Toyota GRMN Yaris 2022 dilancarkan - 268 hp, 390 Nm, 500 unit sahaja

oleh Mohamad Hanif|
Bertempat di Tokyo Auto Salon 2022, Toyota telah melancarkan secara rasmi GR Yaris yang lebih berkeupayaan, digelar sebagai GRMN Yaris.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, usah terburu-buru untuk terus mengeluarkan duit dari bank, ini kerana GRMN Yaris hanya dihasilkan khusus untuk pasaran Jepun sahaja, dan unit produksi dihadkan sebanyak 500 unit sahaja.
 

GRMN


Jika dibandingkan dengan GR Yaris, GRMN Yaris didatangkan dengan beberapa kelebihan, seperti kotak gear manual enam kelajuan dengan nisbah yang lebih rapat, tempat duduk belakang dibuang, serta tempat duduk bucket Recaro.

Casis GRMN Yaris kini lebih tegar, ini kerana Toyota telah menambah bilangan titik kimpal sebanyak 545 tempat jika dibandingkan dengan GR Yaris yang standard.

Dari segi kuasa, GRMN Yaris masih lagi mengekalkan enjin tiga silinder 1.6 liter turbo yang mampu menjana 268 hp dan 390 Nm, peningkatan 20 Nm berbanding model GR Yaris, serta tidak ketinggalan LSD mekanikal pada gandar depan dan belakang.
 

GRMN


Toyota turut menawarkan beberapa pakej seperti Circuit Package (lebih ringan 20 kg) yang merangkumi pemasangan rim BBS bersaiz 18 inci, brek yang lebih besar, penyerap hentak boleh laras Bilstein, sayap belakang gentian karbon, skirt sisi, dan lip hadapan.

Sementara Rally Package pula merangkumi pemasangan penyerap hentak dan bar pengimbang serba baharu, set pelindung bawah casis, serta bar oleng dengan penjimatan berat sehingga 30 kg.

Harga jualan GRMN Yaris bermula dari 7,317,000 yen (RM268,780) untuk versi asas, diikuti dengan 8,467,000 yen (RM311,045) untuk Circuit Package dan 8,378,764 yen (RM307,803) untuk Rally Package.
 

GRMN


Memandangkan hanya 500 unit sahaja yang ditawarkan, Toyota akan mengadakan cabutan bagi menentukan siapa yang layak membawa pulang GRMN Yaris.

Kemaskini 27/12/2022: Aksi GRMN Yaris ini boleh dilihat menerusi video terbaharu Best Motoring, di mana hot hatch cilik ini diuji sendiri atas litar touge Gunsai oleh trio Keiichi Tsuchiya, Manabu Orido dan Nobuteru Taniguchi.

Terdapat juga beberapa info penting di sebalik pembangunan GRMN Yaris dikongsikan sendiri oleh pemandu uji Gazoo Racing, Sasaki Masahiro dan jurutera GR, Saito Naohiko pada pautan video di bawah: