Mungkin ada di antara kita yang sudah pun memiliki SUV ini dalam dunia sebenar, atau sekadar membeli model-model diecast sebagai hiasan di rumah.
Namun bagi mereka yang mahukan lebih daripada itu, syarikat Camshop dari Jepun ada menawarkan model diecast Jimny berskala 1:12 yang lebih sesuai digunakan dalam rumah selain daripada menjadi hiasan semata-mata.
Usah tertipu dengan rekaan luaran yang sangat teliti itu, ini kerana ia juga boleh bertindak sebagai bekas penyimpanan tisu basah menerusi ‘bumbung’ yang boleh dibuka.
Ruang tersebut boleh juga digunakan untuk menyimpan barangan peribadi selain daripada tisu basah, sementara ‘hud’ hadapan juga boleh dibuka untuk meletakkan kunci Jimny anda yang sebenar.
Camshop sebelum ini pernah menjual model yang sama, namun kali ini ia telah ditambah dengan perincian yang lebih baik, seperti rekaan tayar baharu, over fender, pelekat pemeriksaan, serta enam pilihan warna (Kinetic Yellow, Chiffon Ivory, Jungle Green, Medium Gray, Black dan White).
Harga jualan untuk kotak tisu Jimny Sierra ini bermula dari ¥5,500 (RM180.58) tidak termasuk kos penghantaran.