Teknologi mewah lampu LED - bukan setakat nampak cantik

oleh HEZERI SAMSURI|

Teknologi lampu kenderaan premium semakin maju dan mentol halogen kini terasa seperti sudah terlalu berusia.

Lampu HID atau High Intensity Discharge mula digunakan sebagai pilihan lebih selamat dan premium sejak 21 tahun lalu oleh BMW.

Walaupun lampu HID jauh lebih terang dan lebih selamat, masih banyak pengeluar kenderaan menggunakan lampu mentol halogen kerana kos yang sangat rendah.

Namun begitu, nampaknya teknologi mungkin akan bertukar bila semakin banyak pasaran mahukan kenderaan-kenderaan yang lebih menjimatkan bahan api.

Untuk itu, lampu LED lebih baik dari HID kerana ia bukan sahaja terang, tetapi ia menggunakan tenaga yang jauh lebih rendah.

Di bawah ialah secara kasar penggunaan tenaga oleh tiga jenis lampu automotif:

  • Lampu mentol halogen - 55 kw 65 Watt
  • Lampu HID                    - 42 Watt
  • Lampu LED                   - 15 ke 18 Watt

Ini bermakna untuk memastikan penggunaan tenaga rendah, penggunaan mentol LED memang membantu merendahkan kos penggunaan bahan api.

Lampu LED juga cuma memerlukan satu milisaat untuk mencapai keterangan maksimum. Ini sangat laju dan 250 kali lebih laju dari lampu gas pijar. 

Kerana ia cepat terang, lampu brek LED juga adalah yang terbaik.

Selain dari itu, lampu LED ialah punca cahaya paling terang berbanding dengan lampu-lampu yang lain, hampir sama dengan cahaya di siang hari.

Ia menghasilkan cahaya seterang 3,000 Lumens untuk lampu bawah (low beam), berbanding dengan 800 Lumens unuk lampu halogen. 

Lampu LED juga hampir sama terang dengan warna matahari, 5,500 Kelvin berbanding dengan 4,500 Kelvin untuk HID dan 2,500 ke 3,000 Kelvin untuk lampu halogen.

Masalah utama lampu LED ialah kos yang tinggi. Kerana itu hanya kenderaan mewah atau varian paling tinggi akan menggunakan teknologi lampu secanggih ini.

Namun begitu, dengan syarat pelepasan asap yang semakin ketat, makin banyak kenderaan-kenderaan baharu yang datang standard dengan lampu LED, terutamanya kenderaan mewah.

Add new comment