Antara perubahan yang positif dibawakan kepada Civic Type R 2020 ini termasuklah rekaan bumper hadapan baharu dan juga gril hadapan dengan bukaan liang udara yang lebih besar untuk penyejukan enjin yang lebih berkesan.
Selain daripada itu, beberapa perubahan mekanikal turut dibuat seperti rotor brek jenis two-piece serta pad brek baharu bagi menambah daya pemberhentian pada kelajuan tinggi.
Sistem suspensi turut diubahsuai dengan penyerap hentak yang dioptimasikan untuk meningkatkan kadar keselesaan ketika pemanduan normal.
Jurutera Honda juga turut membangunkan set bushing belakang baharu yang lebih tegap untuk meningkatkan kadar cengkaman, manakala suspensi hadapan diberikan sentuhan supaya menjadikan input stereng lebih telus dengan mengurangkan kadar geseran.
Beberapa komponen kawalan pemanduan turut diberikan nafas baharu seperti stereng balutan Alcantara, tombol gear baharu serta ciri short shift.
Selain sistem Honda Sensing yang hadir sebagai ciri standard, Honda turut memasang sistem Active Sound Control yang direka untuk menghasikan bunyi enjin palsu.
Bunyi enjin palsu itu tidak membawa apa-apa kerana unit nadi masih lagi kekal dengan enjin 2.0 liter turbo yang menghasilkan 306 kuasa kuda dan 400 Nm yang memacu roda hadapan menerusi transmisi manual enam kelajuan.