SMI - pakar motosikal Adventure di Jakarta

oleh HEZERI SAMSURI|
Industri motosikal di Indonesia bercambah dengan pesat sejak 10 tahun yang lalu.

Kebangkitan golongan berpendapatan sederhana (middle income group) memberikan negara itu kuasa pembelian yang lebih besar dan hasilnya, penduduk Indonesia membeli sebanyak 5.8 juta unit motosikal tahun lalu. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini sangat berbeza dengan Malaysia yang menjual lebih kurang setengah juta unit sahaja untuk 2017.

Kerana itu, Indonesia menjadi pusat komersil aksesori motosikal, terutama untuk jentera dengan kapasiti 250 cc ke bawah.

Careta singgah di Jakarta untuk bertemu dengan soerang sahabat yang terbabit di dalam perniagaan aksesori dan pelancongan motosikal, Rial Hamzah.

 

 

Berusia 28 tahun dan bersama isterinya, Elsa Rahmawati, mereka berdua dikurniakan seorang anak lelaki berumur 2 tahun, Rajendra.

Rial dan Elsa keduanya menguruskan syarikat milik mereka, Syndicate Motor Indonesia (SMI) yang mempunyai sebuah bengkel dan dewan pameran di kawasaki Kalimalang, Jakarta Timur.

"Dahulu, pasaran motosikal di Indonesia lebih bertumpu pada motosikal-motosikal kecil," terang Rial.

"Sekarang pasaran semakin menarik sejak Kawasaki membawa masuk model ER 6N pada tahun 2012 dari Thailand," sambung Rial.

"Harga ER 6N ketika itu dalam RM35,000, termasuk cukai mewah atau luxury tax."

 

 

Kerajaan Indonesia mengenakan cukai mewah untuk motosikal dengan enjin berkapasiti lebih dari 250 cc.

Lesen pula hanya memerlukan kos di bawah RM100 dan lesen motosikal mereka tidak mempunyai had kapasiti enjin. Ia bermakna tidak ada lesen B2 atau B-full seperti di Malaysia - satu lesen untuk semua kapasiti enjin.

"Tapi belum tentu mudah untuk mendapatkannya ya," ujar Rial sambil tersenyum.

 

 

Langkah Kawasaki itu diikuti oleh Honda dengan rangkaian kedai Big Wing mereka dan model CB500 menjadi popular.

"Di Indonesia, pasaran lebih ke arah motosikal dari genre adventure. Ini mungkin kerana keadaan jalanraya di negara ini. Kami tidak pentingkan kelajuan tetapi lebih kepada daya lasak," kata Rial.

Kerana itu SMI memberi fokus kepada modifikasi motosikal ADV, atau "menukarkan" sebuah motosikal biasa menjadi ADV.

 

 

Motosikal 250cc ke bawah ialah yang paling popular di Indonesia, terutamanya dari jenis skuter atau dipanggil "matik" di sini.

SMI membuat modifikasi seperti memasang pelindung enjin (engine guard) untuk model-model popular di sana.

"Kami memang membuat sendiri enjin guard untuk Honda CB500 X, Honda CRF 250 Rallye, Kawasaki Versys X 250, Suzuki V-Strom 650 dan bermacam-macam lagi motosikal."

 

 

"Jika model motosikal itu baharu atau pemilik mahukan sesuatu yang unik, bengkel kami boleh terus membuatnya di sini," Rial menerangkan sambil menunjukan alat-alat yang ada di SMI.

SMI membawa jenama-jenama aksesori hasil syarikat Indonesia seperti jenama pannier Badak Hitam, beg-beg 7-Gear dan jenama milik Rial sendiri, Coriaz Motor Adventure.

Selain dari itu, jenama global seperti Barkbuster, Sena, Givi dan pelbagai lagi turut dijual di SMI.

 

 

Contoh keunikan SMI ialah mereka mampu menukarkan Bajaj Pulsar 200 kepada sebuah jentera ADV, atau sebuah matik kepada sebuah ADV Matik.

Malah seperti bengkel 4X4, SMI juga bole membuat "lift-kit" untuk motosikal agar roda dan tayar lebih besar boleh dimuatkan.

"Sistem gantungan juga boleh dimodifikasi jika diperlukan," ujar pakar ADV ini. 

Rial turut berkongsi bahawa modifikasi motosikal Versys X 250 yang ditunggang oleh Stephen Langitan, penunggang Indonesia yang sedang mengelilingi dunia itu dilakukan oleh SMI.

 

 

"Itu sahabat saya dan memang kami pastikan modifikasi rak-rak untuk panier dan pelbagai lagi pada motosikal Stephen tahan untuk perjalanan keliling dunia beliau," Rial bercerita.

SMI bermula sejak tahun 2011 dan kini mempunyai lima orang pekerja. Hampir 50 unit motosikal datang ke SMI setiap bulan untuk kerja modifikasi.

"Ia bermula sebagai hobi, tapi kini sudah jadi punca pencarian," Elsa mencelah.

Rial dan Elsa memang selalu melawat Malaysia untuk menunggang motosikal sekeliling Malaysia atau menunggang terus ke Thailand.

 

 

"Ya, makanan kegemaran saya di Malaysia ialah roti telur bawang. Pernah ke Malaysia kerana mengidam roti itu ketika mengandung dulu!" Elsa berkongsi ceritanya.

Untuk rakan-rakan di Malaysia yang mahu menunggang di sekitar Indonesia, Rial sering menganjurkan ride berkonvoi dari Jakarta ke gunung berapi Bromo.

Pakej-pakej yang disediakan termasuk sewa motosikal (Rial mempunyai Honda CRF250, Kawasaki Versys X 250, Suzuki Inazuma GSX-R 250 dan BMW G310 GS), makan tiga kali sehari dan tempat penginapan.

 

 

Careta bercadang untuk menganjurkan pakej touring dan shopping barang motosikal bersama SMI pada masa hadapan dan ia akan direka agar lebih sesuai dengan kehendak peminat motosikal Malaysia.

Untuk sesiapa yang berminat, boleh PM kami di Facebook Careta.

Berita Berkenaan

Berita Global
Aion akan berkolaborasi dengan Indomobil Group yang berpengkalan di Jakarta untuk memasang EV di…
Berita Global
Budi Karya berkata, kemudahan proving ground tersebut akan dibina di Pusat Ujian Kelayakan Jalan…
Berita Global
Timbalan Penyelaras Infrastruktur dan Pengangkutan di Kementerian Koordinator Hal Ehwal Maritim dan…