TUNGGANG UJI: Kawasaki Ninja 250R - imej dan kuasa dalam satu pakej lengkap

oleh Mohamad Hanif|
Motosikal kelas suku liter sememangnya menjadi sasaran para peminat oleh kerana tanda harga yang (masih) mampu milik bagi kebanyakan pengguna.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024


Biarpun bersaing dengan beberapa jenama rakan senegara seperti Yamaha R25 dan Honda CBR 250R (sekadar menyebut beberapa jenama) namun Kawasaki tetap hadir dengan rekaan tersendiri dan gaya yang menambat hati menerusi penawaran Ninja 250. 

Peluang keemasan yang diberikan oleh pihak Kawasaki Malaysia Sdn Bhd (KMSB) untuk menguji Kawasaki Ninja 250 R ini tidak dapat dilepaskan, apatah lagi penulis baharu sahaja menceburkan diri di dalam arena ini. 


Untuk segmen suku liter ini, Kawasaki mempunyai dua penawaran di bawah nama Ninja, iaitu Ninja 250SL yang dijana menggunakan enjin silinder tunggal 250cc dan Ninja 250R sepertimana yang kami tunggang uji kali ini. 

Dengan rekaan luaran serba tajam yang dipinjam daripada ZX-6R, Ninja 250R memberikan imej sebuah motosikal lumba secara lalai (default) tanpa perlu pengubahsuaian yang berlebihan pada bahagian luaran.

 


Sedikit nota kepada mereka yang baru (dan penulis), adalah penting untuk penunggang supaya membiasakan diri dengan kedudukan dan posisi tunggangan yang selesa sebelum memulakan tunggangan supaya tidak terasa penat selepas menunggang pada satu tempoh yang agak lama. 

Penulis mengakui akan hal ini, kerana pada fasa awal tunggangan, penulis cepat berasa penat oleh kerana posisi tunggangan yang salah dan keadaan tangan yang terlalu tegang menyumbang ke arah itu. 

Setelah berhenti sebentar dan membetulkan kembali posisi tunggangan, dan pada masa yang sama kedudukan tangan dibetulkan supaya lebih relaks ketika menunggang. 

Tempat duduk sememangnya selesa untuk menampung berat badan penunggang oleh kerana fizikalnya yang tidak terlalu keras. 
 


Secara ringkas, Kawasaki Ninja 250R ini menggunakan enjin berkapasiti 250 cc empat lejang dua silinder dengan sejukan cecair. 

Atas kertas, ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 32 PS dengan daya kilas 21.0 Nm.

Walaupun pada asalnya ia merupakan enjin yang sama digunakan pada saudara kembaranya Kawasaki Versys X 250, namun perbezaan nisbah kuasa kepada berat di antara kedua buah model ini menyumbang kepada kuasa pecutan yang menyeronokkan pada Ninja 250R ini. 

Kuasa yang dihamburkan ketika memecut tidak mengecewakan apabila Ninja 250R ini mampu pergi mengikut arahan penunggang, ditambah dengan nada ekzos yang agak merdu ketika dikerah tenaganya. 
 


Sistem ekzos asal yang didatangkan pada Ninja 250R ini telah ditala bagi memberikan alunan yang merdu, dan ketika melahu, bunyi yang dihasilkan kedengaran lebih seperti superbike kelas atasan berbanding bunyi ekzos yang dihasilkan oleh rakan sekelasnya. 

Tunggangan di atas lebuhraya sememangnya lancar walaupun pada kelajuan melebihi hadlaju kebangsaaan oleh kerana rekaan Ninja yang cekap mengurangkan geseran angin yang bertindak ke atas motosikal. 

Getaran sedikit dirasakan terutama di bahagian tangan ketika halaju yang tinggi, namun ia tidak terlalu mengganggu konsentrasi tunggangan. 

Namun, penulis tidak mampu untuk menguji had laju maksimum yang mampu dicapai oleh kerana keadaan angin lintang di lebuhraya dan cuaca yang tidak menentu sewaktu tunggang uji dilakukan. 
 


Ketika memasuki kawasan bandar, fizikal kecil Ninja ini memudahkan tunggangan di celah-celah trafik yang sibuk dan aliran haba enjin yang panas tidak begitu terasa di kawasan kaki. 

Senyuman penulis semakin melebar ketika memasuki jalan yang berliku dan berselekoh, Ninja ini memang ligat, dan mudah untuk 'dilayangkan' ke kiri dan ke kanan mengikut garis jalan yang ditetapkan oleh penunggang. 

Sistem suspensi teleskopik fork di bahagian hadapan dan bottom-link uni-trak di bahagian belakang menyumbang kepada pengendalian yang mantap dan sejati sebuah Ninja terutama ketika meratah selekoh dan membelah lebuhraya. 

Gabungan mantap ciri di atas dilengkapkan dengan sistem brek cakera bersaiz 290 mm di hadapan dan 220 mm di belakang memberikan kuasa pemberhentian yang diimpikan oleh penunggang, tidak terlalu kuat mencengkam dan tidak pula lambat bertindak. Bak kata orang putih, just nice!
 


Panel meter pula menggabungkan sistem analog yang memberikan bacaan putaran enjin dan sistem digital yang ringkas dan mudah dibaca. 

Terdapat beberapa tetapan yang boleh dipilih, malangnya tiada tetapan bacaan penggunaan bahan api dan jarak perjalanan sebelum tangki perlu diisi semula. 

Mengikut perkiraan penulis, setangki penuh yang berkapasiti 17 liter ini mampu memberikan jarak perjalanan sejauh lebih daripada 300 km sebelum meter bahan api berkelip-kelip minta diisi. 
 


Bagi mereka yang ingin menceburkan diri di dalam arena motosikal perlumbaan kelas permulaan tanpa perlu berbelanja besar, Kawasaki Ninja 250R ini merupakan satu pilihan yang baik lengkap dengan pakej imej dan prestasi yang diinginkan. 

Ia sebuah motosikal kelas suku liter yang baik, mudah dikawal, dan penulis jamin, senyuman akan sentiasa terukir di bibir saat tangan kanan mula memulas pendikit minyak Ninja 250R ini. 

Spesifikasi ringkas Kawasaki Ninja 250R
Enjin 250 cc sejukan cecair 4 stroke parallel twin
32 PS kuasa /21.0 Nm daya kilas
Sistem suntikan bahan api
Manual enam nisbah kelajuan
Sistem suspensi teleskopik fork hadapan
Sistem suspensi Bottom-Link Uni-Trak belakang
Sistem brek cakera hadapan dan belakang
Kapasiti tangki bahan api 17 liter
Berat bersih 172 kg
Ketinggian tempat duduk 785 mm
Harga RM22,589 (harga asal termasuk 6% GST)

 

Berita Berkenaan

Pelancaran Motosikal
Sejak Modenas ZX-25R SE diperkenalkan di Malaysia pada September 2023 lalu, model ini terus…
Berita Domestik
Kempen panggil balik tersebut melibatkan penambahbaikan bahagian bawah kerangka seperti yang…
Pelancaran Motosikal
Warna baharu yang diterima oleh Kawasaki Z900 ABS adalah warna Candy Persimmon Red/Ebony yang…