Toyota Century SUV bakal muncul September ini, saingi Rolls-Royce Cullinan?

oleh Mohamad Hanif|
sumber gambar: Best Car Web
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Toyota merancang untuk mengeluarkan sebuah SUV ultra-mewah sebagai pelengkap kepada penawaran sedan Century sedia ada pada tahun ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini adalah berikutan trend pemilikan SUV yang semakin meningkat di serata dunia bagi menggantikan peranan sedan yang semakin mengecil kewujudannya.

Malah, terdapat pengeluar yang sebelum ini popular dengan barisan supercar turut mula menawarkan produk SUV, dan ternyata langkah tersebut berjaya menguntungkan mereka, seperti Lamborghini.
 

Century


Menurut laporan terkini daripada Best Car Web, Toyota Century SUV serba baharu ini akan muncul pada musim luruh tahun 2023 (bermula September).

Tidak menggunakan platform Century sedia ada, Toyota mengguna pakai platform SUV Highlander sebagai asas sebelum menambah ukuran dimensi dan mengubah konfigurasi asal tiga baris tempat duduk kepada dua baris sahaja.

Laman Best Car Web menjangkakan Century SUV ini yang bakal menjadi pesaing rapat kepada Rolls-Royce Cullinan memiliki ukuran sepanjang 5,200 mm, lebar 1,950 mm, tinggi 1,750 mm dengan jarak antara roda sepanjang tiga meter.
 

Century SUV


Jika dibuat perbandingan, Century SUV memiliki saiz yang sedikit kecil daripada Rolls-Royce Cullinan dengan ukuran dimensi 5,340 mm x 2,000 mm x 1,835 mm (jarak antara roda 3,295 mm).

Tidak keterlaluan untuk kita bandingkan kedua-dua model tersebut, memandangkan sedan Century itu sendiri disifatkan sebagai sebuah 'Rolls-Royce' Jepun.

Sama seperti tujuan asal Century sedan, Century SUV ini juga direka untuk pemilik yang tidak gemar memegang stereng, sebaliknya memilih untuk duduk di kerusi belakang dan menyerahkan tugas tersebut kepada pemandu peribadi.
 

Century


Antara ciri yang bakal dibawakan pada Century SUV ini termasuklah emblem burung phoenix, kemasan warna luaran yang menggambarkan budaya dan ketukangan Jepun, serta elemen rekaan luaran yang boleh meletakkannya sebaris dengan sedan Century.

SUV ultra mewah ini akan dibekalkan dengan trenkuasa hibrid yang terdiri daripada nadi bentangan V6 3.5 liter berkuasa 300 PS dan 356 Nm, dipadankan dengan dua motor elektrik  - satu untuk setiap gandar - masing-masing berkuasa 80 PS.

Tiada lagi penggunaan nadi V12 memandangkan kali terakhir Toyota menggunakan enjin tersebut ialah pada sedan Century generasi kedua sebelum beralih kepada enjin V8 hibrid seperti yang digunakan pada sedan Century generasi ketiga.
 

Century


Toyota Century SUV ini dilapor akan muncul pada musim luruh ini dengan tanda harga sekitar 15,000,000 yen (RM499,803).

Sumber: Best Car Web