Sesi Pandu Uji Forester 2019 di Taiwan - Lima fakta yang perlu anda tahu

oleh Mohamad Hanif|
Awal minggu ini, kami telah diberi peluang berkunjung ke Taiwan untuk menghadiri majlis pelancaran dan pandu uji Subaru Forester 2019 ini.

Dari segi luaran, ia lebih kurang sama, dan mungkin ramai yang akan menganggap ianya sebuah model facelift (angkat muka?) dengan rekaan lampu yang diperbaharui.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sangkaan anda salah kerana Subaru sebenarnya menggunakan platform global yang digelar Subaru Global Platform pada Forester 2019 ini dan oleh kerana itu, anda perlu memandu uji model ini sendiri bagi merasai apakah perubahan yang dibawakan oleh Subaru.

Tanpa berlengah masa, ini merupakan fakta yang kami boleh kongsikan untuk anda semua. 

 

1. Pemanduan lebih selesa, lancar


Subaru Global Platform bukan sekadar nama untuk melariskan jualan semata-mata, bahkan ia sebenarnya memberikan manfaat kepada pemandu di dalam mengemudi SUV ini. 

Dengan platform baharu ini, pemanduan dirasakan lebih lancar dan selesa disebabkan kurang gegaran dan kadar olengan badan kenderaan, terutama ketika meratah selekoh ataupun di dalam situasi kecemasan mengelakkan rintangan di tengah jalan. 

Apa yang pasti, kadar NVH kenderaan ini juga semakin bagus dan lebih senyap itu bagus sebenarnya bagi mengurangkan kepenatan pemandu, terutama ketika berjalan jauh.

 

2. Lebih luas dari segenap sudut dan segi


Seperti mana yang kami maklumkan dalam artikel pelancaran rasmi tempoh hari, Subaru menggunakan platform global mereka dalam menghasilkan Forester 2019 ini. 

Apa yang pasti, ruang kaki dan ruang kepala para penumpang didapati lebih luas berbanding model terdahulu, dan keselesaan ditambah pula dengan corong penghawa dingin didatangkan untuk penumpang baris kedua. 

Bukaan boot belakang pula telah diperluaskan lagi ruangnya dan pengguna boleh memuatkan barang yang besar dengan lebih mudah, terima kasih kepada 520 liter ruang kargo yang boleh dibesarkan menjadi 2155 liter apabila kerusi belakang dibaringkan. 

Bagi yang aktif bersukan ataupun melakukan aktiviti lasak, ciri ini sangat berguna untuk mereka. 

 

3. Ciri EyeSight® - Langkah Subaru menjadikan kereta mereka lebih selamat


Sistem bantuan pemanduan tersendiri daripada Subaru ini bertujuan untuk menjadikan model kenderaan mereka lebih selamat untuk kegunaan seharian. 

EyeSight® dibahagikan kepada tiga tahap pemanduan iaitu merah (pre-collision Braking dan Throttle Management), kuning (Lane Sway dan Departure Warning) dan hijau (Adaptive Cruise Control dan Lead Vehicle Start Alert).

Turut hadir bersama ciri Reverse Cross Traffic Alert, Blind Spot Detection dan Reverse Automatic Braking
 


Malangnya, ketika sesi uji pandu, kami tidak berpeluang untuk merasai sendiri teknologi ini disebabkan beberapa masalah teknikal yang dihadapi. 

Berita baik, ciri ini akan hadir ke Malaysia sekitar suku kedua 2019 bersama-sama Forester varian tertinggi. 

 

4. Enjin Boxer + Symmetrical AWD + Subaru Global Platform = pengendalian lebih jitu


Sesi pandu uji dimulakan di litar go-kart dengan membandingkan bezakan prestasi di antara Subaru Forester 2019 bersama model Forester terdahulu dan sebuah lagi SUV pesaing. 

Selain daripada ciri keselesaan dan kesenyapan kabin, Subaru Global Platform direka untuk merendahkan titik graviti kenderaan. 

Manfaatnya? Pengendalian yang lebih mantap, jitu dan memberikan keyakinan kepada pemandu mengemudi SUV ini. 


Gandingan platform dengan ciri enjin boxer yang sejak azalinya membantu merendahkan titik graviti kenderaan, ditambah pula sistem pacuan semua roda S-AWD yang membuatkan kenderaan sentiasa melekat di atas jalan, menjadikan anda lebih mudah tersenyum untuk memandu SUV yang lincah ini. 

Jikalau anda rasakan Subaru Forester sebelum ini sudah cukup meyakinkan, anda perlu cuba sendiri bagaimana Subaru Forester 2019 beraksi. 

Ianya lebih stabil, lebih lancar, lebih selesa dan lebih senyap. 

 

5. Special X-Mode - tambahan kepada ciri X-Mode sedia ada

 


Fasa kedua sesi uji pandu kali ini bertempat di kawasan berbukit di belakang hotel kediaman kami, dan dibahagikan kepada lima bahagian iaitu cross roller, jalan berbonggol, pendakian dan penurunan bukit curam, side ramp, dan off-road slalom

Seperti mana kita semua maklum, ciri X-Mode ini membolehkan kenderaan SUV Subaru mampu mengharungi jalan off-road yang ringan seperti meredah jalan berbatu, mendaki kebun di belakang rumah. 

Ideanya sangat mudah, ia memberikan kawalan kepada sistem kuasa, brek dan tayar supaya tidak mudah berpusing (spinning) di dalam kawasan licin, terima kasih kepada bantuan kawalan cengkaman. 

 


Namun, Special X-Mode ini menambah satu lagi kemudahan bagi pengguna yang inginkan sepenuh kuasa disalurkan kepada semua roda dengan mematikan ciri kawalan cengkaman tadi. 

Secara mudahnya, pemandu tidak perlu melakukan dua kali kerja untuk mengaktifkan X-Mode dan mematikan Traction Control ketika terperangkap di dalam lumpur. 

Hanya masuk ke dalam mod Special X-Mode menerusi butang tersedia di tengah konsol, sistem kawalan cengkaman akan dimatikan serta merta, dan teruskan pemanduan untuk keluar dari rintangan tadi dengan mudah. 

Di paparan skrin, X-Mode digambarkan sebagai mod pemanduan ketika Snow/Mud, manakala Special X-Mode pula pemanduan untuk Deep Snow/Mud

 


Selain itu, ciri Brake Hold Assist membolehkan kita berhenti tanpa perlu menekan pedal brek ketika berhenti di bukit dan Hill Descent Control mengawal sistem brek kenderaan ketika menuruni bukit pada kelajuan kurang 20km/j membolehkan pemandu hanya mengawal menggunakan stereng tanpa perlu menekan brek,

Apa yang pasti, kedua-duanya turut disertakan sebagai peralatan standard untuk kesemua varian Forester. 
 


Pada bahagian akhir sesi pandu uji Subaru Forester ini, pihak Subaru telah menyediakan halangan berbentuk side ramp dan off-road slalom untuk membuktikan Subaru Forester ini bukan sahaja stabil ketika di litar, bahkan mampu memberikan keyakinan kepada pemandu untuk mengemudi SUV ini dengan pantas mengelak sebarang halangan walaupun keadaan jalan yang kurang memuaskan. 


Subaru Forester dijangka hadir ke Malaysia menjelang suku kedua 2019. Untuk laporan penuh ketika pelancaran Subaru Forester 2019, sila klik pautan di bawah. 

MOTOR IMAGE LANCAR SUBARU FORESTER 2019 SERBA BAHARU

Berita Berkenaan

Berita Global
Difahamkan, masalah tersebut berpunca daripada kipas pendesak (resin impeller) pada pam bahan api…
Berita Global
  Terbaru Subaru mengumumkan Solterra 2024 untuk pasaran Amerika Syarikat dengan beberapa naik…
Berita Global
  Lebih berani, WRX menggunakan kotak gear CVT atau dipanggil Subaru Performance Transmission (…