Toyota Tundra 2022 - pesaing F-150 sudah mari!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa kali teaser didedahkan, akhirnya Toyota secara rasmi melancarkan generasi baharu trak pikap saiz penuh Tundra yang bakal bersaing secara terus dengan trak pikap paling popular di Amerika - Ford F-150.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi kuasa, Tundra kini tidak lagi ditawarkan dengan enjin V8, sebaliknya ia didatangkan dengan trenkuasa 3.5 liter V6 turbo berkembar dengan dua output yang berbeza mengikut spesifikasi.

Enjin V6 serba baharu ini menampilkan penggunaan blok aluminium, intercooler dengan sejukan cecair, kepala silinder serta struktur jaket air dua lapisan yang membantu aliran coolant secara maksimum selain meningkatkan kekuatan kebuk pembakaran.

Tahap keberkesanan port kemasukan juga turut dipertingkatkan dengan penggunaan komponen intake valve seat berprofil rendah yang disaluti serbuk logam menggunakan laser.
 

Tundra


Tundra versi aras mula didatangkan dengan output 389 hp dan daya kilas 649 Nm, sementara versi hibrid  yang dinamakan sebagai i-Force Max pula berkeupayaan untuk menghasilkan 437 hp dan 790 Nm.

Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik 10 nisbah kelajuan, sementara versi hibrid pula menampilkan motor elektrik yang dimuatkan antara enjin dan kotak gear yang boleh digunakan untuk membantu pengedaran kuasa, pemulihan tenaga, serta pemanduan sifar emisi.

Motor tersebut mendapatkan sumber kuasa daripada pek bateri nickel-metal hydride yang diposisikan di bawah tempat duduk belakang.
 

Tundra


Toyota turut meningkatkan keupayaan untuk menunda sebanyak 17.6 peratus kepada 5,443 kg, serta kapasiti muatan sehingga 880 kg, atau peningkatan sebanyak 11 peratus.

Terdapat beberapa mod pemanduan ditawarkan, termasuklah dua mod khusus untuk menunda iaitu mod standard dan Tow/Haul+ yang direka untuk menunda beban yang lebih besar seperti trailer, bot dan juga camper, dibantu dengan sistem paparan panorama, cermin sisi tambahan, lampu trailer LED, Blind Spot Monitor, Trailer Back Guidance dan Straight Path Assist.

Dari segi casis, Tundra berkongsi platform ladder frame dengan Land Cruiser generasi baharu yang menggunakan aluminium untuk penjimatan berat, serta cross member yang lebih lebar dan lebih tegar bertujuan untuk menambah kestabilan dan ketegaran casis, selain membantu pengendalian yang lebih baik.
 

Tundra


Satu perubahan ketara dibuat adalah penggunaan sistem suspensi multi-link di belakang bagi menggantikan penggunaan spring dedaun yang mampu meningkatkan kadar keselesaan, kestabilan, pengendalian serta keupayaan untuk menunda beban.

Terdapat varian yang ditawarkan dengan suspensi udara di belakang dengan fungsi larasan manual dan automatik dengan tiga tetapan iaitu Low, Normal dan High bergantung kepada penggunaan.

Suspensi hadapan pula menggunakan gantungan jenis double wishbone baharu dengan pengurangan sudut offset untuk meningkatkan kestabilan di jalan lurus, pemanduan kelajuan tinggi, serta mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh.

Tidak ketinggalan, Tundra boleh juga dimuatkan dengan Adaptive Variable Suspension yang mampu menawarkan larasan secara automatik bergantung kepada kondisi jalan.
 

Tundra


Penampilan Tundra 2022 disumbangkan oleh reka bentuk yang agak agresif, dimulakan dengan rekaan lampu berbentuk T, gril hadapan yang lebih besar, liang kemasukan udara sisi menegak, rekaan hud dan fender yang berisi, serta tiang A yang digelapkan.

Unit lampu belakang pula didatangkan dengan kemasan grafik tiga dimensi, sementara ruang bed belakang pula menampilkan ciri bantuan seperti rel, lampu bantuan, serta outlet kuasa 120V.

Kemasan ruang kabin pula menampilkan rekaan kokpit berteknologi tinggi, dimulakan dengan skrin paparan kluster instrumen 12.3 inci, serta sistem infotainmen baharu Audio Multimedia bersaiz 8 atau 14 inci yang lebih pantas dan turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar.
 

Tundra TRD


Versi Toyota Tundra TRD Pro pula didatangkan dengan gril unik, huruf TOYOTA di atas bar LED, rekaan camo pada bampar dengan fender flare, huruf TRD Pro pada pintu tailgate, skid plate aluminium TRD, sistem ekzos TRD dan juga tayar all-terrain Falken Wildpeak.

Tidak cukup dengan itu, trak TRD Pro ini turut mendapat bar penstabil hadapan, kit pengangkat hadapan 1.1 inci, serta pakej TRD Off-Road yang merangkumi sistem Multi-Terrain Select, Downhill Assist Control dan Crawl Control.

Crawl Control secara asasnya merupakan kawalan jelajah berkelajuan rendah dengan lima tetapan kelajuan yang boleh dipilih, semetnara Multi-Terrain Monitor pula didatangkan dengan sistem kamera bantuan sekeliling untuk memantau dan mengelak halangan di sekeliling.

Akhir sekali, sistem penyerap hentak FOX 2.5 inci dengan tabung simpanan minyak tambahan untuk prestasi off-road yang dipertingkat, serta penggunaan bendalir jenis polytetrafluorethylene-infused untuk mengurangkan kadar geseran dan meningkatkan keselesaan atas jalan raya.
 

TRD


Ciri keselamatan yang dimuatkan pada semua varian Tundra adalah Toyota Safety Sense 2.5 yang merangkumi sistem pra-pelanggaran, pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, bantuan stereng kecemasan, kawalan jelajah radar dinamik, bantuan pengekalan laluan, sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang serta suluhan tinggi automatik.