Sistem peringatan tali pinggang keledar wajib bermula 2019 di Eropah

oleh Mohamad Hanif|
Kesatuan Eropah bercadang untuk mengadaptasi peraturan baharu UNECE bagi mewajibkan penggunaan sistem amaran peringatan tali pinggang keledar bagi penumpang hadapan dan belakang berkuatkuasa September 2019.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pindaan baharu ini merupakan kemaskini kepada peraturan sedia ada (peraturan tahun 2009) yang mewajibkan sistem peringatan tersebut dipasang hanya untuk pemandu sahaja. 

Dengan perlaksanaan peraturan yang baru dipinda ini, ia merupakan satu langkah ke hadapan bagi memastikan keselamatan para penumpang lebih terjamin ketika berada di atas jalan raya. 

Sehingga kini, tali pinggang keledar merupakan salah satu peralatan keselamatan pasif yang paling berkesan di dalam sesebuah kenderaan. 

Walaupun dengan penguatkuasaan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar (EU28), statistik mencatatkan hanya 88% sahaja pemandu dan penumpang hadapan yang memakai tali pinggang keledar, manakala bagi penumpang belakang hanya mencatatkan rekod sebanyak 74% sahaja. 

Menurut satu ujikaji yang dijalankan, angka tersebut semakin menurun terutama bagi penumpang yang menaiki van dan trak jika dibandingkan dengan penggunaan kereta dan juga kenderaan yang lain. 


Data tersebut diperkukuhkan lagi dengan angka kemalangan maut dikalangan penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar lebih ramai berbanding mereka yang mematuhi peraturan ketika di jalan raya, menunjukkan penggunaan seutas tali khusus ini mampu menyelamatkan nyawa mereka.   

European Transport Safety Council (ETSC) menjangkakan lebih daripada 900 kes kematian (data tahun 2012) mampu dikurangkan sekiranya hampir 99% daripada mangsa memakai peralatan keselamatan tersebut, dan angka tersebut mampu dicapai dengan penggunaan peringatan tali pinggang keledar di dalam kereta.

 


Euro NCAP, badan yang bertanggungjawab untuk menjalankan ujian terhadap kenderaan baharu telah mengemaskini markah keseluruhan bagi kenderaan yang dilengkapi dengan sistem amaran tersebut pada penumpang belakang bermula dari 2018.

Manakala peraturan yang baharu saja dipinda ini akan dilaksanakan oleh EU sebagai tambahan kepada peraturan semasa EU General Safety Regulation tahun 2009 akan dilaksanakan bermula seawal bulan hadapan. 

Sebelum ini, EU telah mencadangkan sebuah pelan perancangan untuk menggunapakai peraturan baharu yang turut merangkumi ciri keselamatan terkini seperti brek kecemasan automatik (AEB) dan bantuan kelajuan pintar (Intelligent Speed Assistance) pada sesebuah kenderaan. 

Namun begitu, kertas cadangan tersebut perlu melepasi perbincangan seluruh ahli parlimen Eropah dan juga negara anggota EU dengan jangkaan proses tersebut mengambil masa kira-kira 12 bulan.