Toyota Alphard, Vellfire tampil segar untuk kegunaan pasaran 2018

oleh Afandi Che Muhamad|
Sejak diimport dan diedarkan di Malaysia secara rasmi oleh UMW Toyota Motor pada 2014, Toyota Alphard dan Toyota Vellfire menerima permintaan menggalakkan daripada pelanggan yang inginkan sebuah MPV mewah buatan Jepun.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Setakat ini, lebih daripada 3,000 unit model-model berkenaan telah terjual melalui bilik pameran sah Toyota di seluruh negara, menyumbang kepada 50 peratus daripada pasaran MPV premium tempatan.

Selain dikenali kerana kelebihan nilai dengan penawaran kelengkapan yang ada, Alphard dan Vellfire yang dijual oleh pengedar sah Toyota juga datang dengan jaminan pengeluar selama lima tahun dan sokongan lepas jualan secara menyeluruh.

Bagi model tahun 2018, kedua-dua model berkenaan menerima peningkatan dan penambahbaikan bagi memberi lebih nilai kepada pelanggan. Spesifikasi terkini termasuk enjin serta transmisi yang baru hanya boleh didapati daripada pengedar rasmi Toyota sahaja.

Toyota Alphard

Seperti sebelumnya, Alphard ditawarkan dalam dua varian — Alphard 3.5 Executive Lounge yang menawarkan tahap kemasan Premium Luxury dan Alphard 3.5 yang menawarkan tahap kemasan Advanced Luxury.

Kedua-dua varian kini dilengkapi enjin baru 2GR-FKS 3.5 liter V6 yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan kawalan elektronik.
 

Enjin baru yang lebih berkuasa ini dilengkapi sistem suntikan D-4S yang memberikan penyaluran minyak optimum dalam setiap keadaan.

Sistem ini menggunakan penyuntik tekanan tinggi dan tekanan rendah untuk memenuhi keperluan pembakaran di dalam keseluruhan julat kelajuan enjin.

Sistem Variable Valve Timing-intelligent Wide (VVT-iW) membekalkan tork tinggi, dari julat rpm paling rendah hingga yang paling tinggi.

Ia menggabungkan kitaran Atkinson untuk meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api dan kitaran Otto untuk kelebihan kuasa.

Beberapa ciri kejuruteraan lain seperti sistem Auto Stop & Start turut memberikan lebih penjimatan minyak.

Sistem ringkas ini boleh diaktifkan oleh pemandu pada bila-bila masa; ia akan mematikan enjin sekiranya kenderaan berada dalam keadaan pegun yang lama.

Ini mengurangkan pembaziran bahan api dan pembebasan sisa bakar, ia akan kekal aktif selagi pemandu meletakkan kaki pada brek.

Sebaik brek dilepaskan, enjin akan hidup semula secara automatik dengan lancar.

Penampilan menonjol Alphard diserlahkan dengan konsep "Bravely Magnificent" dan bagi model terbaru ini, imej dinamik dan formalnya menerima sentuhan baru.

Bahagian tengah gril kini lebih ke hadapan, memberi penekanan terhadap struktur tiga-dimensi pada rekaan melintang dari logonya ke bahagian lampu dan garis bahu, memberikan penampilan lebih dinamik disamping menyerlahkan ketelitian yang diberikan terhadap model ini. 

Pada bahagian sisi, rekaan lampu utama projektor yang digunakan turut menyumbang kepada rupa baru ini.

Unit lampu bahagian bawah menampilkan pencahayaan panduan sementara lampu isyarat pula kini didatangkan dengan ciri cahaya berturutan (sequential). 

Dari bahagian belakang, Alphard memiliki imej yang lebar dan kuat, disumbangkan oleh kemasan melintang yang dilanjutkan pada bahagian atas lampu.

Lampu tiga-dimensi bentuk L disusun dibawahnya, menerbitkan kesan seperti ia disepadukan dengan kemasan berkenaan serta memberikan imej kedudukan kenderaan yang lebih rendah.

Alphard 2018 menggunakan rim aluminium aloi 18-inci dengan rekaan dan penggayaan baru yang lebih sporty.

Pelanggan boleh memilih daripada lima warna luaran berbeza, yang terdiri dari satu warna baru — Graphite Metallic.

Empat warna sedia ada yang ditawarkan ialah Luxury White Pearl CS, Burning Black CS, White Pearl CS dan hitam.
 

Bahagian dalamnya turut menerima sentuhan kemewahan yang lebih pelbagai.

Material berkualiti digunakan serta pemasangan teliti menjadi taruhan.

Sebagai contoh, bahagian perehat lengannya kini menggunakan material kulit sintetik dengan jahitan untuk memberikan rasa sentuhan yang lebih eksklusif.

Ia menggantikan material plastik lembut yang digunakan bagi model tahun 2017. 

Bagi varian Alphard 3.5 Executive Lounge, kawasan dengan kemasan jahitan silang kini lebih luas di tempat duduk belakang. Rekaannya juga telah diubah kepada tema menegak untuk nampak lebih moden.

Kemasan pada perahan lengan di tempat duduk barisan kedua juga telah diubah agar lebih sepadan dengan kemasan ruang kabin secara keseluruhannya agar tampil lebih berkualiti.

Ruang dalaman bagi varian Executive Lounge dilengkapi dengan material kulit campuran sementara Alphard 3.5 menggunakan material kulit berkualiti tinggi.

Kemasan corak kayu yang digunakan juga menerima pembaharuan agar lebih segar dengan imej baru.

Seperti yang dijangkakan pada sebuah MPV mewah, tempat duduknya menawarkan keselesaan optimum dengan operasi kuasa elektrik di barisan pertama dan kedua.

Untuk memberikan lebih keselesaan, ia kini dilengkapi dengan ciri pendingin hawa (bagi Alphard Executive Lounge) yang menyalurkan udara dingin dari bahagian kusyen dan penyandar.

Varian Executive Lounge dilengkapi dengan kerusi VIP saiz besar, manakala Alphard 3.5 hadir dengan kerusi Kapten; kedua-duanya dengan perehat kaki untuk keselesaan perjalanan jauh.

Lagi tambahan ciri-ciri baru bagi model tahun 2018 ini ialah pad pengecas tanpa wayar bagi peranti dengan sistem Qi, serta Digital Full Display Mirror yang memberikan pandangan yang lebih luas dan jelas.

Selain pantulan permukaan biasa, cermin berteknologi tinggi ini turut memaparkan imej dari kamera yang terletak di belakang kenderaan.

Dengan ini, penglihatan yang lebih jelas diperoleh, tanpa mengira keadaan cuaca semasa atau siang-malam.

Aspek keselamatan adalah penting untuk Toyota.

Untuk itu, sistem perlindungan penumpang tertinggi disediakan bagi Alphard.
 

Tahun ini, antara ciri baru yang melengkapi model berkenaan ialah Blind Spot Monitoring System untuk memaklumkan pemandu sekiranya ada kenderaan di titik buta melalui paparan ikon pada cermin sisinya.

Satu lagi ciri baru ialah Rear Cross Traffic Alert (RCTA), yang akan banyak membantu pemandu untuk memerhati keadaan di belakang dan sisi kenderaan ketika ingin keluar dari tempat letak kenderaan secara mengundur.

Sensor digunakan untuk mengesan pergerakan kenderaan lain dan sekiranya ada, sistem amaran akan berbunyi dan berupaya untuk memberhentikan kenderaan bagi mengelak perlanggaran.

Bagi yang memerlukan bantuan ketika ingin meletak kenderaan, ciri Panoramic View Monitor (PVM) turut ditawarkan sebagai pilihan bagi Alphard.

Melalui empat kamera yang terletak disekeliling kenderaan, sistem ini akan memberikan pemandangan persekitaran dan panduan kepada pemandu untuk masuk ke ruang parkir.

Toyota Vellfire

Seperti Alphard baru, Vellfire juga menerima perubahan kosmetik yang menyerlahkan identiti uniknya.

Model baru ini menampilkan reka bentuk tiga-dimensi bahagian hadapan, lebih menonjol serta menyerlahkan kesatuan yang ada termasuk dengan bahagian badannya.

Ini memberikan rekaan yang lebih dinamik dari bahagian depan ke belakang, serta menjadikan bahagian bawah badan MPV ini tampak lebih kukuh.

Ia juga dipasangkan dengan rim aluminium aloi 18-inci rekaan baru.
 

Bagi memadankan rekaan kubik pada bahagian hadapan Vellfire, bahagian atas lampu utamanya menggunakan dua projektor petak.

Ditambah dengan perincian biru yang ada, ia mewujudkan imej 'teknologi maju' yang menarik.

Lampu isyaratnya juga beroperasi dengan ciri cahaya berturutan.

Di belakang, bahagian atas serta bawah lampu didatangkan dengan kemasan melintang yang membuatkannya seolah-olah terbahagi kepada dua bahagian; ia merupakan kesinambungan rekaan dari lampu utama bahagian depan.

Lampu isyarat LED ini juga akan menyala secara berturutan.

Seperti Alphard 2018, peningkatan bahagian dalamannya termasuk kemasan perincian dengan rekaan baru.

Susunan tempat duduk barisan kedua dan ketiga masih sama, dengan kerusi Kapten individu di barisan kedua.

Tempat duduk dengan material kulit ini dinaiktaraf untuk memberikan lebih keselesaan, lengkap dengan pendingin hawa pada kusyen dan penyandar kerusi.

Bahagian penyandar serta perehat kaki juga boleh dilaraskan dengan kuasa elektrik. 

Untuk kemudahan penumpang, bukan sekadar slot USB yang disediakan malah pad pengecas tanpa wayar juga ada.

Ciri ini menggunakan kuasa tanpa wayar dengan piawaian Wireless Power Consortium (WPC) dan boleh mengecas mana-mana telefon bimbit yang serasi. 

Ciri Digital Full Display Mirror yang memberikan pandangan yang lebih luas dan jelas juga menjadi tambahan terbaru.

Selain pantulan permukaan biasa, cermin berteknologi tinggi ini turut memaparkan imej dari kamera yang terletak di belakang kenderaan.

Dengan ini, penglihatan yang lebih jelas diperolehi, tanpa mengira keadaan semasa atau ketika pemanduan siang dan malam.

Bagi aspek keselamatan, Vellfire turut menerima peningkatan yang sama.

Ciri seperti sistem Blind Spot Monitoring misalnya akan memberi amaran kepada pemandu sekiranya terdapat kenderaan lain pada titik buta.

Ikon khas akan muncul pada cermin sisi untuk memaklumkan pemandu bagi mengelak perlanggaran yang mungkin berlaku.

Satu lagi ciri, Rear Cross Traffic (RCTA) turut ditambah pada Vellfire.

Sistem ini membantu pemandu untuk memantau dengan memaparkan situasi persekitaran ketika mereka ingin mengeluarkan kenderaan dari tempat parkir secara mengundur.

Sensor akan mengesan pergerakan kenderaan lain dari satu jarak, dan sekiranya ada, amaran akan berbunyi dan ia berupaya untuk memberhentikan kenderaan bagi mengelak perlanggaran.

Seperti juga pada Alphard, bagi pemandu yang memerlukan bantuan ketika ingin meletak kenderaan, ciri Panoramic View Monitor (PVM) turut ditawarkan sebagai pilihan.

Melalui empat kamera yang terletak disekeliling kenderaan, sistem ini akan memberikan pemandangan persekitaran dan panduan kepada pemandu untuk masuk ke ruang parkir yang sempit.

Berikut merupakan pecahan harga yang ditawarkan bagi varian Toyota Alphard dan Vellfire 2018:

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Berita Global
Tahun ini, selain dari menjadi pentas persaingan antara jenama-jenama China yang mengusung model-…
Berita Global
  2023 merupakan tahun mencabar yang menyaksikan pemberian paten menurun tiga peratus merentasi…