Tidak seperti Subaru Solterra EV 2023 yang kini dipasang di kilang Toyota di Motomachi bersama model bZ4X, model baharu yang akan dilancarkan pada pertengahan dekad ini akan dihasilkan sendiri oleh Subaru.
Menurut CEO-nya, Tomomi Nakamura menjelaskan, EV baharu itu akan dipasang di fasiliti Yajima bersama-sama dengan kenderaan berenjin, namun bermula tahun 2027, Subaru akan mendirikan kilang khas untuk EV di fasiliti Oizumi yang kini sedang digunakan untuk memasang enjin dan transmisi.
Eksekutif itu tidak memberikan sebarang angka kapasiti produksi untuk kilang baharu itu, namun menyebut mereka akan mengehadkan kapasiti untuk permulaan sebelum mengembangkannya mengikut keperluan semasa.
Tambahnya, EV yang dipasang di Jepun akan dieksport ke seluruh dunia termasuk pasaran Amerika Syarikat.
Ini kerana kebanyakan pengedar di pasaran tersebut kini mula meminta Subaru untuk menghasilkan EV baharu selepas menikmati pengalaman pemanduan di dalam model Solterra EV.
Di dalam perancangan bernilai 250 bilion yen itu, Subaru menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada jumlah jualan global terdiri daripada model hibrid dan EV tulen pada tahun 2030.
Sumber: Automotive News