Usaha MITI untuk menarik minat pelabur asing nampaknya semakin membuahkan hasil.
Terbaharu, ada berita mengatakan bahawa salah sebuah gergasi automotif akan melancarkan model SUV yang dibina khusus untuk rantau Asean.
Sumber maklumat Careta berkata model SUV mampu milik itu bakal dilancarkan pada tahun 2018 dan kilang pemasangannya berada di Malaysia.
"Ia bukan kilang yang sedia ada dan kilang itu juga akan memasang pelbagai model lain," ujarnya.
SUV atau crossover ialah satu genre kenderaan yang mendapat perhatian ramai. Model-model seperti Nissan X-Trail, Honda CR-V dan BR-V, Toyota Rush dan sebagainya sangat popular di kalangan negara Asean. Malah, Perodua juga dikhabarkan akan menerapkan ciri-ciri crossover untuk pengganti Myvi mereka.
Untuk SUV Asean ini, konsep yang mungkin sama ialah model Duster dari gabungan Renault Nissan Alliance (RNA).
Duster ialah sebuah SUV modern yang dibina untuk pasaran-pasaran seperti Eropah Timur dan India. Ia adalah sebuah model mampu milik dan lasak.
Tidak menghairankan sekiranya ada syarikat yang mahu membina sebuah SUV untuk rantau ini kerana pasaran Asean sudah semakin besar.
Jualan kenderaan roda empat di Indonesia menyaksikan peningkatan tahun lalu kepada 1.06 juta sementara Thailand pula menjual sebanyak 768,788 unit, penyusutan dari tahun 2015 tetapi suku pertama 2017 menunjukan pertambahan yang baik.
Malaysia pula menjual sebanyak 580,000 unit tahun lalu (penyusutan) dan Filipina pula menjual 360,000 unit dalam tahun yang sama (peningkatan).