Serahan kelompok pertama Toyota Harrier 2.0T baharu sudah pun bermula

oleh Afandi Che Muhamad|
Berikutan respons positif terhadap Toyota Harrier 2.0T serba baharu di Malaysia Auto Show 2017 November tahun lalu, UMW Toyota Motor mengumumkan serahan kelompok pertama model berkenaan sudah pun bermula di Semenanjung Malaysia semalam.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, pihaknya sangat teruja dengan maklum balas yang diterima baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Memandangkan model generasi sebelumnya hanya untuk pasaran domestik Jepun sahaja, kami tidak dapat menjualnya secara rasmi ketika itu.

"Bagaimanapun, Toyota Motor Corporation telah mengambil keputusan untuk menawarkannya bagi pasaran di luar Jepun dan Malaysia antara negara yang terawal menjualnya secara rasmi," ujarnya.

Penampilan Toyota Harrier 2.0T baharu tersebut kini dilihat memiliki gril yang disudutkan untuk tujuan aerodinamik dengan lencana helang khas yang digunakan bagi memberi penekanan terhadap imej agresif dan elegan yang dibawanya.

Lampu utama, lampu nyalaan siang (DRL), lampu selekoh, lampu kabus serta lampu belakang semuanya menggunakan LED.

Sementara itu, lampu isyarat di depan pula menggunakan paparan berturutan (sequential display) untuk lebih memudahkan makluman hasrat pemandu sebelum membelok atau menukar lorong.

Toyota Harrier 2.0T baharu yang diimport sepenuhnya ini dilengkapi enjin petrol 8AR-FTS 2.0 liter dengan pengecas turbo pusaran berkembar (twin scroll) selain turut menggunakan penyuntik minyak terus D-4ST dan sistem VVT-iW (Variable Valve Timing-intelligent Wide).

Seperti diketahui, hanya dua varian ditawarkan UMW Toyota Motor Harrier 2.0T Premium dan Harrier 2.0T Luxury.

Kedua-dua varian berkenaan disediakan dengan kelengkapan tambahan. Terdapat empat pilihan warna semuanya.

Setiap pembelian Toyota Harrier 2.0T baharu tersebut dilindungi oleh pakej Toyota Safety Sense (TSS) merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran, Kawalan Kruise Adaptif, Sistem Penetap Laluan, Amaran Penukar Laluan dan Sistem Lampu Tinggi Adaptif.

Tidak terhad dengan itu, antara ciri-ciri keselamatan lain yang turut disertakan ialah Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Lampu Isyarat Kecemasan, Brek Parkir Elektronik, Brek Pegun Auto beserta sensor parkir dengan kamera undur.

Sebagai tambahan, tujuh beg udara SRS dipasangkan bagi melindungi penumpang di bahagian hadapan sambil disokong beg udara sisi serta beg udara tirai yang akan melindungi bahagian tingkap di sisi (depan dan belakang) ketika berlakunya perlanggaran di bahagian tepi.

Turut disediakan ialah beg udara lutut yang terletak di bahagian bawah kolum stereng untuk melindungi lutut pemandu sekiranya berlaku perlanggaran secara berdepan.

Toyota Harrier 2.0T baharu didatangkan dengan jaminan lima-tahun dan tanpa had perbatuan. Ini termasuk kesediaan stok bagi alat ganti tulen untuk model generasi terbaru yang dijual ini.

UMW Toyota Motor menawarkan harga asas serendah RM238,000 (tanpa insurans, cukai jalan dan nombor pendaftaran) bagi seunit Toyota Harrier 2.0T baharu ini.

Maklumat lanjut mengenai Toyota Harrier 2.0T baharu boleh didapati dengan melayari laman web Toyota di  www.toyota.com.my.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Presiden UMWT, Datuk K Ravindran, berkata komitmen syarikat melangkaui penghantaran kenderaan…
Berita Domestik
Presiden UMWT, Datuk K Ravindran, menzahirkan kepuasannya dengan prestasi 2023, di mana kejayaan…
Uncategorized
Pada tahun ini, sebanyak 15 sekolah menengah di seluruh negara mengambil bahagian, yang diwakili…