Tiga kereta Ngeh Koo Ham musnah dalam kebakaran

oleh Hamimah Hamid|
TIGA buah kenderaan milik Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham musnah dalam kebakaran di kediamannya di Lorong Semarak Jaya, Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, dekat Beruas awal pagi tadi.

Mercedes Benz, Honda CRV dan Toyota Hilux terbakar dipercayai akibat dibaling molotov cocktail.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihak Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung menerima panggilan daripada Ahli Parlimen terbabit berhubung kejadian pada pukul 2.55 pagi.

 

"Siasatan polis di lokasi turut menemui botol mengandungi bahan letupan, molotov cocktail.

 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan khianat dengan api atau apa-apa benda letupan," katanya.

 

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.05 pagi.

 

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Ayer Tawar bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman.

 

"Selain kereta, kebakaran itu turut melibatkan siling dan bumbung garaj di rumah tersebut.

 

"Anggota melakukan pemadaman api menggunakan air dan buih (foam) sebelum operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya jam 4.44 pagi,”katanya.

 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.