Treelektrik lancar lori elektrik - kos perjalalan 3 sen setiap kilometer!

oleh HEZERI SAMSURI|
Trelektrik Sdn Bhd yang beribu pejabat di Balakong melancarkan sebuah lori mikro pelbagai guna semasa Malaysia AutoShow 2017 hujung minggu lalu.

Micro Lorry T-MV7 dilancarkan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah, yang juga salah seorang dari pemegang saham terbesar syarikat kenderaan elektrik itu.

Lori mikro itu memang kompak dan lebar sedikit dari Perodua Kancil. Beratnya ialah 558 kg tanpa muatan dan tanpa badan belakang.

Had muatan atau payload ialah 615 kg, bermakna ia lebih sesuai untuk membuat kerja-kerja penghantaran ringan.

Dua jenis bateri menjadi pilihan - bateri basah atau lead-acid yang memberikan jarak perjalanan maksimum 80 km dan kelajuan maksimum 55 kmsj.

Bateri lithium yang lebih baik dan lebih mahal pula memberikan jarak perjalanan 180 km dan halaju tertinggi ialah 80 kmsj.

Kos perjalanan, sekiranya mengikut tarif elektrik TNB sekarang, ialah RM0.03 untuk setiap kilometer.

Ia sesuai untuk perjalanan dekat dan yang tidak mempunyai beban yang berat. 

Apapun, selagi harga bahan api masih mampu dan masih tidak ada undang-undang yang akan memberikan bonus kepada pengguna EV, mungkin sukar untuk rakyat marhaen Malaysia memahami kepentingan lori EV ini.

Harga masih belum diumumkan dan Careta akan menyiarkannya sebaik sahaja info diterima.

micro lorry

 

Add new comment