Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang bakal dibuka semula

oleh Hamimah Hamid|
TERMINAL Feri Antarabangsa Hutan Melintang di Bagan Datuk akan dibuka semula.

Terminal yang menjadi tumpuan warga Indonesia pulang ke kampung halaman menuju Pelabuhan Teluk Nibung di Tanjung Balai, Sumatera itu sebelum ini ditutup ekoran wabak Covid-19.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S. Wasanthee berkata, pembukaan semula terminal feri itu memberi makna besar kerana ia mampu memberi impak ekonomi terutama pelancongan di Bagan Datuk.

“Selepas ditutup beberapa tahun lalu akibat wabak Covid-19, sehingga kini ia belum dibuka semula. Namun sekarang kemungkinan akan dibuka.

“Malah ketika lawatan saya ke terminal itu pada Mac lalu, sudah ada pihak yang menguruskan penghantaran muatan dari Indonesia ke negara ini di terminal itu,” katanya.

Menurut Wasanthee, beliau akan berbincang mengenai pembukaan terminal itu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar boleh beroperasi segera.

Menurutnya, pembukaan semula terminal feri itu boleh menarik kedatangan pelancong terutama dari Indonesia.

Beliau berkata, ini sekali gus akan memberi impak ekonomi yang besar kerana selain daripada mengendalikan kemasukan warga asing, terminal feri itu juga boleh menjadi tempat kapal persiaran berlabuh.

“Saya percaya jika ada peluang pekerjaan di sini, anak muda tidak akan berhijrah dan ini tentunya dapat mengukuh kan institusi keluarga, maksudnya anak muda boleh kekal di sini menjaga ibu bapa mereka,” katanya.