Suzuki GSX-S1000F ABS - baka MotoGP untuk jalan biasa

oleh HEZERI SAMSURI|

Bayangkan sebuah sedan keluarga yang menggunakan enjin dari jentera perlumbaan Formula 1.

Tak wujud bukan? 

Teknologi pada Formula 1 memang wujud dalam kereta biasa, tetapi ia lebih kepada sistem elektronik, sistem keselamatan, bahan-bahan yang digunakan dan juga sistem brek dan aerodinamik.

Tetapi sekiranya anda peminat motosikal, anda boleh membeli sebuah jentera dua-roda yang menggunakan enjin motosikal dalam Moto GP bagi kegunaan harian.

Contoh terbaik ialah Suzuki GSX-S1000F, iaitu salah satu superbike harian yang memang diiktiraf antara yang terbaik di seluruh dunia dan kini ia dijual di Malaysia dengan harga di bawah RM75,000.

Enjin GSX-S1000F ini ialah dari enjin 999 cc yang digunakan pada GSX-R1000 untuk MotoGP. Tentulah talaan enjin sudah berubah agar ia lebih lasak, lebih menjimatkan dan lebih praktikal tetapi ia tetap enjin yang sama.

GSX-S1000F ini sebenarnya mempunyai jalinan sejarah dengan model GSX-R750 yang diperkenalkan dalam tahun 1985, dan langsung nama GSX itu menjadi satu lagenda dalam jenama Suzuki.

 

GSX-S1000F mempunyai kembarnya sendiri, iaitu model GSX-S1000 yang merupakan motosikal genre naked. Model F seperti yang Careta tunggang uji ini ialah lebih kepada varian dengan fairing penuh dan skrin tinggi.

Enjin ialah 999cc, 4-silinder, 4-lejang sejukan cecair DOHC dan dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan, dan untuk model tahun 2017, ia lengkap dengan slipper clutch.

Tenaga maksimum untuk model 2016 ialah 138 hp  dan 106 Nm tetapi untuk tahun 2017, perubahan pada enjin menyaksikan kuasa kuda sekarang naik kepada 148 hp dan kadar tork pada 108 Nm. 

 

 

Enjin itu perlu diberi penekanan kerana ia memang datang dari model legenda GS-R1000. Ia ditala untuk penggunaan jalanraya dan diberikan throttle body bersaiz 44mm.

Turut baharu ialah cam-profile yang juga lebih sesuai untuk kegunaan harian di jalanraya awam. Ini bermaksud anda tidak perlu memerah enjin pada RPM tinggi dan sentiasa bermain dengan gear untuk tunggangan urban atau di lebuhraya.

 

ejoz suzie

 

Tidak sahih untuk sebuah produk Jepun tanpa nama-nama canggih seperti Finite Element Material (FEM) dan Suzuki Composite Electrochemical Material (SCEM).

Pada model ini, ia bukan hanya setakat lambakan huruf untuk nampak canggih di atas kertas, tetapi ia adalah teknologi kejuruteraan dari perlumbaan MotoGP yang digunakan pada komponen enjin seperti piston GSX-S1000F ini.

Ia membantu menurunkan berat salingan (reciprocating weight) dengan penambahan dalam proses pindahan haba dan pengurangan geseran.

 

 

Tetapi bukankah enjin secanggih ini dan sekuat ini akan "menakutkan" penunggang-penunggang baharu yang lebih mahukan motosikal bersifat lebih relaks dan santai?

Ya dan kerana itu Suzuki menggunakan teknologi keselamatan elektronik untuk "menjinakkan" enjin ini. Advanced Traction System (ATS) dengan tiga tahap diberikan agar penunggang boleh memilih sebanyak mana kawalan elektronik yang diperlukan.

Sistem ATS itu menggunakan deria sensor untuk mengesan pergerakan roda, brek, enjin dan transmisi untuk mengawal motosikal ini agar penunggang boleh pergi lebih laju tanpa risau.

 

 

Pergerakan pendikit juga perlu lancar, terutama bila pendikit disentap maksimum secara kasar. Untuk itu, Suzuki Dual Throttle Valve digunakan di mana ia menggunakan satu lagi injap butterfly di dalam throttle body itu sendiri untuk melancarkan perubahan antara putaran enjin dengan pulasan pendikit.

Tidak ada gunanya mempunyai enjin yang canggih tetapi rangka selembut sotong. Untuk mengatasi isu kesotongan ini, Suzuki menggunakan kerangka aluminium spar berkembar yang ringan tetapi kukuh.

Sistem gantungan hadapan ialah sepasang fork terbalik bersaiz 43 mm dari KYB, dengan fungsi bolehlaras untuk preload, damping dan rebound.

 

 

Di belakang, penyerap hentak tunggal dari jenama Showa bolehlaras disediakan.

Roda pula ialah dari jenis aluminium tetuang (cast aluminium), sama dengan lengan ayun belakang.

Brek hadapan ialah dua Brembo mono-block yang setiap satu mengepit disk brek sebesar 310 mm. Ia lengkap  dengan ABS, yang membaca kelajuan roda sebanyak 50 kali dalam masa satu saat. Ini sangat membantu dalam situasi membrek di permukaan yang tidak begitu optimum.

 

Di belakang, brek disk tunggal digunakan. Hairan juga kerana senarai spesifikasi Suziku di laman web mereka langsung tidak memberikan info saiz disk brek dan banyak lagi info lain tidak disertakan. Spesifikasi pada laman web untuk motor kapchai pun lebih lengkap.

Penunggangan Suzie ini lebih ke arah santai, dan sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah superbike 1-liter yang mahu ditunggang setiap hari.

Ia memang terasa lincah, dan dengan kawalan pendikit yang sangat mudah dan user-friendly, tak terasa ia seperti sebuah motosikal dengan enjin 999cc. Ia selincah 650cc, tetapi bila pendikit diperah, bahagian hadapan terangkat dan anda meluru ke hadapan seperti punggung anda ditendang oleh Godzilla yang sedang inzal. Err ... 

 

 

Bagi penunggang baharu, memang GSX-S1000F tidak menakutkan. Semuanya seperti lemah gemalai, dan semuanya mudah digunakan. Mungkin penunggang baharu ialah antara sasaran Suzuki untuk model ini. 

Posisi menunggang juga tidak sebegitu ekstrem seperti GSX-R1000 dan mereka yang mempunyai tayar simpanan di bahagian abdomen pasti akan dapat bernafas dengan lebih selesa. Paling penting, posisi menunggang begini membenarkan anda menunggang di dalam bandar dengan selesa.

Selekoh diambil dengan selesa, dan beratnya mudah untuk dikawal. Tiada kejutan dari segi pecutan ataupun goyangan jika dibrek keras. Malah, ada yang berkata ia mungkin terlalu "senyap" dan tiada karektor tetapi jika dipaksa menunggang secara agresif, ia akan mula menyeringai dan menayangkan sedikit taringnya.

 

 

Pesaing GSX-S1000F ini ialah Yamaha FZ1 (naked) atau Kawasaki Ninja 1000 ABS. Semuanya menawarkan objektif yang sama tetapi fokus yang sedikit berlainan.

Careta berpendapat ia adalah sebuah jentera 1-liter yang sesuai untuk mereka yang masih mahukan keseronokan motosikal berprestasi tinggi, tetapi dengan lebih fokus ke arah keselesaan. 

Jika sebelum ini anda menunggang GSX-R1000 dan anda mahukan sesuatu yang lebih rileks, namun belum bersedia untuk sebuah motor tegak (ADV) atau motor kangkang (cruiser), GSX-S1000F inilah jawapannya.

 

 

Lebih selesa, lebih rileks, tetapi bila dibawa bermain secara serius, mereka yang menunggang jentera 600cc terpaksa mengangkat tabik hormat kepada Suzuki ini.

Harganya semasa dilancarkan ialah dalam RM74,400 tetapi Careta lihat sudah ada diskaun diberikan oleh wakil-wakil penjual.  Oleh itu adalah lebih afdal untuk anda mencari pengedar yang memberikan pakej terbaik untuk anda.

Satu lagi, jangan beli motosikal kerana dicadangkan oleh rakan. Motosikal ialah satu jentera yang sangat personal - apa yang anda mahukan tidak sama dengan apa yang mereka rasakan. 

Dan Suzuki ini sebenarnya sesuai untuk ramai jenis penunggang, termasuk kaum hawa.

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Terbaharu, pelumba digelar 'The Maniac Joe' itu bakal turun pada saingan Kejuaraan Mosikal Dunia (…
Berita Global
Suzuki sudah mula memanggil semula jentera-jentera GSX-R1000 bagi model 2017 dan 2018. Menurut…
Model Terbaharu
Suzuki menggunakan teknologi platform terbaharu mereka, Heartect untuk Swift terbaharu. Swift…