Travelog Alaz & 'Kombi' - Selami kehidupan masyarakat di Utara Thailand

oleh Afandi Che Muhamad|
Tidak ramai memiliki jiwa dan semangat kental untuk mengembara ke bumi asing secara solo, tambahan pula dengan menggunakan pengangkutan darat.

Bagi merealisasikan perkara tersebut, pelbagai faktor harus diambil kira sebelum memulakan perjalanan.

Sebagai contoh, jenis dan kondisi jentera yang bakal digunakan untuk ke destinasi dituju. Kebiasaannya, jentera yang digunakan terdiri daripada model baharu.
Promosi Duit Raya

Lain halnya pula dengan Muhammad Al-Hallaz atau lebih dikenali sebagai Alaz, 25. Lelaki ini mengambil pendekatan mengembara menggunakan seunit Volkswagen Kombi 'Split Bus' 1.2 Panel Jerman kesayangannya.

Melihatkan van klasik Alaz, jelas bahawa kenderaan seperti itu sememangnya sukar dijumpai lagi pada zaman sekarang.

Masih mengekalkan keasliannya, ia ternyata dijaga rapi pemuda berambut kerinting (afro) ini.

Menurut Alaz, van berkenaan dibelinya kira-kira dua tahun lalu pada harga RM50,000 daripada seorang peminat kereta klasik lain.

Sepanjang memilikinya, Alaz sudah berhabis hampir RM20,000 bagi kos pengubahsuaian sahaja. 

Langkah itu diambil supaya kenderaan kesayangannya itu kelihatan lebih menarik berbanding keadaan asal ketika dia mula membelinya dahulu.

Selain Volkswagen Kombi 'Split Bus' 1.2 Panel Jerman, Alaz turut memiliki seunit Volkswagen Kombi 'Bay Window' 1.6 Panel Jerman.
 
Berbalik kepada episod kembaranya ke Thailand, Alaz telah melakukan rutin penyelenggaraan terhadap 'Kombi' kesayangannya itu sehari sebelum dia berangkat ke Thailand pada 11 Disember tahun lalu.

Bengkel servis pilihan Alaz ialah Gan Spare & Services yang terletak di Skudai, Johor Bahru.

Prosedur itu ditekankan Alaz supaya perjalanan itu berjalan lancar kerana begitu sukar untuk mencari bengkel atau pun alat ganti berikutan dia tidak mempunyai kenalan dalam kalangan masyarakat di sana (Thailand).

Ditambah pula dengan masalah sukar berkomunikasi, kebanyakan masyarakat di sana kurang memahami bahasa Inggeris selain Alaz juga kurang fasih bertutur menggunakan bahasa Thailand.

Meski pun sedar akan kesukaran yang bakal ditempuhi, Alaz memasang tekad untuk tidak berputus asa dan mengubah keputusan yang telah diambil.

Ketika ditanya mengapa dia begitu teruja untuk ke sana, Alaz menegaskan bahawa idea tersebut (mengembara) tercetus selepas dia tertarik untuk melihat keindahan budaya yang terdapat di negara Gajah Putih itu.

Bercerita lanjut, Alaz mendakwa perjalanannya ke negara Thailand baru-baru ini telah meninggalkan 1001 kenangan manis buat dirinya.

Antaranya, cabaran menempuh perjalanan sejauh lebih 5,178 kilometer (km) pergi dan balik. Ia memberi satu kepuasan kepada diri Alaz sendiri.

Tidak terhad setakat itu sahaja, pemuda berasal dari Nusajaya ini memberitahu dia tertarik dengan corak kehidupan masyarakat di sana terutamanya di Mae Sai (Golden Triangle) dekat wilayah Chiang Rai.

"Berkesempatan bermalam di rumah salah seorang penduduk di Chiang Rai, saya perhatikan corak kehidupan mereka begitu ringkas atau dalam konteks masih mengekalkan elemen tradisional.

"Sebagai contoh, mereka masih lagi bersusah payah keluar masuk hutan semata-mata mencari kayu untuk dibuat unggun api ketika hendak memasak atau memanaskan air," katanya.
 

Terang Alaz, dia ada membawa muatan kelengkapan dan barang keperluan peribadi seperti bekas air, dapur butane dan beberapa alatan survival lain.

Kelengkapan itu dikongsi untuk kegunaan bersama dengan penduduk di wilayah itu sepanjang penginapannya di sana tidak lama sebelum ini.

Untuk makluman, Mae Sai memperoleh gelaran Golden Triangle susulan lokasinya terletak betul-betul di sempadan tiga buah negara berasingan (Thailand, Myanmar dan Laos).

Tambah Alaz, perjalanan dia kali ini membawa dia kepada konsep 'back to nature'. Perkara itu diketahui selepas melihat sendiri budaya dan adat masyarakat setempat selain turut ditemui ketika melalui beberapa destinasi lain sebelum itu.

Terdahulu, Alaz telah melalui laluan 1000 Corner (destinasi terkenal dalam kalangan penunggang motosikal ekoran laluan berkenaan bengkang-bengkok, penuh dengan selekoh) yang terletak di  Mae Hong Soon.

Diikuti puncak gunung tertinggi di Thailand iaitu Doi Intanon. Memiliki ketinggian lebih 25,000 meter dari paras laut, cuaca di situ begitu sejuk sehingga terasa mencucuk tulang terutamanya pada sebelah pagi sekitar 4 darjah celcius.

Menutup perbualan, Alaz berkata pengalaman itu merupakan kenangan baru buat dirinya secara peribadi dan dia tidak menolak kemungkinan bakal merancang perjalanan ke negara lain pula selepas ini.

Untuk rekod, Alaz dilaporkan telah kembali ke tanah air pada 26 Disember lalu.

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Berita Domestik
SUV dengan kod nama D38L itu bakal menggunakan platform sedia ada Daihatsu Terios yang kini sudah…
Aksesori Motosikal
Baru-baru ini, kembara itu telah merentasi tiga negara (Indocina) termasuk Thailand, Kemboja dan…
Berita Domestik
Menurut beliau, Perodua memang mempunyai perancangan untuk menghasilkan sebuah SUV untuk pasaran…