MINI juga telah berjaya mengatur program istimewa dengan menghimpunkan 60 pemilik 60 buah kereta dengan setiap satu daripada setiap tahun pengeluaran. Masing-masing mempunyai cerita tersendiri dengan milikan mereka.
Kesemua pemilik berhimpun di kilang Oxford sebelum ke perjumpaan MINI antarabangsa (MINI Meeting) di Bristol yang merupakan acara tahunan untuk peminat MINI serata dunia.
Bintang istimewa untuk acara ini ialah MINI 621 AOK iaitu unit pertama MINI yang dibina bagi mengetuai konvoi dan diakhiri dengan unit ke-10 juta.
Meskipun MINI sudah bertukar tangan dan dimiliki oleh BMW sejak 2001, prestasi jualan jenama ikonik ini berkembang baik dan tahun lalu sahaja hampir 400,000 unit terjual di 110 buah negara serata dunia.
BMW Group juga melabur dengan jumlah tinggi, sejak 2000 lebih daripada £2 bilion dikeluarkan untuk kilang pengeluaran di United Kingdom. MINI mempunyai tiga lokasi pengeluaran iaitu di Hams Hall untuk enjin, Swindon untuk komponen badan dan kesemuanya di bawa ke Ofxord untuk pengeluaran badan, cat dan pemasangan akhir.
Pengeluaran sehari di Oxford telah berkembang daripada 300 unit sehari pada 2001 sehingga 1,000 unit pada hari ini. Kilang Oxford mempunyai 4,500 tenaga kerja dan mengeluarkan sebuah MINI setiap 67 saat.
Model yang dikeluarkan di Oxford ialah MINI Hatch tiga dan lima pintu dan MINI Clubman. Hampir 80 peratus yang dikeluarkan di kilang itu adalah untuk pasaran eksport. MINI Convertible yang baru dilancarkan di negara kita dan Countryman pula dikeluarkan di Belanda.
Pada November 2019, sekali lagi sejarah akan terukir apabila MINI Electric dikeluarkan di Oxford dan bila mengimbas kembali MINI pertama dikeluarkan dengan konsep dan saiz ringkas, MINI sememangnya telah jauh maju ke depan.
Kepada peminat model berprestasi, MINI sedang membangunkan John Cooper Works GP, kuasanya lebih daripada 300 hp!
Penulis: Muhammad Md Tajudin