Škoda Auto menyasarkan untuk mempunyai 30 pengedar dan potensi jualan tahunan lebih 40,000 unit pada tahun 2030 ke atas.
Model pertama untuk pasaran Vietnam ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) Karoq dan Kodiaq yang diimport dari Eropah.
Program pemasangan tempatan (CKD) dirancang untuk bermula pada 2024 dan memanfaatkan sinergi lokasi yang dekat dengan India.
Škoda Auto Volkswagen India Private Limited mempunyai dua buah kilang yang digunakan untuk pengeluaran kenderaan Volkswagen Group.
Kedua-dua Karoq dan Kodiaq boleh dibeli di bilik pameran pertama Škoda di Hanoi bermula 25 September.
Bilik pameran seterusnya dirancang di kawasan tengah dan selatan Vietnam.
Škoda mahu mengembangkan rangkaian rasmi kepada 20 pengedar menjelang 2025 dan 30 pengedar menjelang 2028.
Selain dua buah SUV, Škoda juga mahu mengimport Octavia dan Superb. Daripada senarai model tersebut, Kodiaq dan Superb generasi baharu sedang giat diuji.
Lebih menarik, Škoda mahu memperkenalkan model elektrik Enyaq bagi memenuhi permintaan kenderaan elektrik yang semakin berkembang di Vietnam.
Bermula separuh pertama 2024, Škoda akan memanfaatkan sinergi dari negara serantau.
Kushaq akan dieksport dari Pune, India ke Vietnam dalam bentuk kit CKD dan diikuti Slavia pada 2025.
Pembinaan pusat pengeluaran di Taman Industri Viet Hung di Quang Ninh oleh TC Group sedang berjalan.
Berdasarkan trend pasaran, pengeluaran kenderaan berpotensi untuk mencecah 27,000 unit setahun selepas 2027.
Vietnam merupakan pasaran automotif keempat terkuat di ASEAN.
Bertambah menarik apabila nisbah pemilikan kenderaan pada kadar 38 per seribu orang di negara yang mempunyai sekitar 100 juta penduduk.
Vietnam juga mempunyai pertumbuhan ekonomi yang baik sebagai negara yang pesat membangun.
Škoda menyasarkan jualan tahunan sebanyak 30,000 unit dalam tempoh jangka masa sederhana dan meningkat kepada lebih 40,000 unit selepas 2030.
Kapasiti kilang milik TC Group di Taman Industri Viet Hung boleh ditingkatkan pada masa depan dengan potensi eksport ke seluruh negara ASEAN.
Penulis: Muhammad Md Tajudin