Beliau berkata bagi memastikan kelancaran dan keselamatan orang ramai terpelihara, pihak polis akan menggerakkan 1,289 pegawai dan anggota bagi mengawal keadaan sempena sambutan Thaipusam selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat.
"Perarakan melibatkan dua pedati iaitu pedati emas dan pedati perak. Pedati emas akan bergerak esok pukul 5.30 pagi dari Lebuh Queen ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam dan akan kembali ke Lebuh Queen pada Jumaat pukul 6 petang.
"Pedati perak pula akan bergerak pada 6.30 pagi esok dari Lebuh Penang ke Kuil Air Terjun dan kembali ke Lebuh Penang pada Jumaat pukul 7 malam," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.
Razlam berkata antara laluan yang akan ditutup bagi perarakan kedua-dua pedati adalah Jalan Kebun Bunga dan Jalan Gotterlib yang akan ditutup sepenuhnya, manakala bagi Jalan Utama, Jalan Burma, Jalan Macallister, Jalan Cantoment, Jalan Nunn, Jalan Brown, Jalan Scotland, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Victoria dan beberapa jalan lagi ditutup sementara, bergantung kepada pergerakan pedati.
Katanya orang ramai terutama pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan pihak polis yang bertugas dan merancang perjalanan mereka bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Sebagai langkah menjaga keselamatan, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak bermain mercun, tidak meminum minuman keras dan tidak memakai barang kemas yang boleh menarik perhatian penjenayah.
"Tahun lepas, sepanjang tiga hari sambutan Thaipusam, lapan kes direkodkan, membabitkan kejadian samun dan curi barang kemas serta beg duit, jadi pengunjung dinasihatkan tidak memakai barang kemas bagi mengelak menjadi mangsa jenayah.
"Pengunjung juga tidak dibenarkan menerbangkan dron sepanjang sambutan itu kecuali telah mendapat permit dan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)," katanya.