Malah, Toyota berjaya membuktikan kemuncak teknologi yang mereka ada (pada ketika itu) dengan Lexus LF-A, bersendirian selama 10 tahun bagi menghasilkan sebuah mahakarya yang paling penulis minati, sehingga kini.
Kini, Toyota memilih untuk bekerjasama dengan pengeluar kenderaan lain bagi meneruskan legasi kereta sports yang dimiliki, seperti GT86/BRZ (Subaru) dan yang terbaharu, GR Supra/Z4 (BMW).
Tidak seperti sepupu jauhnya BMW Z4, jurutera pembangunan GR Supra Tetsuya Tada tidak mahu Supra sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Dalam satu temubual yang dijalankan oleh Autoblog, Tetsuya Tada mendedahkan perancangan beliau bagi menjadikan Supra sebuah kereta sports yang lebih serius, dan lebih berkuasa berbanding Supra standard berkuasa 335 kuasa kuda itu.
Menurut Tada, angka 335 itu bukanlah penghujung, kerana beliau mempunyai banyak idea yang menjanjikan penambahbaikan dan kemaskini yang menawarkan lebih prestasi untuk setiap versi yang diperkenalkan.
Ini termasuklah talaan terhadap nadi kuasa sedia ada, dan juga penawaran pakej-pakej berprestasi tinggi seperti brek seramik dan elemen gentian karbon.
Namun, berita kurang baiknya, Toyota Supra tidak akan ditawarkan dalam transmisi manual serta versi convertible sebagaimana BMW Z4.
"Mahu tukar gear sendiri? Cari sebuah Toyota GT86," ujar Tetsuya mengakhiri bicara.
Sumber: Autoblog