turut memberi ruang kepada mereka untuk mendekati barisan kenderaan terbaru dari Toyota.  Terdapat juga aktiviti lain seperti permainan pentas, promosi istimewa, cabutan bertuah dan Sesi Nyanyian Superfans sebagai memberi peluang kepada peminat untuk bertemu dengan pemandu-pemandu selebriti yang ada.

"Kuala Terengganu akan menjadi lokasi yang sangat istimewa kerana bukan saja bakal menyaksikan pembukaan perlumbaan bagi musim kedua, tetapi turut menjadi persinggahan pertama penganjuran aktiviti ini di Pantai Timur. Kami tidak sabar untuk menerima kunjungan dan layanan hangat yang sangat sinonim dengan warga di sana," ujar Ravindran.

 


Pusingan pertama TGR Racing Festival Musim kedua ini akan bermula seawal jam 9 pagi pada hari Jumaat (3 Ogos 2018) hingga Sabtu (4 Ogos 2018) bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Masuk adalah percuma!

Dari Kuala Terengganu, TGR Racing Festival akan beralih lokasi ke MAEPS Serdang di Selangor pada 19-21 Oktober; Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang (22-24 Februari 2019); serta aksi terakhir yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 12-14 April 2019.

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Hampir kesemua pelumba muda jelas menunjukkan rentak dalam pemanduan masing-masing bagi menguasai…
Sukan Bermotor
Pelumba berusia 26 tahun itu kembali bersaing dalam kelas Super Sporting, dimana dia akan berentap…
Sukan Bermotor
Dalam kelas Super Sporting, pelumba veteran Eddie Liew (Laser Motor Racing) muncul sebagai juara…