Suzuki bukan nama asing di dalam kategori Kereta Urban Dunia apabila Ignis turut tercalon di dalam senarai tiga teratas untuk tahun 2017 dan Swift dalam senarai sama pada tahun 2018.
Jimny berjaya mengharungi peringkat undian pusingan pertama dan kedua dan untuk tahun ini sebanyak 40 buah model baharu dicalonkan untuk Anugerah Kereta Dunia.
Panel juri Anugerah Kereta Dunia/Kereta Dunia Tahunan terdiri daripada lebih 80 jurnalis automotif dengan lapan daripadanya mewakili United Kingdom dan Republik Ireland.
Jimny dilancarkan di pasaran Jepun pada tahun 2018 sebelum dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Paris dan kemudian mula dijual di United Kingdom pada Januari lalu.
Jip kecil molek ini digerakkan oleh enjin 1.5 liter petrol berkuasa 101PS dengan sistem pemilihan pacuan empat roda ALLGRIP PRO dengan gear pindahan rendah sebagai ciri standard.
Turut dilengkapkan ialah lampu depan automatik dengan bantuan lampu punca dan teknologi keselamatan seperti Dual Sensor Brake Support (DSBS) Lane Departure Warning, dan Weaving Alert.
Buat penggemar Jimny tempatan, sedia maklum bahawa Suzuki sudah tidak lagi beroperasi di dalam negara.
Untuk makluman, Suzuki Thailand telah melancarkan Jimny pada penghujung Mac lalu dengan harga 1.55 juta baht (RM199 ribu) untuk lima kelajuan manual dan 1.65 juta baht (RM211,852) untuk versi automatik empat kelajuan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin