Tuah tekad 'lahirkan semula' Holden Statesman HQ 1977

oleh Afandi Che Muhamad|
Tiada lama tiada baru. Mungkin itu perumpamaan yang sesuai digunakan bagi menggambarkan hubungan antara kereta masa kini dengan kereta klasik (vintaj).

Mungkin jentera lama dianggap sebagai ketinggalan zaman bagi mereka yang tergolong dalam kelompok generasi masa kini seperti Z (2001-2010) dan Alpha (2010-sekarang). Namun, persepsi tersebut bercanggah pula dengan generasi terdahulu.

Mengambil Tuah Ibrahim sebagai contoh, lelaki berusia 35 tahun ini begitu meminati kenderaan klasik terutamanya model kategori American Muscle.

Baginya, kereta klasik akan kelihatan jauh lebih menarik berbanding kereta sekarang jika diubahsuai atau diberikan sentuhan semula menerusi proses restorasi.

Justeru, tidak menghairankan jika lelaki kelahiran Kuching, Sarawak ini mengambil keputusan untuk membeli seunit Holden Statesman HQ keluaran tahun 1977.

Wah! Menarik Bukan? Siapa sangka kereta berusia lebih 40 tahun itu masih boleh ditemui sekarang ini dan dimiliki oleh individu yang lebih muda daripada usianya.

Menurut Tuah, dia memutuskan membeli model kereta lama berkenaan selepas mengambil kira kemudahan mendapatkan alat ganti untuk proses restorasi.

"Kereta buatan Australia ini dibeli daripada seorang peminat kenderaan klasik lain kira-kira dua tahun lalu (tahun 2016).

"Dia (pemilik asal) ketika itu membuat keputusan menjual kenderaan terbabit berikutan sudah terbiar lama dalam simpanannya," kata Tuah.

Tambahnya, kereta dengan nadi enjin bersesaran 3,300cc (enjin asal) tersebut dibeli pada harga RM4,000 ketika itu.

Jelas Tuah, kereta tersebut merupakan projek restorasi pertama baginya. Careta difahamkan dia belum pernah melakukan proses restorasi baik kereta atau pun motosikal.

Ketika ditanya mengenai perkembangan proses restorasi, Tuah memberitahu kereta tersebut kini telah melalui beberapa fasa restorasi di sebuah bengkel, Monster Garage yang terletak tidak jauh dari kediamannya.

"Setakat ini, kereta tersebut sudah pun siap menjalani proses membuang cat asal miliknya.

"Kita sekarang sedang sibuk meleraikan bahagian depan belakang kereta tersebut. Proses itu diambil bertujuan memudahkan pemasangan enjin half-cut dan beberapa tugas lain," ujarnya.

Sepanjang fasa tersebut dijalankan, pihaknya sudah berhabis sebanyak RM15,000 bagi membeli enjin juga alat ganti dari Semarang (Indonesia) dan Australia.

Nah! Kalau ada yang beranggapan projek restorasi kereta klasik seperti ini murah, anda silap.

Mendengarkan apa yang dimaklumkan Tuah sendiri, jelas kos restorasi keretanya sudah berbelas ribu. Siap boleh beli kereta terpakai lain yang jauh lebih muda daripadanya seperti Proton Waja atau Gen 2 secara tunai kalau nak.

Terang Tuah lagi, pihaknya tidak berani meletakkan sebarang jangka masa untuk kenderaan terbabit siap susulan berdepan dengan beberapa masalah kewangan seperti penyediaan kos tenaga kerja.

Namun, dia bertekad memastikan kenderaan itu siap sepenuhnya sehingga boleh menyusur di atas jalan raya dengan penuh bergaya pada masa akan datang.

(Gambar di atas menunjukkan keadaan asal Holden Statesman HQ)

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Dunia modifikasi tidak akan berkembang jika tidak ada jurufoto-jurufoto dan pengamal media sosial…
Gaya Hidup
Kelab Hiace Malaysia telah mengadakan hari keluarga mereka dari 19 ke 20 Mac lalu. Bertempat di…
Gaya Hidup
Untuk Nizam Che Ahmad, modofikasi kereta memang sesuatu yang bukan asing baginya. Bekerja dengan…