VIDEO: Evolusi Nissan Silvia - kereta sports murah daripada Nissan

oleh Mohamad Hanif|
Nissan Silvia bukanlah suatu nama yang asing di dalam sejarah industri automotif negara Jepun, bahkan sehingga kini ia masih merupakan pilihan kebanyakan penggemar sukan permotoran disebabkan casis yang murah dan mudah pula untuk dimodifikasikan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Daripada enjin asal CA18DET dan SR20DET, ada juga pemilik yang ingin merasai lebihan kuasa dengan berani menukarkan enjin kepada enjin enam silinder sebaris seperti RB20DET, dan LS3 bentangan V8!

 


Sejarah asal Silvia bermula dari model pemasangan tangan CSP311 diasaskan daripada convertible Fairlady dan mula diperkenalkan pada September 1964 dengan enjin 1.6 liter 96 kuasa kuda. 

Sebanyak 554 unit sahaja berjaya dibina, dan daripada jumlah itu, hanya 59 unit dieksport ke pasaran Australia dan pasaran lain sebelum pengeluaran dihentikan pada tahun 1968. 

 


S10 pula merupakan model produksi massa pertama Silvia menggunakan platform S serba baharu menggunakan enjin 1.8 liter L18 dengan teknologi kawalan emisi Nissan NAPS. 

Model ini terjual sekali bersama Nissan 510, akan tetapi ketika Nissan 510 menggunakan sistem suspensi bebas, Nissan S10 Silvia ini hanya dilengkapi dengan sistem pegas dedaun di bahagian belakang. 

 


Memasuki generasi ketiga, S110 merupakan cubaan pertama Nissan memperkenalkan enjin rotary melihatkan kepada kejayaan Mazda Cosmo pada ketika itu sebelum dihentikan kerana enjin rotary tersebut "terbukti tidak boleh dipercayai". 

Ia kemudian menggunakan enjin siri Z termasuklah enjin suntikan bahan api Z18ET yang hadir untuk pasaran Jepun untuk model facelift. 

 


Silvia S12 hadir ke pasaran bermula Ogos 1983 sehingga 1988 dengan dua konfigurasi reka bentuk badan, notchback dan hatchback dan enjin siri FJ sebelum digantikan dengan enjin siri CA (CA18DET).

Di Jepun, ia hadir dengan dua nama iaitu Silvia (notchback dan hatchback) dan Gazelle (hatchback sahaja) dengan beberapa trim ditawarkan bergantung kepada pengedar yang menjual. 

 


Nissan S13 hadir pada pertengahan 1989 dengan rekaan badan coupe manakala Nissan Gazelle telah dijenamakan semula sebagai Nissan 180SX, merupakan antara model terawal Nissan yang menampilkan penggunakan suspensi multi-link di belakang serta sistem stereng empat roda HICAS-II.

Enjin CA18 yang digunakan pada generasi terdahulu masih diteruskan pada S13 sebelum digantikan dengan penggunaaan enjin siri SR20DE dan SR20DET yang lebih berkuasa. 

 


Nissan S14 Silvia pula muncul pada penghujung 1993 dengan dimensi badan yang lebih besar dan lebar berbanding S13, menyebabkan ia 'terkeluar' daripada sistem cukai kelas kompak yang murah seperti sebelum ini. 

Ia masih mengguna pakai enjin SR20DET dengan pengenalan sistem pemasaan variable cam timing (VCT) dan turbo T28 yang lebih besar dan hadir dengan beberapa versi facelift sebelum dihentikan pengeluaran pada tahun 2000.
 


Nissan S15 Silvia merupakan generasi terakhir di dalam keluarga Silvia dengan kuasa setinggi 247 hp dan 275 Nm daya kilas daripada enjin SR20DET, terima kasih kepada penggunaan turbocharger jenis ball-bearing dan pengurusan enjin yang lebih baik. 

Hadir dengan dimensi yang telah diperbetulkan bagi mengurangkan kadar cukai yang tinggi, S15 juga menampakkan rekaan yang agresif dan moden seiring dengan peredaran zaman dan ia merupakan kereta sports murah terakhir yang keluar daripada kilang Nissan pada Ogos 2002.
 

Saksikan video pendek sejarah Silvia ini melalui video yang dihasilkan oleh Cars Evolution. 


 

Sehingga kini, nama Silvia masih lagi kesepian daripada sebarang berita pengganti walaupun model Z dan GT-R khabarnya akan menerima model pengganti seawal tahun hadapan.