Venom F5 sasar 484 kmsj untuk tumpaskan Chiron

oleh HEZERI SAMSURI|
John Hennessey ialah seorang ahli perniagaan dan juga seorang jurutera dan beliau memiliki sebuah syarikat kenderaan eksotik di Texas, US.

Ia juga berfungsi sebagai sebuah tuning-shop, contohnya Ford F150 Raptor yang dimodifikasi menjadi sebuah Velociraptor 6X6 dengan 600 hp.
Promosi Duit Raya

Hennessey sememangnya sudah ada satu supercar sebelum ini, Hennessey Venom GT (gambar di bawah) yang dibina di atas platform sebuah Lotus Elise.

Jika Lotus menggunakan enjin 1.6L n/a atau 1.8L supercharged untuk Elise, Venom GT menggunakan enjin 7.0L twin turbo dari GM (platform Elise itu dipanjangkan untuk memuatkan enjin besar itu) dengan kelajuan 435.3 kmsj, ketiga di belakang Bugatti Chiron dan Koenigsegg Regera.

Geram kerana bukan lagi terlaju, maka John menghasilkan model terbaharunya, Venom F5, yang diperkenalkan awal bulan lalu di Sema Show, Las Vegas.

Ia dijangka akan memberikan pecutan 0 - 60 bsj (0 - 97 kmsj) dalam masa 2 saat dan kelajuan maksimum 484 kmsj, mengatasi Chiron.

Tak cukup? Jangan risau, kerana Venom F5 juga mampu melakukan pecutan dari 0 ke 300 kmsj dalam masa bawah 10 saat, lebih laju dari kereta Formula 1 Lewis Hamilton.

Hennessey juga menjangkakan pecutan dari 0 ke 400 kmsj mampu dilakukan dalam masa bawah 20 saat. 

Dengan harga US$1.6 juta atau RM6.8 juta, Venom F5 menggunakan enjin 7.4L V8 twin turbo blok aluminium yang direka sendiri oleh Hennessey, khusus untuk menghasilkan 1,600 hp dan 1,763 Nm, sahaja.

Transmisi ialah dari jenis 7-kelajuan semi automatik klac tunggal, yang memacu roda belakang sahaja. Kerana itu, aerodinamik venom F5 ini pastinya sangat baik kerana untuk memecut selaju yang didakwa hanya dengan menggunakan roda belakang, downforce yang banyak diperlukan untuk memastikan kenderaan itu stabil.

Kerana itu, Venom F5 mempunyai sistem aerodinamik aktif dan ia lebih baik dari Venom GT pada 0.33 Cd.

Brek ialah dari jenis seramik dan dibuat oleh Brembo manakala tayar pula ialah dari Michelin Cup 2. Kesian kerana Michelin sanggup membuat tayar khusus untuk Bugatti tetapi untuk John, dia terpaksa mencari sendiri tayar yang sesuai.

Seberat 1,338 kg dengan bahan api dan segala cecair, ia memberikan nisbah kuasa pada 1,195 hp untuk setiap satu tan.

Cuma 24 unit sahaja yang akan dibina oleh koboi Amerika ini dan anda perlu membuat permohonan dahulu kepada John dan beliau yang akan menentukan anda layak atau tidak. 

 

Add new comment

banner articles