Alphard adalah lanjutan kepada permulaan tersebut dan dibangunkan untuk menjadi sebuah kereta keluarga baharu dengan bahagian dalaman menjadi keutamaan.
Penumpang dapat merasai nikmat baharu dengan pelbagai konfigurasi kerusi, sistem hiburan dalaman atau ruang peribadi.
Paling penting, pemandu tidak dilupakan dengan posisi tempat duduk tinggi, prestasi, karakter dan menjadi simbol kebanggaan.
Selepas Alphard, Toyota menyusuli dengan Vellfire dan lahirlah alter ego baharu.
Alphard dan Vellfire sebenarnya lambang kehebatan Toyota, kedua-dua van tersebut bukan model global dan Toyota masih mampu menawarkannya di Jepun.
Sudah ada Alphard kenapa perlu Vellfire? Kenapa tidak mewahkan sahaja Alphard? Lebih menarik apabila Estima atau Previa dikenali di serata dunia.
Kenapa tidak bangunkan kembar untuk Estima? Satu persoalan menarik sebenarnya.
Pada hari ini pun, tiada pesaing Jepun yang mempunyai kembar seperti Alphard dan Vellfire.
Vellfire dibuat lebih agresif, dinamik dan mempunyai karakter sebenar dan menarik pelanggan lebih muda.
Di situ terletak niche Vellfire dan menurut Humphries 30 peratus pelanggan dalam kalangan 30-an atau lebih muda.
Dengan persaingan di antara Alphard dan Vellfire, pengguna menyukai aura kedua-dua model dan hari silih berganti, kedua-dua berkembang bersama pelanggan.
Ada lagi kisah menarik yang dikongsi bila mana Alphard menjadi lebih dominan dan mengubah dunia kereta dengan pemandu.
Pada ketika itu, kereta sedan menjadi kenderaan standard untuk digunakan bersama pemandu sehingga Alphard tiba.
Menurut Humphries ramai yang memainkan peranan dan beliau berkongsi bagaimana Akio Toyoda turut mempunyai peranan penting dalam perubahan tersebut.
Akio seperti yang diketahui adalah seorang kaki kereta atau 'master driver' dan dalam konteks sekarang lebih sesuai dipanggil 'master-passenger'.
Pada 2004 semasa memegang jawatan pengarah Toyota, Akio membuat keputusan untuk menggunakan Alphard dengan pemandu berbanding kereta sedan.
Alphard sesuai dengan cara kerja Akio. Ada ruang untuk bekerja dengan selesa, berbincang dengan rakan sekerja dan kenalan, berehat sela mesyuarat dan menukar pakaian!
Semua faktor tersebut menjadikan Alphard pilihan yang tepat.
Bukan sahaja Akio, praktikaliti Alphard atau Vellfire bersifat alami dan tidak pelik mengapa pemimpin negara memilihnya sebagai kenderaan rasmi.
Faktor kemewahan juga sinonim pada kenderaan lain sama ada buatan Shah Alam, Tanjung Malim, Jerman dan Sweden namun praktikaliti jauh lebih menyerlah pada Alphard dan Vellfire.
Berbalik kepada Akio, penerimaan Alphard secara realiti langsung berbeza.
Humphries berkongsi bagaimana sebuah Alphard putih yang tiba untuk mesyuarat diminta ke tepi atau beredar.
Arahan itu dibuat bagi memberi laluan kepada orang penting (VIP) yang akan tiba sebentar lagi dan mungkin dalam sebuah Toyota Century!
Siapa lagi kalau bukan Akio dan pengawal keselamatan terkejut apabila individu yang keluar dari Alphard adalah Akio!
Pada masa lalu memang janggal dan sekarang ini Alphard dan Vellfire digunakan pelbagai golongan dan contoh terdekat di negara kita sendiri.
Dengan tiga generasi, Akio sebagai master passenger menghalusi permintaan beliau untuk membantu menala setiap generasi ke peringkat lebih tinggi.
Alphard benar-benar menjadi standard baharu dalam dunia kenderaan dengan pemandu.
Pendekatan unik yang menghargai ruang dan jumlah hospitaliti yang boleh dilengkapi pada van ini adalah lambang budaya Jepun.
Menurut Humphries, Alphard dan Vellfire dibangunkan mengikut falsafah omotenashi.
Falsafah itu tentang perhatian kepada perkara yang paling kecil adalah penting bagi memahami keperluan pelanggan.
Selama bertahun-tahun van tersebut dinikmati di Jepun (dan beberapa negara lain) dan dilihat dari luar negara sebagai perkara yang pelik.
Toyota tertanya-tanya sama ada Alphard dan Vellfire boleh menjadi garakei (telefon lipat yang popular di Jepun) di dalam dunia automotif.
Menurut Humphries pelanggan sekali lagi mengangkat Alphard dan Vellfire ke peringkat lebih tinggi.
Nilai dan kepercayaan yang membuatkan van ini istimewa di Jepun telah mula difahami orang ramai di serata dunia dengan permintaan tinggi walaupun tidak dijual secara rasmi.
Terima kasih pada pengimport bebas di serata dunia dan semestinya peniaga dan pembeli di pasaran tempatan sejak sekian lama.
Humphries memaklumkan Alphard dan Vellfire akan dijual di lebih banyak buah negara.
Ada banyak lagi yang dikongsi Humphries dan penulis ingin merakamkan satu fakta penting. Menurut beliau, persaingan di antara Alphard dan Vellfire memang hebat.
Walaupun Vellfire diposisikan lebih mewah, Alphard juga sama dan perbezaan di antara keduanya semakin mengecil.
Humphries mengakui Toyota pernah mempertimbangkan untuk menamatkan Vellfire. Di sebalik itu, sokongan pada Vellfire begitu kuat semasa dibincangkan secara dalaman.
Jika tidak dibincang pada peringkat dalaman pun, pengguna dan peminat di luar yang sudah terbiasa dengan Alphard dan Vellfire juga boleh rasa kehilangan.
Kakitangan pembangunan, pengurusan, pengedar dan beberapa penasihat VIP menyuarakan rasa tidak percaya perkara sebegitu boleh dipertimbangkan!
Bagaimana mungkin Toyota mencampak keluar sebuah ikon?
Hari ini pengguna dihidangkan Alphard, Vellfire dan Lexus LM dan sekali lagi bukti keunggulan Toyota.
Penulis: Muhammad Md Tajudin