Ia menggandingkan input yang diperoleh daripada projek Singer yang terdahulu iaitu Dynamic and Lighweight Study dan Turbo Study, selain membawakan inspirasi daripada jentera lumba klasik 934/5 yang mendominasi perlumbaan di Amerika Syarikat lewat 70-an.
Sama seperti projek Singer yang lepas, DLS Turbo menggunakan asas daripada 911 generasi 964, dan boleh didapati dalam dua spesifikasi iaitu Road dan juga Track.
Kedua-dua versi membawakan fender gentian karbon yang sangat berpetak dan lebar, dan ini bermakna jarak trek roda belakang juga turut bertambah panjang.
Sementara tingkap suku belakang telah dibuang bagi memberikan laluan kepada liang kemasukan udara untuk kegunaan enjin di belakang.
Sebut pasal enjin, DLS Turbo membawakan nadi flat-six 3.8 liter turbo berkembar yang mampu menjana kuasa setinggi 700 hp, padanan transmisi manual enam nisbah kelajuan, serta sistem pacuan roda belakang.
DLS Turbo spesifikasi Road didatangkan dengan spoiler ekor itik retro, manakala spesifikasi Track pula tampil dengan sayap dua dek yang agresif, diikuti dengan penambahan splitter hadapan yang besar.
Menariknya, Singer boleh membina sebuah DLS Turbo yang boleh disesuaikan mengikut kedua-dua spesifikasi, sekiranya terdapat pelanggan yang sukar untuk memilih antara dua penggayaan yang berbeza itu.
Singer DLS Turbo secara standard dibekalkan dengan set rim 19 dan 20 inci jenis kekunci tengah, serta balutan tayar Michelin Cup 2 atau Cup2R bersaiz 345 mm di belakang.
Kemasan ruang kabin pula menggandingkan elemen moden dan retro seperti meter instrumen klasik daripada Porsche tahun 60-an dan 80-an, roda stereng dengan penanda pukul 12, posisi tombol gear yang lebih tinggi, tempat duduk jenis bucket, sebelum diakhiri dengan layangan warna dua tona.
Difahamkan, hanya 99 unit sahaja DLS Turbo yang akan dihasilkan.
Kos untuk mendapatkan satu unit DLS Turbo tidak diberitahu, namun sebagai perbandingan, model asal DLS memerlukan wang sebanyak $1.8 juta sahaja (RM8.39 juta).