Dalam acara Intermot di Cologne bulan lalu, Suzuki telah memperkenalkan kepada umum motosikal berkonsepkan retro moden Suzuki Katana dan mereka kembali lagi dengan penawaran warna hitam pula, alternatif kepada warna perak asal menerusi acara yang berasingan di Milan International Motorcycle Show.
Suzuki Katana mengambil inspirasi daripada ikon original hasil karya bekas pereka BMW Hans Muth pada empat dekad yang lalu.
Antara elemen yang dibawakan daripada motosikal retro tersebut termasuklah rekaan lampu utama berbentuk segi empat, serta rekaan garisan yang tajam seumpama dibelah pedang bermula pada bahagian fairing sebelum diakhiri pada rekaan tangki bahan api.
Nadi utama yang menggerakkan Katana ini ialah enjin empat silinder yang diperoleh daripada motosikal GSX-R1000 K5 yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 148 hp dan daya kilas maksimum 108 Nm yang masuk pada putaran enjin 9,500 rpm.
Buat para peminat, sila bersabar dan penuhkan duit simpanan anda memandangkan motosikal ikonik ini bakal menjengah pasaran bermula musim bunga tahun hadapan.