Antara yang bakal membuat kemunculan adalah Daihatsu, di mana pengeluar yang terkenal dengan barisan kei-car yang comel dan unik itu tampil dengan konsep tersendiri yang bakal mewarnai Tokyo Auto Salon tahun hadapan.
Konsep tersebut dinamakan sebagai Daihatsu Village Colorful Carnival yang menampilkan lima unit kenderaan kustom bertemakan 'cara baharu untuk bergembira'.
1. Van sportster Daihatsu Hijet Jumbo Sportza Ver.
Anda mahukan sebuah sportster akan tetapi wang di dalam tabung masih lagi tak mencukupi walaupun sudah menabung sejak kecil?
Daihatsu Hijet Jumbo Sportza Ver. merupakan sebuah konsep aneh di mana sebuah van telah ditukar menjadi sebuah sportster dengan memotong hampir keseluruhan struktur bumbung van tersebut!
Dengan ketiadaan struktur itu tadi, van tersebut kini mempunyai ruang bed kargo yang amat luas di belakang, sementara bahagian hadapan pula menampilkan dua unit tempat duduk sports.
Muka hadapan van sportster ini juga lebih sporti dengan kehadiran cermin penghadang angin yang kecil.
Aneh? Tapi unik, bukan?
2. Copen Spyder Ver.
Masih lagi bertemakan sebuah sportster, akan tetapi kali ini Daihatsu Copen menjadi 'mangsa'.
Sama seperti Hijet Jumbo di atas, Copen Spyder ini telah kehilangan struktur bumbung, dan digantikan dengan cermin penghadang angin yang kecil, dan tempat duduk sports disokong dengan penampilan nacelles pada dek belakang.
3. Hijet Jumbo Camper Ver.
Hijet Jumbo ini telah diberikan penampilan sebagai sebuah van camper, di mana seksyen belakang ditutupi dengan kain penyamaran, manakala di bahagian atas pula dipasang dengan rak bumbung.
Van camper ini nampak comel dengan kehadiran unti lampu berbentuk bulat, dan seksyen bawah yang menampakkannya seakan mulut yang tersenyum...
4. Taft Crossfield Ver.
Crossover Daihatsu Taft yang telah diberikan keupayaan untuk menawan laluan off-road.
Selain daripada jarak kelegaan tanah yang ditinggikan, Taft Crossfield ini turut dipasang dengan tayar yang lebih gagah, manakala di bahagian hadapan pula telah direka semula bagi memastikan sudut approach crossover ini lebih baik.
Brush bar dipasang bagi melindungi unit lampu, sementara di bahagian bawah terdapat unit cangkuk terbina.
Seperti van camper Hijet, Taft Crossfield Ver. ini turut mempunyai rak bumbung yang tersendiri.
5. Thor Premium Ver.
Anda masih ingat Daihatsu Thor yang pernah memunculkan diri di tanah air suatu ketika dahulu dengan penampilan yang standard?
Ini merupakan Thor Premium Ver. yang hadir dengan kelengkapan D-Sport dan dilayangkan dengan warna dua tona teal dan perak.
Set rim yang besar telah dimuatkan pada keempat-empat sudut.