Tips Penjagaan Transmisi CVT (Punch)

oleh SALINA JALIL|
Memandu sebuah kenderaan dengan transmisi CVT adalah berbeza berbanding transmisi automatik biasa. Oleh kerana ia tiada gear, penukaran kelajuan amat lancar dan menjimatkan minyak berbanding transmisi tradisional.

Kereta moden kebanyakannya telah pun dilengkapi dengan transmisi CVT. Namun begitu, tidak ramai pengguna yang arif berkenaan penjagaan terhadap transmisi jenis CVT ini. Penggunaan yang salah (dan kasar) akan menyebabkan anda menyumpah seranah pengeluar dan penjual padahal ia adalah disebabkan kenaifan diri sendiri.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Berikut adalah tips penjagaan transmisi CVT yang kami petik yang telah ditulis oleh Drex Chan, Pengarah Eksekutif dari EA Autoworks yang perlu kita tahu.

1. Ketika mula bergerak

- Kebanyakan antara kita memang mempunyai masalah kaki kanan yang berat. 0.3 saat sebelum lampu bertukar hijau, maka pedal to the metal. Jangan. Ketika memulakan perjalanan, biarkan kenderaan maju ke hadapan tanpa menekan minyak dan anda boleh perlahan-lahan menambahkan kelajuan. Elakkan keadaan full throttle ketika mula bergerak.

- Selepas membayar tol, kita selalunya mahu berdesup dan mengalahkan Perodua Myvi yang memotong kita secara merbahaya tadi, maka kita pun memecut secara kasar. Pecutan secara kasar ini sebenarnya boleh merosakkan transmisi CVT. Seharusnya kita tenang, dan tingkatkan kelajuan anda secara berperingkat.

2. Ketika bergerak di dalam kesesakan

- Biarkan transmisi CVT yang bekerja di dalam kesesakan. Anda tidak perlukan pendikit minyak untuk maju ke hadapan.

3. Ketika mula mendaki kawasan cerun

- Selalu menggunakan brek parking (brek tangan) ketika sedang berhenti di kawasan cerun. Brek parking merupakan perkara yang terakhir sekali yang anda perlu lepaskan selepas pedal brek dilepaskan dan pendikit minyak ditekan.

4. Sebelum menghentikan kereta

- Bagi pengguna yang kurang sabar, mereka didapati akan menukar posisi gear dari D ke R (dan sebaliknya) tanpa menunggu kereta berhenti sepenuhnya atau kadar penukaran itu dilakukan terlalu pantas. Keadaan ini boleh merosakkan transmisi sekiranya selalu dilakukan. Sebaiknya, biarkan kereta berhenti sepenuhnya, baharulah kita menukar kepada gear yang diingini.

 

 

Perkara yang perlu dielakkan oleh pemilik kereta bertransmisi CVT adalah seperti berikut:-

1. Menggunakan mod shiftronic ketika sedang full throttle atau enjin berkelajuan tinggi.

2. Menukar posisi gear dari D (Drive) ke neutral ketika sedang menuruni bukit. Sentiasa mengekalkan posisi gear D supaya anda boleh membrek dengan bantuan enjin (engine braking).

3. Melakukan imbangan on-wheel dalam keadaan gear Neutral tanpa menghidupkan enjin.

4. Menunda kereta dalam keadaan mengundur.

5. Tidak melakukan adaptasi klac berkala (periodic clutch adaptation). Anda boleh melakukan sendiri sekiranya anda mahir. Jika tidak, sila rujuk kepada pakar perihal ini.

6. Tidak menukar bendalir transmisi dan penapis bendalir mengikut kadar masa yang ditetapkan.

7. Menggunakan bendalir transmisi yang tidak bersesuaian dengan ketetapan pengeluar.

8. Terkurang mengisi bendalir transmisi juga mampu merosakkan transmisi kerana peranan bendalir ni amat penting bagi memastikan kelancaran pergerakan. Pastikan mekanik/pusat servis merekod item ini ketika melakukan servis berkala.

Sebagai pengguna, kita hendaklah sentiasa merujuk kepada buku manual berkenaan masa menukar bendalir transmisi dan penapis bendalir supaya dapat menjaga ketahanan transmisi. Setiap pengeluar mempunyai ketetapan tersendiri bagi memastikan sistem transmisi mereka mampu berjalan dengan baik.

Pastikan anda membaca buku panduan kereta sebelum mula memandu buat kali pertama supaya anda faham apakah keperluan sebenar kenderaan anda. Walaupun kereta ialah sebuah mesin buatan manusia, namun mesin juga mempunyai keperluan tersendiri. Andai mesin ini merajuk, anda sudah tentu ketiadaan kenderaan untuk ke sana sini di samping mencederakan dompet anda dengan lebih parah sekiranya keperluan mereka tidak dijaga rapi.

 

Artikel ini diterjemah oleh Muhamad Hanif yang telah diambil dari penulisan Drex Chan, EA Autoworks

Berita Berkenaan

Informasi
Malah beliau memiliki puluhan kakitangan dan mempunyai "call-centre" sendiri untuk memudahkan…
Gaya Hidup
“Saya memang sangat membenci kereta jenama Proton kerana sebelum ini saya menghadapi pelbagai…