Toyota Innova 2017- memang berbeza dan lebih mewah!

oleh DIANA ISMADI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Apabila disebut sahaja ‘MPV’, pastinya kita akan memikirkan tentang kereta dengan saiz yang panjang lebar, bentuk yang besar dan ia merupakan kereta untuk ayah-ayah!

 

Di Malaysia kini kita mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan sesuatu kenderaan yang sesuai bagi kegunaan seisi keluarga. Dari saiz kecil hingga besar, terpulang pada kemampuan dan minat seseorang.

 

Pengguna MPV sekarang ini terdiri dari golongan muda yang baharu berkahwin atau yang baharu mempunyai anak, yang mana mereka mahukan sesuatu pengangkutan yang peraktikal dari segi saiz, keperluan dan menawarkan penjimatan.

 

Walaubagaimanapun, ada satu faktor lagi yang menjadi punca seseorang itu memilih kendraan, iaitu reka bentuk dan kawalan pemanduan kenderaan. Bagi sebuah MPV seperti yang kita sedia maklum, ia merupakan kenderaan yang besar dan bukan seperti pemanduan sebuah kereta sedan atau kompak yang biasa.

 

 

Oleh demikian, sesetengah akan memilih MPV yang nampak lebih “sporty” untuk melayan jiwa muda atau minat dengan kenderaan yang nampak ganas dan kebanyakkannya mampu membeli hanya satu pilihan kenderaan sahaja yang benar-benar memenuhi keperluan selain melayan ayah-ayah yang berjiwa muda. Maka apa yang kita lihat ada sesetengah MPV itu di ubah suai dengan cara dan minat masing-masing.

 

Soal gaya dan kemampuan enjin sesebuah kenderaan itu juga menjadi pilihan kepada pembeli unuk menarik minat pada sesuatu model atau jenama MPV khusunya. Sebenarnya setiap kenderaan MPV memerlukan kita mencuba ia terlebih dahulu, apakah ia sesuai dengan kemampuan, keluasan, keselamatan dan cara pemanduan setiap hari. MPV merupakan kereta untuk keluarga, jadi apa yang terbaik, bawa keluarga anda ke bilik pameran dan uji sendiri praktikaliti yang ditawarkan.

 

Maka dengan itu, Toyota sejak model pertama yang dilancarkan, Toyota Unser hingga ke Innova telah memasuki segmen kenderaan pelbagai guna.

 

 

Toyota kini telah melancarkan model baharu Innova yang hadir dengan tiga varian iaitu 2.0E MT, 2.0E AT dan varian tertinggi 2.0G AT.

 

Toyota Innova ditawarkan pada harga RM105,764.31 untuk 2.0E MT, manakala 2.0E AT pula RM113,543.83 dan 2.0G AT pula RM122,323.35 (kesemua harga atas jalan tidak termasuk insurans). Kesemua model turut ditawarkan dengan waranti selama lima tahun .

 

Model Innova ini dilengkapi dengan enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat-silinder DOHC dengan Dual VVT-i, yang mampu menjana kuasa sebanyak 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm iaitu lebih tiga PS dan satu Nm berbanding sebelum ini.

 

Bagi varian automatik, ia ditampilkan dengan transmisi enam-kelajuan, menggantikan kotak gear empat-kelajuan. Manakala varian manual masih kekal sama dengan lima-kelajuan.

 

Innova baharu ini mempunyai berat 1715 kg. Enjinnya terasa agak berhempas-pulas untuk memuntahkan kuasa sebelum ia mencapai angka pecutan yang dikehendaki.

 

Lokasi yang kami pilih untuk menguji jentera ini adalah melalui Lebuhraya Karak hingga ke Genting Highland. Kuasa yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi baharu automatik enam-kelajuan (bagi varian 2.0G dan 2.0E AT) dengan penganjak berjujukan “sequential shifter” dilihat membantu enjin memberikan prestasi yang lebih memuaskan, walaupun jalan menaiki bukit ketika ke Genting Highland agak mencabar keupayaan Innova baharu ni.

Toyota Innova 2017

Innova serba baharu ini turut didatangkan dengan tiga suis mod pemanduan “Normal” untuk pemanduan biasa yang mengimbangi prestasi dan penjimatan bahan api, “ECO” bagi mengurangkan penggunaan kuasa bergantung pada pendikitan dan mengoptimakan penyejukan penghawa dingin, serta “Power” bagi mempertingkatkan kuasa untuk pemanduan yang lebih menyeronokkan.

 

Satu perkara yang kami suka tentang jentera ini adalah penambahan penebat bunyi bagi kabin Innova baharu antara penyebab bunyi dari luar mampu dikurangkan daripada menyerap masuk ke dalam kabin, seolah ia sebuah kenderaan mewah yang berkualiti.

Toyota Innova Interior 2017

Dari segi ruang dalaman serta dan bahagian interior, ia sangat menarik bagi sebuah MPV kos sederhana. Buat pertama kali memasuki ruang kabinnya, pasti teruja dengan kekemasan yang ditampilkan pada model terbaru kali ini, ia sesuatu yang menarik!

 

Untuk kami, prestasi dan kuasa pada Innova baharu ini sudah memadai bagi sebuah MPV. Apa yang pasti, sifat MPV, ia tidak sesuai dengan pemanduan agresif ketika jalan raya tak kira di mana pun keadaan pemanduan kita.

 

Pemanduan sederhana lebih bersesuaian terutamanya jika membawa keluarga. Toyota mendakwa, enjin baharu ini dapat memberikan penjimatan bahan api sebanyak 18 peratus iaitu sekitar 9.4 l/100 km (berbanding 10.7 l/100 km pada model terdahulu, untuk manual dan automatik pula lebih kurang 9.1 l/100 km berbanding (11.2 l/100 km untuk model terdahulu).

 

Innova generasi baharu ini sememangnya dipengaruhi oleh trak pikap Hilux terkini. Ia tinggi dengan “ladder frame”, platform pacuan roda-belakang. Sistem suspensinya juga adalah baharu, ia menggandingkan “Double Wishbone” untuk hadapan dan “multilink” di belakang. Ia sekali gus membantu memberikan kestabilan yang lebih optimum. Malah ia juga disifatkan memberikan redaman yang lebih lancar pada kelajuan sederhana dan tinggi. Bukan itu sahaja, suspensi belakang juga telah dipertingkatkan dengan padanan penyerap hentak yang lebih besar.

 

Innova baharu ini lebih panjang dari yang sebelumnya iaitu sebanyak 150 mm (4,735 mm), 55 mm lebih lebar (1,830 mm) dan 35 mm lebih tinggi (1,795 mm). Jarak rodanya pula tidak berubah iaitu 2,750 mm.

Ciri keselamatan yang ditawarkan pada Innova 2.0G;

  • Tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu)
  • Bantuan Brek (BA)
  • Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki,
  • Isyarat Berhenti Kecemasan dan dua cagak Isofix sebagai CIRI standard.
  • Penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP
Toyota Innova 2017

Manakala varian 2.0E AT dan 2.0E MT pula hanya ditampilkan dengan tiga beg udara, ABS dan Isofix. Kesemua varian dilengkapi dengan lampu utama halogen multi-reflector (dengan fungsi Follow Me Home dan auto on/off) dan pelarasan manual. Selain itu, ia turut didatangkan dengan lampu nyalaan siang standard, rim aloi 16-inci yang dibaluti tayar 205/65R16 dan spoilerbelakang.

Toyota Innova 2017

Bagi varian 2.0G, elemen tambahan turut ditampilkan bagi memberikan imej yang lebih premium termasuklah lampu kabus hadapan dan belakang (varian 2.0E AT dan MT hanya ada lampu kabus belakang).

 

Bukan itu sahaja, ia turut datang dengan gril radiator krom dengan warna hitam dan perak, cermin sisi berkuasa boleh laras dengan lampu isyarat membelok dan “Puddle Lamp”, pintu belakang berkuasa “Easy Closer” dan pemegang pintu krom.

 

Selain itu, model dengan spesifikasi tertinggi ini juga dilengkapi dengan sistem kemasukan tanpa kunci, Push start button” meter Optitron, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, pencahayaan bumbung LED serta penghawa dingin automatik (manual untuk 2.0E AT/MT) hadapan dan belakang.

 

 

Ia turut menampilkan perehat lengan, cupholder, ruang barangan di konsol tengah serta meja boleh lipat di bahagian penyandar kerusi bagi tempat duduk barisan . Selain itu, ia juga menampilkan dua “power outlet” iaitu di bahagian hadapan dan di tengah yang turut memudahkan pengecasan peranti termasuk telefon bimbit.

 

Selebihnya, Innova merupakan MPV yang wajar untuk dipertimbangkan terutamanya bagi anda yang berkeluarga. Dan jika anda memilih Innova baharu ini, pastinya varian 2.0G lebih berbaloi memandangkan varian 2.0E yang kurang elemen keselamatan berbanding lebih banyak ciri premium pada model spesifikasi penuh itu.

 

Penulis dan gambar oleh_Afiz Takumi@The Stick_